KECELARUAN PARLIMEN MALAYSIA

WAWASAN PARLIMEN DALAM MELAYU WAWASAN

Selepas Tun Mahathir tidak mengetuai kabinet Malaysia dan tidak menjadi Ketua Kerajaan di Parlimen, situasi perjalanan Parlimen Malaysia menunjukkan perubahan ketika bersidang. Para barisan pembangkang mahupun dari barisan penyokong kerajaan mula berani bersuara secara tidak kolektif bagi menggambarkan trend kearah kebebesan bersuara sebagaimana biasa diamalkan di negara-negara maju. Parlimen seperti di negara Korea, Jepun, Thailand, India, Pakistan dan lain-lain pernah merakamkan situasi perdebatan yang panas hingga mencetus pergaduhan kecil diantara wakil rakyat, membaling kasut, kerusi dan caci-memaki sesama wakil rakyat. Hal ini berlaku adalah disebabkan kewujudan halangan secara halus dan tidak langsung dan bias kepada barisan pemerintah.

Di Malaysia, kemenangan 2/3 dalam pilihanraya 2004 tidak menjamin kelancaran perjalanan persidangan parlimen dengan peradaban tinggi kerana situasi dan realiti kehidupan rakyat terutama ekonomi tidak stabil akibat dicengkam ketidakstabilan ekonomi global disamping barisan kepimpinan yang lemah kerana pelbagai masalah dalaman. Keadaan perjalanan persidangan di parlimen telah mula menampakkan kebejatan atau ketiadaan kesusilaan bukan saja dari barisan pembangkang tetapi juga dari barisan kerajaan yang masih yakin akan terus berkuasa sampai bila-bila.


Di era Tun Mahathir, trend ingin bebas bersuara dan berhujah ini telah mula menetas tetapi segera dicantas oleh beliau. Sebagai alternatif beliau mencadangkan hanya satu kerajaan di Parlimen tetapi tidak dipersetujui oleh barisan pembangkang dan juga sebahagian besar rakyat. Idea Tun Mahathir kelihatan baik tetapi pada waktu yang sama adalah dikhuatiri akan disalahgunakan dan segala peraturan baru bagi satu barisan kerajaan yang tiada pembangkang di Parlimen dikhuatiri akan mewujudkan kediktatoran atau yang menyerupainya.

Berbanding ketika persidangan parlimen setelah Pilihanraya Malaysia 2008, kecelaruan telah mula kelihatan dengan aksi-aksi yang kasar meskipun belum ada lagi rekod pergaduhan. Hal ini kelihatan seperti trend bagi sesebuah negara yang ingin keluar dari kawalan dan pengawasan terhadap kebebasan bersuara dalam parlimen. Memang telah ada peraturan dan ketetapannya supaya Ahli Parlimen Yang Berhormat menghormati tatasusulia Parlimen ketika persidangan sedang berlangsung tetapi mengapakah semakin hari semakin galak jadinya? Ini adalah kerana peraturan yang dipraktikkan itu sebenarnya mempunyai unsur berat sebelah dan berkempentingan kepada barisan pemerintah.

Keadaan panas atau kemerosotan kesusilaan dalam parlimen ini berlaku, juga adalah kerana luapan minda dan perasaan yang tidak dapat dilepaskan sebelum ini. Adalah tidak mustahil Parlimen Malaysia akan terus bergelora dan akan merekodkan sesuatu kejadian yang lebih teruk lagi daripada yang pernah terjadi di parlimen negara Eropah mahupun Asia. Punca dan perbedaan yang ketara adalah kerana ahli parlimen kita adalah terdiri dari suku-suku bangsa yang pada hakikatnya belum bersatu hati, fahaman dan pandangan. Berbanding di Eropah, atau di negara Korea atau Jepun, mereka hanya berlainan fahaman tetapi mereka adalah dari suku bangsa yang serupa.

Jalan keluar yang paling penting sebelum api dalam sekam ini marak dan membakar adalah dengan menggabungkan nilai keperluan dan nilai amalan semua sukubangsa mengikut nilai kemanusiaan sejagat. Maksudnya semua pandangan dan pemikiran yang sama diamalkan oleh setiap suku bangsa yang bernilai sejagat atau universal dijadikan asas dan dasar pemilikan dan pengamalan semua rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan itu semua yang berupaya berfikir dan mempunyai kepakaran dalan hal itu hendaklah segera mencipta suatu acuan yang boleh diterima oleh semua. Keharmonian, kebebasan dan jaminan keselamatan yang tinggi terhadap segala aspek kepada individu yang menjadi rakyat negara ini mestilah digaris dan difahamai dengan sejelas-jelasnya.

Penulis percaya, sebenarnya kerajaan BN telahpun nampak keistimewaan konsep perpaduan para pembangkang yang menggunakan pendekatan Islam dan mereka amat gerun terhadap pengaruh dan perkembangannya. Sayangnya barisan kepimpinan kerajaan kelihatan begitu sombong dan angkuh tidak segera meniru dan mengambil contoh yang baik itu dengan kuasa dan persepsi yang lebih besar dan dimenafaatkan segera untuk kepentingan rakyat.

Keengganan pengambilan konsep perpaduan yang berdasarkan kefahaman dan pengamalan Islam ini sengaja tidak dipedulikan malah diburuk-burukkan kerana dianggap mempunyai kepentingan barisan pembangkang yang tidak perlu ditiru. Pada hakikatnya bukanlah pendekatan itu tidak elok tetapi para barisan kepimpinan kerajaan sangat takut kehilangan wibawa dan kuasa kerana mereka mementingkan diri pribadi sendiri mahupun parti kesukuan. Jika matlamat tetap untuk kepentingan rakyat diutamakan dengan ikhlas, penulis yakin mereka tidak akan hilang kuasa kecuali trend kebiasaan akan ada perubahan. Dan perubahan itu adalah yang positif dan menggembirakan rakyat. Contoh yang mungkin akan dapat mencetuskan idea baru ialah penguasaan dan pengurusan Parlimen itu sendiri hendaklah diserahkan kepada sebuah badan atau agensi yang berkecuali. Ini termasuk sumber tenaga manusia dan juga segala akta dan peraturan yang terikat di dalamnya. Speaker Parlimen juga mesti dari tokoh yang berkecuali, bukan dari barisan pembangkang mahupun kerajaan. Speaker dan pengurusan parlimen seharusnya dibawah kuasa suatu Suruhanjaya Diraja yang netral.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara - sebahagian idea atau minda dipetik dari bukunya 'Melayu Wawasan' yang masih belum terbit.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere