Isu Kalimah Allah Timbul Lagi

0 comments


Isu Kalimah Allah Timbul Lagi



Tun Sheikh pernah menulis di blog ini mengenai tanggapan dan pergaulan bebas rakyat Indonesia beragama dan mengamalkan agama mengikut kefahaman dan kesukaan masing-masing terutamanya di kota raya besar seperti Jakarta, Surabaya, Medan dan lain-lain. Malah sehingga ke hari ini ada pasangan hidup suami isteri yang berlainan agama telah menjadi satu budaya yang biasa kerana dibenarkan atau tidak menyalahi undang-undang negara. Ketika mula tinggal di Jakarta masa zaman Tun Sheikh muda dan bujang dulu kerana melanjutkan pelajaran di sana, perkara yang menjadi cultural shock ialah pada 2 bulan pertama kerana tidak menyangkakan teman-teman Jawa yang seiras kita dan mengaku suku Jawa,  beragama Kristian, Islam Abangan, Budha, Hindu atau Atheis dan lain-lain. 


Selain itu agak lama juga Tun Sheikh duduk di depan tv mendengar ceramah yang menggunakan nama Allah dan akhirnya baru mengetahui bahawa Allah tuhan yang dimaksudkan penceramah itu ialah bagi agama Budha atau  Kristian. Ceramah yang disampaikan adalah dakwah kristian atau budha. Oleh sebab nilai sejagat dalam mengamalkan kebaikan adalah serupa, tidak terasa itu adalah ajaran kristian atau budha. Bayangkan jika anak-anak Melayu yang majoritinya pada hari ini kurang menitik beratkan agama ditambah pula dengan penyelewengan fahaman bahawa asal Melayu itu Islam semuanya……atau fahaman sesat mengatakan Melayu Islam dan Islam itu Melayu.


 Kecelaruan faham itu adalah disebabkan penggunaan bahasa Melayu Indonesia yang meluas dan tidak boleh dipersoalkan kerana bahasa Indonesia adalah bahasa kebangsaan, bahasa negara bangsa, Indonesia. Yang celaru bukan mereka tetapi adalah diri Tun Sheikh sendiri. Nasib baik sebelum merantau ada sedikit bekalan  kefahaman agama yang agak kuat atau banyak kerana faktor pendidikan formal Tun Sheikh yang berasal dari Johor dan faktor linkungan keluarga yang banyak kuat beragama. Tegasnya, kita sendiri mesti jelas dan faham serta mengetahui budaya Islam itu sendiri dan tentu sekali akan bermasalah jika kita hanya pandai dan tahu budaya Melayu tanpa dapat membedakan amalan adat Melayu yang bertentangan dengan syariat Islam.


Bagi Tun Sheikh apa yang berlaku ini adalah kerana terlalu mengikut kehendak nafsu politik yang jahat. Politik perkauman dan kesukuan. Jika faham kepada dasar dan ajaran Islam, sebenarnya tidak menjadi masalah nama Allah itu dipergunakan oleh sesiapa sahaja kerana Allah memang tuhan sekalian manusia. Cuma apa yang harus diperhatikan ialah kecenderungan sesebuah organisasi sama ada persatuan bukan kerajaan atau yang aktif dalam keagamaan dan sebagainya bagaimana mereka meletakkan nama Allah itu dan cara pemakaiannya. 

  Kita tidak boleh menuduh mereka sengaja hendak megujudkan porak peranda dan kita juga tidak boleh bersangka baik sangat dengan mereka. Apa yang penting kita mesti terus memantau dan memastikan penggunaan nama Allah itu tidaklah sama maksudnya sebagaimana penggunaan dalam Islam dan ditujukan pula kepada penganut Islam. Sehubungan itu kita mesti menggandakan dakwah kita menerangkan istilah ketuhanan dalam Islam itu sendiri.


Tun Sheikh juga beranggapan bahawa pada hakikatnya ini semua adalah juga perancangan dan dugaan Allah kepada kita khususnya yang mengaku dan memperjuangkan Melayu sejati. Jika kita berfikir secara terbuka atau di luar kotak, kita akan mendapati atau setidak-tidaknya akan bersetuju bahawa orang Melayu Totok sedang dalam kesesatan minda dan falsafah kerana dikuasai nafsu menjadi pemerintah yang lupa kepada nikmat dan kuasa Allah.

  Apa tidaknya,  mereka lupa nikmat kekuasaan sehingga sanggup menyeleweng, tidak amanah lagi dan mementingkan diri. Mereka kelihatan akan membelit lehir sendiri tanpa sadar, terpaksa mahupun setelah diberitahu. Kesombongan dan budaya rasuah telah menggelapkan hati mereka menerima pencerahan. Contoh mudah adalah isu bahasa sehingga terpaksa menelan racun sendiri. Diperjuangkan salah dan tidak diperjuangkan pun terasa bersalah. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seolah-olah tidak diutamakan.



 Bangsa lain sengaja mengambil kesempatan menggunakan bahasa Melayu dalam penyampaian dan dakwah agama mereka sehingga menerbitkan kitab dan menterjemmahkan kitab-kitab agama mereka ke dalam bahasa Melayu. Agak lucu dan kelihatan begitu jahil atau kebudak-budakan jika hal ini menjadi larangan sebagaimana apa yang sedang dilakukan oleh juak-juak AmnoBN yang mengaku memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu. Mereka mahu Melayu di atas tetapi mereka juga orangnya yang memperlekeh Melayu itu sendiri melalui dasar bahasa dan adat resam. Ketika ini mereka tersepit lalu perkataan Allah dipropagandakan dengan tujuan tersembunyi agar orang Melayu terus bergantung kepada mereka.


Kesimpulan isu perkataan Allah yang sengaja disensitifkan ketika ini adalah untuk melagakan kesatuan hati-hati bukan Melayu kepada Melayu yang bukan AMNO. AMNO sangat bimbang mereka akan diketepikan dan hilang kuasa kerana penyelewengan demi penyelewengan terbongkar. Jika mereka gagal menghilangkan kepercayaan, perpaduan bukan Melayu dan bukan Islam yang kelihatan tertarik kepada parti dan barisan alternatif seperti Pakatan Rakyat maka kuasa dan falsafah politik Melayu mereka akan terkubur.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Bukit Katil Melaka 7.1.2014
 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere