PAS Parti Taubat

0 comments


PAS Parti Taubat


Dalam perkembangan, perjalanan dan sejarah perjuangan parti politik Malaysia, PAS menggunakan dasar Islam. Walaupun didakwa dasar-dasar tersebut tidak tulen kecuali rekaan PAS, tetapi ternyata dari segi perbandingan, PAS adalah satu-satunya yang menggunakan dasar dan prinsip Islam. Tidak boleh dinafikan bahawa perlembagaan PAS adalah berdasarkan Islam.  Sumber rujukan utamanya ialah Al Quran diikuti hadis dan ijtihad ijmak Ulamak. Itu adalah dasar perjuangan dan pergerakan serta prinsip Islam.


Jika dinilai atau dikaji implimentasinya pula,  PAS memang tidak tergelincir dari landasan dasar dan prinsip Islam. Pendekatan sahaja berubah-ubah kerana disesuaikan dengan keadaan dan kesesuaian adat atau kerenah penerimaan masyarakat serta keupayaan ahli atau pengeraknya sendiri. Tiada kuasa dan tidak berupaya tidak membataskan atau merubah intipati dan dasar-dasar perjuangan.


Seperti UMNO,  dasar perjuangan adalah kepentingan dan ketuanan Melayu. Oleh kerana Melayu itu Islam dan penerimaan pemahaman bahawa Islam itu Melayu, ahli umno menganggap dasar perjuangan mereka adalah Islam. Ini adalah suatu penyelewengan dan salah kefahaman. Melayu UMNO tidak boleh mengatakan bahawa dasar perjuangan mereka adalah Islam. Ini ternyata dapat difahami kerana Islam dan Melayu sebenarnya tidak sama. Pengakuan mengatakan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu boleh menyesatkan halatuju kefahaman dan pemikiran orang Melayu. Ini adalah kerana Islam itu adalah sebuah agama yang mutlak dan telah mempunyai dasar-dasar dan prinsipnya yang telah ditentukan oleh  Allah Maha Pencipta. Manakala perinsip dan dasar Melayu adalah berlandaskan amalan dan adat resam atau kebudayaan Melayu. 


Dasar Melayu kelihatan begitu kukuh kerana amalan yang telah menjadi adat dan budaya telah lama diterima pakai sebelum wujudnya atau sebelum terpengaruh dengan kedatangan kepercayaan terhadap fahaman agama Islam. Di sinilah letaknya kekuatan hujah para pengamal adat. Adat dan budaya diamal dan dijadikan sebagai peraturan dan amalan seharian. Apabila agama Islam datang, ia dianggap juga sebagai adat dan budaya dan pertembungan terhadap sesuatu yang bertentangan dengan amalan adat sering menjadi hambatan dan masalah kepada kelompok sesebuah masyarakat.


Sehubungan itu apabila pengamal agama Islam diperlekeh atau tidak diterima oleh pengamal adat yang telah menerima pakai peraturan adat dan budaya bukanlah bererti amalan agama Islam itu tidak bermutu atau lebih rendah nilainya berbanding adat. Ini adalah kerana hukum atau peraturan agama itu hanya difahami dengan taufik dan hidayah atau dengan perkataan lain adalah dengan keredhaan dan kurniaan Allah. Agama Islam pada dasarnya bukan wujud atau awal kewujudannya semasa dibawa masuk ke Negara ini. Tidak juga sebagaimana didakwa sebagai rekaan Nabi Muhamad SAW atau Islam itu dipelopori atau dimulakan oleh baginda. Islam pada hakikatnya adalah ciptaan Allah dan telah wujud sejak azali lagi. Ketetapan hokum hakamnya adalah sebagai petunjuk dan panduan bagi segala manusia dalam menjalani kehidupan yang selamat dan sejahtera di dunia ciptaan Allah. Maksudnya, agama Islam telah dicipta lebih awal daripada manusia pertama Adam. Agama petunjuk ini telah disyariatkan sejak Nabi  Adam sehinggalah disempurnakan sepenuhnya oleh kekasihNya sebagai nabi dan rasul terakhir iaitu baginda Muhamad SAW.


Jika pengamal Islam kelihatan tidak mendapat sambutan berbanding mengamal adat resam Melayu khususnya, maka tidaklah sekali-kali memberikan maksud bahawa pengamal Islam itu tidak baik atau boleh  dianggap tidak benar dan tulen malah tidak boleh dikatakan sebagai sesat sebagaimana ada orang Melayu AMNO  yang mengatakan begitu. Sebaliknya semua kefahaman dan pengamalan adat resam tidak kira Melayu atau sebagainya yang bercanggah dan menjadi larangan dari apa yang telah ditetapkan dalam Kitabullah adalah sesat dan tidak diredhai Allah. Orang Melayu atau pengamalnya akan didakwa dan diminta mempertanggungjawabkanya yang berkesudahan dengan penyiksaan kerana menderhaka kepada Allah.


Janji Allah wewujudkan sekelompok atau sekumpulan manusia yang mengajak ke jalan Allah dalam sesebuah tamadun pada sesuatu masa, tempat atau zaman  tidak pernah mungkir. Dalam Negara ini dan pada ketika ini, tiada kesatuan, pertubuhan mahupun parti politik sejelas dan senyata parti PAS yang sentiasa berdakwa mengajak manusia dalam Negara Malaysia ini menggunakan Quran dan Hadis sebagai petunjuk dalam menjalani hidup ini. Platfom politik yang dipaksakan kepada PAS tidak menghadkan aktiviti dan perjuangan yang berobjektif memartabatkan sunatullah.Jika kita berfikiran atau mempunyai akal yang hebat sehingga yakin berkuasa dan yakin berupaya, mengapakah kita tidak terfikir untuk menggunakan kelebihan kita yang dianugerah oleh tuhan ini untuk membantu perjuangan PAS yang kita dapati lemah atau menuduh mereka tidak bijak, bersama-sama mengangkat martabat dan makam pengabdian diri kepada Allah dan mengimarakkan agama Islam yang diredhaiNya ini??


Mengapakah anda perlu berasa risau dan cemburu apabila ramai manusia dari pelbagai bangsa dan fahaman agama dan politik dalam Malaysia ini menyertai atau menyokong dasar-dasar PAS yang mengajak kita kembali mengimarakkan ajaran Islam dan memegang kukuh tali Allah ini demi untuk keselamatan diri kita sendiri selaku manusia yang sedang diduga mengharungi kehidupan di dalam dunia ciptaan Allah.


Anda atau sesiapa sahaja yang cemburu terhadap agama Allah sebenarnya mereka adalah manusia yang menyembah pada nafsu sendiri. Mereka bukan penyembah Allah. Mereka sebenarnya adalah manusia yang telah berjaya ditipu musuh Allah iaitu syaitan. Mereka menolak ketetapan dan petunjuk Allah kerana mereka yakin tidak akan dapat memuaskan nafsu mengikut kehendak mereka. Mereka tidak mahu dan tidak bersetuju mengimarakkan petunjuk dan hukum-hukum Allah kerana diri dan jiwa mereka sangat kotor. Mereka sangat mecintai nafsu dan mereka sebenarnya mengetahui dan menyedari bahawa diri dan jiwa mereka tidak layak menjadi tentera dan pejuang agama Allah. Mereka tidak sanggup membersihkan diri dan menjadi  manusia yang suci atau sekurang-kurangnya sebagai manusia cenderung kepada pengabdian dan ketuhanan.  Mereka tahu kehinaan diri dan dosa mereka tetapi mereka tidak sanggup keluarkan diri dari menikmati kehendak nafsu.


Jika orang politik, orang artis atau pelbagai jenis pelacur agama sekalipun yang memasuki atau menyertai PAS dengan niat tersirat untuk bertaubat dan membersihkan diri, mengapa sanggup anda menuduh mereka sesat. Anda terus berlagak sombong dan mengaku sebagai pejuang Melayu dan Islam. Sayangnya, anda sendiri tidak mengetahui apa itu Melayu dan apa itu Islam. Kesesatan pemikiran Melayu AMNO telah juga menyesatkan orang lain.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Masjid WP KL 16.4.2013

Sejarah Kemerdekaan Tanah Melayu, Mengapa British Memilih UMNO

0 comments


Sejarah Kemerdekaan Tanah Melayu, Mengapa British Memilih  UMNO

Sebenarnya adalah lumrah apabila mana-mana kerajaan penjajah memilih kelompok pentadbir atau pemerintah yang bersekutu dan menyokongnya bagi menggantikan atau selaku proksi apabila sesebuah negara diberi hak kemerdekaan. Di negara ini, proksi atau penerus pemerintahan mengikut acuan dan dasar penjajahan Inggeris ialah UMNO.

British telah memilih UMNO sebagai pemangkin warisannya bagi memastikan semua bidang dan  perusahaan yang berkepentingan terutamanya dari segi ekonomi tidak akan merugi dan tidak mengurangkan dari apa yang pernah diperolehi selama ini. Halangan utama British pada peringkat awal mempengaruhi pembentukan UMNO ialah perwatakan dan kewibawaan Dato’ Onn yang dilihat sebagai orang yang sangat cerdik, keras kepala dan kuat kemelayuaannya serta sangat bersemangat  memperjuangkan  rakyat marhein. Dato’ Onn dianggap penghalang besar dan boleh mencacatkan tujuan tersirat pemberian kemerdekaaan kepada Tanah Melayu.

Sepanjang usia Dato’ Onn sejak kecil lagi, telah diperhatikan oleh Inggeris dengan begitu teliti sekali. Kadang kala tindakan dan persetujuan Inggeris adalah kerana terpaksa bagi memastikan jarum yang dicucuk tidak terasa tetapi tetap berjaya mengeluarkan bisa yang mengharuskan kuasa Melayu terjelepok di kaki mereka. Dalam era Dato’ Onn ini, kuasa Melayu yang amat dicemburui oleh Inggeri ialah kerajaan negeri Johor yang dirasa amat liat hendak ditundukkan. Ini adalah kerana pelbagai strategi Inggeris dapat dibaca oleh pembesar dan bijak pandai Johor. Dato’ Onn contohnya tidak dipersetujui oleh pegawai Inggeris di Johor dan Singapura apabila dicadangkan pergi mengiringi Tengku Mahkota ke London melanjutkan pelajaran yang pada hakikatnya adalah untuk menjadikan baginda dan segala kerabat diraja yang mengiringi baginda berfikiran Inggeris daripada berbudaya Melayu. Kebijakan dan kecerdekan Dato’ Onn telah terserlah sejak kecil lagi. Beliau diakui sebagai master mind atau ketua dalam kumpulan kanak-kanak yang menjadi taulan mahupun penghibur Tengku Mahkota Ismail.

Inggeris terpaksa bersetuju Dato’ Onn yang ketika itu berusia 9 tahun turut serta ke sekolah khas bagi anak-anak raja di Suffork London kerana Tengku Mahkota sangat akrab dan rapat dengan beliau. Bagi Inggeris, kepimpinan dan kepintaran Dato’ Onn amat terserlah berbanding dengan putera dan anak-anak pembesar Johor lain. Malah di Suffork, Dato’ Onn juga adalah pelajar cemerlang.  Inggeris amat khuatir jika pengaruh yang hendak  ditanam kepada putera-putera sultan gagal kerana sikap Dato’ Onn yang begitu kritis, berani, suka bertanya, mengkritik, berdikari dan berminda lojik akan membongkar dan menggagalkan agenda British terhadap sultan Johor dan sultan-sultan Melayu lain.

Pada tahun 1909, Dato’ Onn telah diarah pulang ke Johor oleh British bagi memisahkannya dengan Tengku Mahkota. Mereka memberi helah yang mengatakan Dato’ Onn telah cukup ilmu dan telah layak berkhidmat dengan kerajaan Johor. Sebenarnya Dato’ Onn dilihat cukup berpengaruh di Suffork bukan sahaja kepada putera-putera raja Melayu tetapi juga kepada putera-putera raja dari Eropah yang belajar di situ. Dato’ Onn telah pulang ke Johor dan diikuti oleh Tengku Mahkota kemudiannya, kerana tidak sanggup berpisah dengan beliau. Mereka telah dimasukkan ke MCKK di mana Dato’ Onn mendapati silibus dan  skima pelajaran yang diajarkan telah jauh ketinggalan dari apa yang pernah didudukinya di Suffork. Di MCKK beliau telah mengkritik silibus dan skima pelajaran yang bermatlamat untuk menjadikan putera-putera raja Melayu sebagai orang Inggeris. Di MCKK beliau menjadi guru mengajar bahasa Inggeris kepada putera-putera raja secara percuma dan kegiatan ini sangat dibimbangi oleh British kerana sikap Dato’ Onn yang tidak takut dan hormat kepada orang Inggenris boleh mempengaruhi putera-putera raja Melayu.  

Dato’ Onn boleh dikatakan telah disingkir dari MCKK oleh British secara halus. Beliau telah kembali ke Johor dan mula berkhidmat sebagai kerani rendah pada 1912 pada usia 17 tahun dan telah dipaksa kahwin oleh Dato’ Jaafar bagi mendidik beliau dengan sifat bertanggungjawab. Pada masa yang sama beliau diwajibkan menganggotai Pasukan Askar Timbalan Johor (JMF). Setelah bapa beliau iaitu Menteri Besar Johor,  Dato’ Jaafar Muhamad meninggal dunia pada 1919 dan apabalia Sultan Ibrahim merampas harta pusaka bapanya, beliau telah menjadi penentang Sultan secara terang-terangan. Diwaktu yang sama juga Inggeris terus menghasut pembesar dan Sultan Johor supaya meminggirkan Dato’ Onn yang dianggap merbahaya dan pencemar maruah kerabat diraja dan istana Johor.

 Inggeris telah berusaha untuk menyingkirkan Dato’ Onn secara berterusan sejak kecil hingga dewasa dengan menghasut Sultan Ibrahim tetapi Dato’ Onn sering terselamat kerana pengaruh bapanya dan kehendak Tengku Mahkota yang sangat mengasihi beliau. Usaha-usaha Inggeris menghasut para pembesar dan golongan berpendidikan dengan menaburkan fitnah secara halus akhirnya berjaya memberi tekanan dan mengelirukan orang  Melayu semasa Dato’ Onn berada di kemuncak kepimpinan dalam UMNO. Dato’ Onn  ditolak oleh orang Melayu sendiri  dan peristiwa ini sangat menyedihkan beliau sehingga Dato’ Onn menggambil keputusan meninggalkan UMNO pada 1951. Dato’ Onn telah digantikan dengan YM Tunku Abdul Rahman yang dianggap begitu ideal oleh Inggeris dalam mencapai matlamat dan menjaga kepentingan serta mengekalkan pengaruh mereka. Mereka sangat yakin hanya UMNO dan Tunku akan mengikut segala acuan dan perancangan mereka.

Inggeris sangat gembira apabila Dato’ Onn dapat disingkirkan secara halus. Mereka sangat berpengalaman dengan Dato’ Onn yang telah berjaya menuntut banyak keistimewaan orang Melayu dan Raja-raja Melayu dan mengetahui agenda Inggeris. Dengan tersingkirnya Dato’ Onn yang telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa, Inggeris dengan mudah dapat meletakkan tokoh dan pengaruh mereka. Setelah Dato’ Onn keluar dari UMNO, Inggeris kelihatan seolah-olah bersedia memberi kemerdekaan segera dengan meletakkan pelbagai syarat.

 Diantaranya ialah penerimaan pendatang asing yang dibawa masuk Inggeris sebagai warga negara. YM Tunku juga dikehendaki menghapuskan terlebih dulu fahaman dan pengaruh komunis.  Mereka yakin YM Tunku tidak akan berjaya atau terpaksa mengambil tempuh masa yang lama sehingga ada memperkirakannya akan hanya tercapai pada penghujung 1960-an atau awal 1970-an. Ketika itu Inggeris akan sempat menyusun strateji politik dan ekonomi demi kepentingan mereka. 

YM Tunku telah berjaya menubuhkan jawatan kuasa menuntut kemerdekaan yang terdiri dari perwakilan  UMNO, wakil pelbagai kaum  iaitu Cina dan India dan wakil majlis raja-raja. Beliau telah mendesak Inggeris untuk berbincang dan pada masa yang sama bekerjasama dengan semua kaum terutamanya dengan orang Cina dan India menyusun strateji  menghapus komunis.

YM Tunku  terpaksa akur dengan persetujuan Inggeris yang akan memerdekaan Tanah Melayu pada penghujung 1950-an atau awal 1960-an atau lebih cepat lagi jika Tunku dan Ahli rombongan yang menuntut kemerdekaan bersetuju tidak menyekat pelbagai kepentingan British di Tanah Melayu. Dengan persetujuan itu, Inggeris telah memastikan jawatan potfolio penting dalam Jemaah Menteri sebelum merdeka dipegang oleh pegawai-pegawai Inggeris. 

Pilihanraya pertama telah diadakan pada tahun 1955 dan diikuti dengan banyak pilihanraya tempatan atau majlis perbandaran sebagai pengenalan dan pendedahan kepada rakyat. Semuanya telah berjaya dilakukan dengan baik dan dalam keadaan harmoni sehingga Inggeris terpaksa berpuashati dan bersetuju memberi kemerdekaan pada 1957. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah merdeka tetapi pengaruh Inggeris kekal sehingga ke hari ini.

 Dengan mengetahui sedikit sejarah dan falsafah pemikiran politik Inggeris dan pemikiran orang Melayu menerusi UMNO di era Dato' Onn dan pemimpin-peminpin selepas beliau maka terserlah hala tuju dan pemikiran politik UMNO pada masa ini dan akan datang yang telah mewujudkan komplikasi positif dan negatif sehingga negara ini terperangkap dengan budaya pelbagai amalan rasuah politik. Jika rakyat tidak berupaya dan tidak segera berusaha untuk memperbaiki dan mengubahnya, negara ini dibimbangi sedang menuju kehancuran.
 
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Banda Hilir Melaka 8.2.2013

MENANTI KELAHIRAN WATAK DATO’ ONN ZAMAN MILENIUM DUNIA TANPA SEMPADAN

0 comments


MENANTI KELAHIRAN WATAK DATO’ ONN ZAMAN MILENIUM DUNIA TANPA SEMPADAN

Tahun baru 2013 ini merupakan tahun yang ke 51 kematian tokoh Melayu unggul iaitu Dato’ Onn bin Jaafar. Beliau lahir pada 12 Februari 1895 dan  meninggal dunia pada 19 Januari 1962. Pemergian beliau telah menjangkau setengah abad tetapi watak ketokohan beliau belum berpengganti. Jika dibuat perbandingan dengan menonjolkan ciri-ciri keadaan yang pelbagai ketika zaman beliau dan zaman sekarang maka adalah diperkirakan negara ini  sangat-sangat memerlukan seorang pepimpin yang berwatak seperti Dato’ Onn. Seorang pemimpin yang mampu dan berjaya menyatukan majoriti rakyat untuk menjaga maruah dan kepentingan bumiputera ke arah membina sebuah Negara bangsa yang berdaulat.

 Negara ini sedang sakit dan penyakitnya adalah serupa seperti di zaman Dato’ Onn. Ciri tekanan hidup yang menyelubungi rakyat dan kelekaan pemimpinnya adalah sama. Kemuncak kegemilangan pun telah dilalui di zaman Tun Dr. Mahathir. Zaman YM Tunku, Tun Razak, Tun Hussein Onn adalah zaman merintis dan mendaki. Membangun membina Negara bangsa dengan pelbagai perisian. Tun Dr Mahathir sebenarnya ialah tokoh panen hasil tanaman pemimpin sebelum beliau. Oleh kerana era   pentadbiran beliau terlalu lama iaitu 22 tahun maka sama ada sedar atau tidak, beliau juga memainkan peranan ke arah kemelesetan dan kemerosotan. 

Sumbangan terbesar beliau melalui dasar-dasar otokrasi yang beliau  amalkan hampir mencatatkan sejarah pemerintahan kuku besi bertopengkan demokrasi moden sekiranya beliau terus berkuasa. Mujurlah beliau melepaskan jawatan setelah menyedari majoriti rakyat telah bosan dengan dasar-dasar beliau. Meskipun beliau tidak lagi menjadi perdana menteri dan memegang tampuk pemerintahan tetapi pengaruh beliau masih ada dan kuat. Beliau terus berusaha bersama-sama kroni beliau memastikan segala dasar yang diperkenalkan beliau tidak diabaikan. Ini juga merupakan sumbangan terbesar beliau yang mencacatkan dasar pemimpin kontemporari. Rakyat keliru dan perdana menteri menjadi lemah seolah-olah seperti watak patung yang hanya menjadi proksi. Sepatutnya Tun Dr Mahathir tidak perlu bersuara lagi. Biar kepimpinan kontemporari menguburkan segala salah tingkah laku pengunaan kuasa yang beliau lakukan dan mengangkat hanya dasar-dasar beliau yang relevan dan berkebajikan kepada rakyat.

Tun Dr Mahathir sepatutnya tidak perlu duduk dalam apa-apa entiti yang diberi kuasa menentukan atau memilih tokoh pemimpin pelapis. Beliau tidak perlu berkeras menghalang atau memaksa dasar-dasarnya yang tidak disenangi majoriti rakyat. Beliau boleh dijadikan penasihat tetapi mestilah tertutup dari umum. Maksudnya usah dibenarkan beliau mengumumkan sendiri pandangan atau nasihat beliau. Kebebasan seperti ketika ini adalah punca kekeliruan rakyat dan akibat yang lebih buruk daripada itu ialah kuasa yang kelihatan tidak memusat. 

 Kekeliruan dan kebencian rakyat ketika ini adalah seperti di zaman Dato’ Onn. Golongan istana dan pembesar bemewah dan hidup berlagak sombong tanpa menyedari rakyat hidup tertekan dan penjajah bersukaria kerana berjaya mempengaruhi dan menipu mereka. Nama sultan diperguna dengan semahunya untuk mengancam rakyat dengan sindrom ketakutan menderhaka. Manakala pembesar negeri dan para pentadbir tempatan dieksploit dengan begitu licik menjadi agen penguatkuasa mengaut hasil dan keuntutngan. Keadaan seperti itu sedang berlaku sekarang. Raja dan sultan terus seperti dalam keadaan mabuk tersuap dengan candu kemewahan dan pemimpin-pemimpin BN sedang begitu rakus sekali mengumpul harta dan merompak hak awam.

 Pada ketika ini iaitu dalam abad milenium langit tanpa sempadan ini maka adalah sangat diharapkan seorang watak seperti Dato’ Onn lahir memperjuangkan hak rakyat, hak Melayu dan mencipta dasar dan falsafah bangsa yang sesuai dengan zaman. Kalau dulu Dato’ Onn yang cemerlang dan gemilang itu merupakan seorang tokoh berpendidikan Inggeris tetapi berjiwa Melayu dan berpengalaman menjadi rakyat marhean maka pada ketika ini adalah sangat perlu seorang tokoh seperti beliau yang berwawasan jauh tetapi tidak sesat seperti berbudaya Inggeris atau barat kerana telah ternyata mereka gagal dalam keperimanusian. Jadi seorang tokoh yang beperwatakan seperti Dato’ Onn yang berjiwa kental, berpendidikan dan perikemanusiaan serta berwawasan jauh adalah sangat diperlukan ketika ini.

 Memandangkan tokoh-tokoh yang berpendidikan agama tidak begitu profesional dalam menangani isu dan masalah teknologi maka tokoh kepimpinan yang ideal ialah yang berpengetahuan atau berpendidikan tinggi dalam teknologi dan juga dalam bidang agama. Perwatakan dan ketokohan Dato’ Onn adalah sesuai di zamannya kerana ketika itu pengaruh British begitu kuat sekali. Rakyat majority iaitu Melayu pula masih tidak mengamal dan memahami budaya  Islam. Mereka ketika itu tidak dapat membezakan adat resam dan amalan budaya antara budaya bangsa dengan budaya Islam. Pada ketika ini rakyat banyak telah memahami kebudayaan Islam dan adat resam yang bercanggah dengan agama di samping berpengetahuan dan tidak buta dengan budaya berteknologi tinggi.

 Sehubungan dengan itu pemimpin kontemporari dalam BN sebenarnya sudah tidak relevan dengan golongan masyarakat sekarang. Disebabkan mereka tiada latar belakang agama maka mereka mudah menyeleweng dan pecah amanah malah lebih teruk dari itu mereka hanya bijak merancang untuk menyeleweng, rasuah dan pecah amanah untuk kepentingan pribadi. Kepada yang jujur pula, mereka seperti terumbang ambing dan lidah terbungkam kerana terpaksa tunduk kepada kepimpinan yang jahil.

Setakat ini, tokoh pemimpin yang mempunyai ciri-ciri Dato’ Onn dan mempunyai latarbelakang dan kefahaman agama yang baik ialah Dato’ Seri Anuar Ibrahim. Beliau akan berjaya mengubah suasana yang bercelaru dengan nilai hitam ketika ini kepada pencerahan jika diberi peluang. Beliau juga mempunyai penyokong dan pendokong yang begitu relevan dengan kehendak majority dan tokoh yang sesuai dengan situasi semasa dan juga masa hadapan. Namun begitu tidaklah bererti beliau adalah seorang tokoh yang sempurna. Beliau mesti bersedia berundur dan memberi laluan kepada tokoh pemimpin yang ideal apabila tokoh tersebut telah dikenal pasti.

 Dengan melihat dasar dan amalan UMNOBN ketika ini, lebih-lebih lagi setelah dasar membunuh bakat kepimpinan yang diamalkan di era Tun Dr Mahathir, maka boleh dikatakan bahawa tiada seorang pun watak Dato’ Onn dengan pengetahuan agama dan berpendidikan tinggi dalam teknologi serta berwawasan jauh ada dalam kelompok mereka. Tetapi sangat banyak terdapat dalam PAS yang dituduh Erdogan dan tidak juga terdapat dalam Keadilan, DAP dll kecuali selaku peminat yang komited sahaja. Sama-samalah kita tunggu, tetapi jika kita berani berubah dan reformasi maka kelahiran dan kemunculan tokoh ideal  iaitu Dato’ Onn Zaman Milinium Langit Tanpa Sempadan akan lebih cepat lagi.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Dataran Merdeka KL 1.1.2013

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere