FALSAFAH ILMU & PERANAN INTERNET

BLOG WADAH PENYIBAR ILMU ZAMAN GLOBALISASI

Pemikir dan ahli bijak pandai di zaman golobalisasi di bidang teknologi maklumat tidak berhenti dari terus berfikir bagaimana untuk mencipta atau membuat penambahbaikan menyediakan wadah penyebaran maklumat. Apabila budaya penggunaan komputer dan internet tidak lagi terhad dan menular ke seluruh pelusuk dunia, penyebaran maklumat berkembang begitu pantas tanpa ada lagi halangan atau sekatan waktu, tempat dan kelompok pengguna. Dari anak kecil hingga orang tua yang lemah tubuh badan, mereka terdedah menikmati kemajuan teknologi ini asalkan mereka boleh dan tahu membaca dan berminat menggunakannya. Perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat ini sangatlah berfaedah kepada manusia. Adakah wajar penggunaan sarana baru ini disekat?

Kebimbangan penyalahgunaan kemudahan ini telah dirasai oleh bukan sahaja kerajaan Malaysia tetapi juga oleh semua kerajaan negara dunia. Bedanya hanyalah budaya pemikiran dan falsafah ilmu yang diamalkan. Sikap keterbukaan dan kebebasan berfikir telah lama membudaya di benua Amerika dan Eropah. Keterbukaan dalam pemikiran ini kelihatannya terpaksa diikuti oleh negara Jepun dan Korea yang tidak mahu ketinggalan meningkatkan mutu kehidupan sebagaimana dinikmati oleh Amerika dan Eropah. Ironinya peniruan cara hidup yang dianggap moden dan maju yang diamalkan di dunia Barat terlalu banyak mengorbankan kebudayaan Timur yang juga mempunyai nilai sejagat yang halus dan bermutu.

Dunia Timur kelihatannya terpaksa mengorbankan budaya sendiri jika ingin bersaing dengan dunia Barat. Dalam zaman globalisasi ini sudah tiada lagi sempadan geografi yang dapat menghalang sesuatu falsafah ilmu mahupun falsafah kehidupan. Maka adakah wajar kerajaan Malaysia ingin mengadakan sekatan kepada pengguna blog di alam siber ini? Jikalah sesuatu keputusan itu dibuat dengan terburu-buru kerana emosi dan kuasa politik, adalah dipercayai rakyat Malaysia akan ketinggalan dan mundur kebelakang. Orang yang mudur terutama mudurnya fikiran dan idiologinya akan mudah dijajah.

Atau mungkinkah orang Malaysia atau kumpulan kepimpinan masih tidak mengerti apakah falsafah ilmu? Bolehkah kita hidup seperti katak di bawah tempurung seperti kita pernah alami sebelum merdeka dahulu? Adakah mereka ketahui bahawa kita juga mempunyai kebudayaan yang bertaraf dunia sejagat dan bermutu tinggi seperti kebudayaan dan tamaddun bangsa yang maju? Sewajarnya kemudahan teknologi ini digapai dan dibudayakan bukan dihalang atau disekat. Tetapi bagaimanakah caranya bagi menjaga kebudayaan sendiri akan tidak terkorban dimamah budaya liar yang turut berkembang dalam penggunaanya? Masalah inilah yang mesti ditangani tetapi hendaklah dikaji secara halus dengan cepat dan pantas kerana dunia teknologi maklumat ini bergerak begitu pantas.

Adalah amat melucukan jika kerajaan Malaysia membuat dan meluluskan akta sekatan blog berikutan terdapatnya banyaknya bloger yang tidak bermaruah sering mencetuskan suasana sensitif tetapi apabila sampai pada ketika hendak dikuatkuasakan bloger telah tiada kerana telah berpindah menggunakan wadah lain dan blog sudah dianggap ketinggalan zaman. Dunia akan melihat pemikiran atau budaya falsafah yang diamalkan oleh pemimpin kita sebagai mudur dan mudah diperkotak-katikkan. Itulah persepsi dalam teknologi maklumat yang bergerak tanpa sempadan waktu dan geografi.

Para pemimpin kita bertungkus-lumus berfikir bagaimana untuk menjaga keamanan dan keharmonian rakyat dan sangat khuatir persengketaan berlaku dan hilang kuasa dan hilang keamanan. Tetapi tanpa sedar mereka membawa rakyat ke pintu penjajahan minda dari dunia luar yang telah jauh meninggalkan falsafah kehidupan mereka.

Apa yang boleh dilakukan jika tidak mahu ketinggalan dan menjadi mangsa penjajahan minda di zaman globalisasi ini ialah terpaksa mengikuti perkembangannya dan bersedia mengorbankan budaya sendiri. Jika tidak dapat bersaing pun adalah memadai jika dapat mengikutinya. Tetapi jika sekatan dan halangan dipilih demi kepentingan diri, emosi dan tidak memikirkan keterbukaan minda maka bertanggongjawablah menjadi penyebab rakyat Malaysia terjajah minda oleh dunia luar yang telah jauh meninggalkan kita dan ketahuilah itu merupakan malapetaka yang lebih besar dan merbahaya.

Adalah lebih bijak jika bloger yang dianggap tidak bermaruah itu diberi amaran dan tidak perlu dihebahkan kuasa yang boleh membantutkan daya kreativiti bloger lain sehingga rakyat takut untuk menggunakan kemudahan kontemporari dan berkarya. Selain itu adalah sangat baik jika pihak berkuasa menyediakan trade mark untuk para bloger. Contohnya Kelompok Genuine, Kelompok Pra Matang dan Kelompok Picisan. Berikan kebebasan sepenuhnya kepada kelompok Pra Matang dan Picisan tetapi segala maklumat yang digunakan dan tersibar dalam kelompok bloger Picisan dan juga kelompok Pra Matang tidak boleh digunapakai sebagai hujah dari segala sudut.

Segala gosip dan berita-berita sensasi dianggap tidak ada nilai dan adalah salah jika bloger Genuine menggunakan fakta yang digarap dari mereka. Jika hal ini berlaku Kelompok Genuine mesti dipertanggongjawabkan tanpa mengaitkannya dengan kelompok Para Matang dan Picisan kerana mereka mengambil sumber daripada kelompok berlabel picisan dan pra matang. Hanya kelompok Genuine saja boleh didakwa dengan perundangan jika menyebarkan fitnah dan gosip yang sensasi dan menyebabkan keharmonian terganggu.

Cara implementasikannya ialah dengan mewajibkan setiap bloger tempatan yang ingin membina blog menentukan kelompok diri mereka mengikut pilihan kelompok yang mereka pilih dan ditetapkan oleh kuasa perundangan. Mereka yang memilih kelompok pra matang dan picisan adalah bebas dari segi perundangan dan tidak boleh didakwa dengan apa-apa berita yang tidak bertanggongjawab seperti gosip dan sebagainya yang ditulis oleh mereka kerana blog mereka tidak dianggap bermutu dan tidak bernilai mahupun mempunyai standard dalam segala hal kecuali hanya semacam hiburan dan suka-suka saja. Walaupun begitu mereka boleh didakwa jika melanggar akta penerbitan dan percetakan negara seperti menyibar gambar lucah dan menggunakan bahasa tidak beradab dan sebagainya. Mereka boleh diberi amaran dan dikenakan larangan berkarya.

Kesimpulannya, pihak berkuasa perlu meneliti secara terperinci dan cepat menguatkuasakan peraturan tanpa menghalang sesiapa yang ingin berkarya di internet. Pihak berkuasa sebaliknya hendaklah menggalakkan perkembangan ilmu dan falsafah budaya ini agar terus subur dan bersaing dengan dunia luar melalui teklologi maklumat yang sedang berkembang begitu pesat ketika ini.

Oleh Tun Sheikh

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere