MELAYU DAHULU, MELAYU KONTEMPORARI DAN MELAYU WAWASAN

FALSAFAH MELAYU WAWASAN

………APABILA BERCERITA MENGENAI HAL MELAYU

Ke manakah arah orang Melayu akan dibawa oleh para pemimpin hari ini sebagai peneraju dan penerus Melayu di masa akan datang? Bagaimanakah bentuk rupa, sifat dan sikap Melayu pada masa itu? Bagaimana pula falsafah dan kebudayaan Melayu? Untuk memberi gambaran dan wawasan mengenai Melayu pada masa akan datang maka kayu pengukurnya adalah segala dasar dan amalan Melayu pada hari ini. Sedar atau tidak, pada hari ini, orang Melayu sedang menanam benih Melayu yang akan lahir pada masa akan datang. Melayu ketika itu akan matang dengan segala doktrin dan prinsip serta dasar yang dicipta dan dilaksanakan pada hari ini. Lebih merisaukan jika hal ini diperhatikan daripada sudut rencamnya karenah orang Melayu pada hari ini.

Tidak kira jika ditinjau dari kumpulan minoriti mahupun majoriti, Melayu ketika itu adalah ekstrim. Jika kita pada hari ini masih hidup di masa itu, maka penulis yakin kita akan hidup dalam kekesalan dan kehambaran. Dan yang amat penting sekali ialah hasil buah yang disemai oleh para pemimpin Melayu pada hari ini atau dalam zaman kontemporari akan menjadi cara hidup Melayu yang nilainya negatif jika diamalkan pada hari ini tetapi merupakan sebagai keperluan pada masa itu. Memang tidak dinafikan bahawa Melayu berkembang dalam semua hal. Melayu telah diiktiraf sebagai sebuah bangsa yang relevan sepanjang zaman kerana kesanggupannya menerap nilai dan budaya luar yang disesuaikan dan dipakai bagi mengelak ketinggalan diri dan ketinggalan zaman. Penulis telah mengemukakan skop waktu Melayu kontemporari ialah semenjak tahun 1800 sehingga tahun 2000.

Adalah tiada cacat celanya jika period atau era Melayu kontemporari itu dilebihkan sehingga ketika hasil penulisan Melayu wawasan ini bermula iaitu pada 1 Januari 2009. Sebab musabab tempuh waktu itu dipilih telah dijelaskan dalam Bab atau Buku Melayu Kontemporari. Antaranya ialah kerana adanya paradigma minda Melayu Baru yang dipelopori oleh Abdullah Munshi. Berikutan dari sumbangannya itu manusia Melayu baru dan moden lahir. Mereka berfikiran terbuka dan tidak feudal dan tidak lagi terus bergantung kepada istana. Mereka mula menghargai nilai diri dan hak kebebasan individu daripada kolektif feudal sebelum itu.Perubahan ketara pada era itu ialah tentang keberanian orang Melayu mengkritik dan bertanggongjawab terhadap buah fikiran yang diungkapkan. Hasil sastera dan budaya juga berkembang dan terpengaruh dengan ciri-ciri pemodenan.

Dalam era Melayu Kontemporari, bangsa Melayu terlibat dalam kegiatan penjajahan mental bangsa asing terutama penjajah Inggeris. Bangsa Melayu terlibat dalam perbalahan kelompok sesama Melayu yang telah menghilangkan hak dan maruah sejarah kebudayaan bangsa. Bangsa Melayu juga terlibat dalam Perang Dunia Kedua dan telah dijajah oleh Jepun, suatu bangsa dari Asia yang tidak terfikirkan oleh orang Melayu begitu bertenaga, kuat dan berkuasa. Dan dalam era Melayu Kontemporari, orang Meayu mengharungi pengalaman kemerdekaan tetapi hilang hala tuju mencari ikon untuk perkasa diri kerana mentality Melayu mereka telah sekian lama dijajah oleh penjajah asing dari Barat. Akibatnya dalam era Melayu Kontemporari, orang Melayu telah mencipta acuan prinsip dan doktrin hidup sebagaimana mengikut kehendak penjajah yang pernah menjajah mereka dalam keadaan tanpa sadar.

Ketika era Melayu Kontemporari, ciri-ciri Melayu yang mempunyai falsafah dan kebudayaan tinggi banyak terhakis dan yang amat malang sekali kepada orang Melayu, faktor-faktor dan agen penghakis dan perosak budaya Melayu itu ialah oleh orang Melayu sendiri.

Untuk membincangkan topik falsafah wawasan ini, maka gambaran keadaan Melayu diperkirakan akan terjadi mengikut acuan pada hari ini. Dalam hal ini ialah era Melayu kontemporari ialah acuan. Namun gambaran yang bakal terlahir itu boleh diubah dan dilukiskan mengikut benturan yang baik dan perlu dibuat segera supaya manusia Melayu yang hidup di masa akan datang tidak jumud dan ketinggalan. Melayu masa akan datang juga diharap mengenal dan melestarikan kebudayaan Melayu terpilih supaya ikon dan identiti Melayu lebih positif dan berkedudukan dikelas pertama dari segi ruh, minda, falsafah, kebudayaan dan fizikal.

Topik Melayu Wawasan ini juga ada relevannya dengan era Melayu Dahulu. Melayu Dahulu adalah fakta-fakta yang menceritakan asal usul Melayu. Melayu telah mempunyai sejarah dari pringkat zaman Batu hinggalah kepada tamaddun agama yang tinggi. Melayu mengikut sejarah adalah salah satu bangsa dunia yang termaju, mempunyai kerajaan dan empayar sendiri. Mistri keujudannya tercatat dalam Kitab Zabur, Taurat dan sejarah Yunani Purba. Falsafah dan kebudayaan hidupnya ditiru oleh orang Barat dan era Melayu Dahulu ini berakhir pada period awal Era Baru yang penulis hadkan sehingga tahun 1800.

Hal ini adalah terbukti apabila kita mendapat maklumat tentang bangsa Melayu dalam pertumbuhan dan perkembangannya dengan pelbagai budaya dan falsafah mengikut catatan sejarah berpuluh ribu tahun dahulu. Perkembangan kebudayaan dan ketahanan orang Melayu ini telah dikupas oleh penulis dan boleh diketahui dalam Bab atau Buku Melayu Dahulu oleh penulis.

Dalam siri ini Melayu Wawasan boleh dizahirkan dan boleh diamati oleh sesiapa saja samada bangsa yang mengaku pejuang atau bangsa selaku pengikut sahaja. Wawasan ini boleh dilukis corak dan laskapnya dalam pelbagai bidang. Jika dibiarkan corak lukisan yang mengikut acuan Melayu kontemporari maka penulis berani mengatakan bahawa Melayu masa akan datang adalah Melayu yang mati jiwa kolektif kesatuannya . Melayu yang kolektif dimasa akan datang majoritinya adalah terdiri Melayu kuli yang tidak berkesempatan melanjutkan pelajaran tinggi kerana desakan keperluan hidup. Melayu yang berpendidikan tinggi adalah minority dan tidak terlepas daripada belenggu jiwa kuli kerana terpaksa makan gaji untuk membayar hutang pengajian. Nasib mereka akan diwarisi oleh keturunan mereka dan sejarah Melayu menjadi kuli dan sebagai sebuah bangsa kerdil akan berulang.

Meskipun tidak semua miskin tetapi terbelenggu dengan ketidakupayaan untuk bergerak dan meransang apa-apa bidang yang cuba diangkat atas nama bangsa Melayu. Ini adalah hasil pola dasar bangsa Melayu itu sendiri yang diteraskan oleh orang-orang Melayu dan kepimpinan Melayu kontemporari. Sehubungan itu adalah baik topic perbicaraan mengenai Melayu wawasan ini diperincikan. Tujuannya ialah untuk mengangkat darjat dan mutu kebudayaan dan cara hidup Melayu kepada kelas pertama dan terulung.

Melayu pada masa akan datang tidak mementingkan perjuangan bangsa secara kolektif. Pada masa itu memang ada orang Melayu yang berjaya , menjadi koperat dan jutawan. Tetapi bilangan mereka adalah terlalu kecil jika dibanding dengan bangsa lain. Seluruh nilai harta mereka jika dikumpulkan bersama masih tidak dapat menandingi jumlah harta bangsa lain di negara ini. Bangsa Melayu yang majoritinya terdiri dari kelas bawahan dari segi sosial dan ekonomi tidak berminat untuk memikirkan penonjolan diri kerana suasana pada ketika itu tidak mementingkan maruah diri. Diri yang dianggap bermaruah ialah sesiapa saja yang mempuyai harta dan wang ringgit yang banyak. Nasib dan cara hidup orang Melayu yang picisan dan marhaen tidak akan terbela dan terpinggir. Hanya orang Melayu yang kaya saja yang kelihatan menikmati hidup di negara ini dengan sempurna dan menyeronokkan.

Orang Melayu yang hidup sederhana akan berulang-ulang melahirkan waris yang senasib dengan mereka. Tentunya ada juga yang bernasib baik menjadi usahawan dan menjadi jutawan tetapi peluang sebegitu tidak terdedah meluas. Itupun biasanya akan terpaksa mengadai maruah diri, adat budaya dan lebih-lebih lagi agama. Mereka berdiri atas kejayaan sendiri secara peribadi dan berkepentingan diri sendiri. Mereka tidak mahu menyumbang kepada bangsa sendiri yang terpinggir. Mereka mengaggap kejayaan mereka adalah hasil usaha diri mereka sendiri malah mereka menyalahkan majoriti bangsa sendiri yang dianggap mewarisi jiwa yang lemah, pemalas dan tidak berani berusaha dan mencoba menongkah arus kehidupan.

Mereka mengaggap diri mereka istimewa kerana berprestij dan bermerit tinggi. Mereka menghina bangsa sendiri dan amat malang dan tidak mustahil juga kepada keluarga mereka sendiri. Keadaan yang sumbang ini dilihat pada hari ini tetapi tidak sumbang pada ketika itu. Ini adalah disebabkan trend kehidupan pada masa itu tidak lagi menilai kelemahan sebagai suatu takdir dan atas sebab nasib yang telah tersurat. Orang yang tidak bernasib baik yang datang dari satu warga yang masih lagi mempunyai ikatan persaudaraan yang dekat akan dianggap seperti barah dalam diri dan tidak akan dipedulikan..

Kelompok Melayu yang berjaya ketika itu tidak mengindahkan nasib bangsa kerana beranggapan masa dan zaman ketika itu tidak menilai kejayaan bangsa tetapi kejayaan individu. Mereka mempunyai standard yang tinggi yang dicipta oleh datuk nenek mereka yang hidup pada hari ini. Mereka tiada semangat memperjuangkan hak bangsa secara kolektif tetapi mereka sanggup berbunuhan mengadai nyawa dan maruah diri untuk mempertahankan status elit, intelek dan penguasaan material diri mereka dan keluarga mereka sahaja. Sempadan keluarga dekat pula adalah terbatas . Keluarga hanya terdiri daripada ayah, bapa, ibu dan adik-beradik saja. Tiada lagi istilah keluarga yang meliputi ibu dan bapa saudara, datuk,nenek, sepupu atau ipar duai.

Mereka menganggap mereka adalah dari orang Melayu yang mempunyai kelas yang tinggi setaraf dengan bangsa lain mengikut indikator material dan ekonomi yang mereka kuasai atau miliki. Mereka hidup dalam kemewahan dan dalam kelas sosial yang tinggi bersama bangsa lain yang pada ketika itu bukan suara paduan bangsa menjadi ukuran tetapi kekayaan yang menjadi keutamaan.

Agama akan terpinggir dan tidak mustahil agama juga dianggap sebagai satu aliran falsafah hidup yang banyak mencipta sekatan dan menghalang kemajuan. Ini adalah disebabkan mereka menjalani hidup seharian berdasarkan material dan kepuasan yang berkiblat atau berasas kepada nafsu yang hakikatnya tidak mereka ketahui. Apa jua yang memberi kesenangan dan kepuasan dan keseronokan, mereka menganggap itulah yang membahgiakan dan itulah yang menjadi halatuju matlamat yang hendak dicapai. Mereka tidak menjadikan agama sebagai pegangan mahupun panduan. Agama bagi mereka adalah suatu budaya kolot yang menyekat kebebasan dan menghalang tercapainya kepuasan yang dihajati. Tidak mustahil agama juga akan ditolak oleh mereka kerana mereka mengecapi kesenangan tanpa keterlibatan unsur agama.

Orang Melayu ketika itu berlumba-lumba mencari nama melalui keupayaan mereka mengumpul harta dan pencarian untuk menjadi orang kaya dan jutawan diharungi dengan tidak menghiraukan kepentingan orang dan hak orang lain. Asal ada kesempatan untuk meraih keuntungan mereka tidak akan melepaskan peluang. Penipuan dan penindasan intelektual menjadi norma hidup. Istilah perundangan belantara digunapakai. Cuma konsepnya saja yang berlainan. Jika konsep perundangan belantara dahulu yang bermaksud siapa kuat tenaga fizikalnya maka merekalah yang survive atau siapa kuat merekalah yang berkuasa kini konsep ini adalah serupa kecuali pendekatannya kalau dulu di hutan tetapi kini dalam kehidupan moden yang serba canggih.

Siapa yang mempunyai akal kancil maka berduitlah mereka dan berkuasa. Mempunyai kecerdikan tetapi jujur tidak akan menjamin kecemerlangan diri kerana pada lumrahnya orang yang jujur akan dipergunakan dan tertindas tanpa disedari. Orang yang jujur akan kalah dalam segala pertandingan dengan orang yang setaraf kecerdikannya tetapi tidak jujur. Masyarakat ketika itu memenangkan mereka kerana budaya masyarakat cenderung kepada kelicikan dan memperlekeh nilai murni yang dianggap kolot.

Sistem kemasyarakatan adalah sakit ketika itu dan virus atau kuman penyakitnya sedang dibiak oleh pemimpin Melayu kontemporari. Cuma pada ketika ini dan seterusnya, kelebihan mereka ialah mereka mempunyai ubat penawar terhadap kuman atau virus yang sedang diciptakan. Mereka dan keluarga serta keturunan mereka yang setia kepada sistem yang dicipta berdasarkan kepuasan ini akan terselamat dari bahaya penyakit itu kerana mereka selaku pembawa dan penyebar terhadap sistem itu adalah immuine dengannya.

Sakitnya sistem sosial ketika itu adalah dinilai pada hari ini tetapi pada ketika itu sistem itu telah diterima pakai dan diamalkan dengan penuh kebanggaan. Formula penawar penyakit itu ialah kesediaan mereka memilih cara hidup dengan meletakkan kepuaasan sebagai indikator. Lebih tinggi kepuasan yang boleh dirasai maka lebih tinggilah harganya dan ini berlaku kepada semua benda yang berupa barangan, perkhidmatan dan perasaan.

Kuasa mereka tidak terbatas atau terikat kepada bangsa tetapi kepada setiap orang yang dikenali sebagai pengguna yang memerlukan barangan dan perkhidmatan yang diberi dan dibekalkan oleh mereka. Apabila mereka berkuasa dengan pengaruh wang ringgit merekalah yang menentukan dasar harga. Ketika itu kuasa politik tidak bermakna kerana pada hari inipun telah kelihatan bahawa kuasa politik digerakkan dengan wang ringgit. Pengaruh politik boleh dibeli dengan wang ringgit dan wang ringgit dianggap ibu segala kebahagiaan.

Hal ini akan terjadi ketika itu memandangkan amalan dasar yang diadakan dan dipraktek serta dilatih pada hari ini adalah ke arah itu. Melayu hanya tinggal nama. Mereka yang berjuang atas nama bangsa secara kolektif ketika itu tidak mempunyai klas dan penghormatan. Mereka hanya dianggap picisan dari golongan yang tidak mempunyai maruah dan nilai kerana mereka tidak mempunyai kuasa wang ringgit yang menjadi ukuran ketika itu. Mereka juga mudah dibeli kerana kos kehidpan mereka malah nilai kos hidup sekeluarga mereka sepanjang hayat boleh dibeli, atau dengan perkataan lain boleh ditanggung dengan wang ringgit yang mereka miliki.

Ketika itu menuntut kebebasan dari kelompok materialistik adalah suatu usaha yang dianggap sia-sia dan bebal kerana mereka mahu tidak mahu terpaksa hidup secara hipokrit. Apabila dibantu, mereka terpaksa menyokong dan apabila dibuang maka jadilah mereka manusia terpinggir yang hidup dengan kepapaan atau kalau pun mereka hidup sederhana, mereka tidak berupaya mengubah keadaan. Manakala nilai-nilai murni yang cuba diamalkan oleh mereka akan menjadi unsur-unsur yang menusuk diri sendiri sebagaimana pepatah Melayu makan hati berulam jantung.

Dalam keadaan hidup yang tertekan dan terdesak, minat untuk mengembangkan dan menambah zuriat tidak gairah dan menjadi cita-cita. Pemikiran mengundang beban dan kesusahan untuk menyara anak dan keluarga yang besar akan menjadi keyakinan. Akhirnya akan menyebabkan penurunan peratusan kelahiran mahupun pertambahan keturunan mereka. Itulah Melayu yang wujud ketika itu hasil dari dasar datuk nenek moyang mereka yang berkuasa pada hari ini dan dahulu.

Ketika ini pemimpin mereka berlomba-lomba menunjukkan kebijaksanaan membuat dan mengumpul harta atas nama pembangunan dengan pelbagai usaha dan cara bagi membuktikan mereka sentiasa peka dan berusuaha menjadikan bangsa mereka maju. Pada hakikatnya keuntungan hakiki dan pemilikan harta warisan jatuh ke tangan orang lain dan ini telah terbukti bahawa telah banyak harta pusaka Melayu telah tergadai secara terhormat dan sah di sisi perundangan kepada bangsa lain yang juga menggelarkan diri mereka sebagai bangsa yang mempunyai hak yang sama untuk hidup dengan harmoni di negara ini.

Memang tidak dapat dinafikan lagi penglibatan mereka yang dahulunya merupakan bangsa pendatang dan asing tetapi mereka telah lebih cepat mengenal duri dan ranjau kehidupan dan melihat masa depan berbanding bangsa Melayu sendiri. Hasil dari penat lelah dan usaha mereka dikecapi dan diwarisi oleh anak cucu mereka. Mereka berjaya dengan mudah memiliki dan mewarisi segenap penjuri bumi negara ini tanpa halangan kerena mereka juga berhak dan merupakan sebuah bangsa yang serupa dengan bangsa Melayu dari segi undang-undang.

Hak istimewa ini telah mereka perolehi hasil dari tuntutan datuk nenek moyang mereka yang hidup sebelum ini, pada hari ini dan setererusnya diwarisi oleh mereka di masa akan datang. Kekuatan mereka tidak dapat terlawan mahupun dicabar kerana trend kehidupan pada hari ini menggunakan formula mereka yang bersandarkan material, harta dan wang ringgit.

Kuasa politik orang Melayu pada hari ini juga telah ternoda dengan kerakusan para pemimpin Melayu sendiri. Mereka telah menjual harga diri dan maruah bangsa tanpa menyedari amanat yang diberikan itu adalah suatu tanggungjawab yang terbeban kepada bahu mereka dan mesti dikembalikan menafaatnya kepada bangsa Melayu. Malangnya pengaruh dan kuasa wang ringgit telah membelenggu mereka dalam usaha mencari kedudukan dan untuk mengekalkan kuasa politik telah menghanyutkan mereka daripada matlmat murni yang sebenar.

Pada awalnya mereka begitu taksub kepada kelebihan individu atau pemimpin yang mempunyai kekayaan yang banyak dapat membantu bangsa sendiri. Pada lumrahnya dan sejak tradisi lagi pemimpin Melayu memang bertanggungjawab membantu pengikutnya daripada kesusahan hidup. Meskipun tidak ditanggung terus seumur hidup tetapi pemimpin yang berada memang mendapat tempat di hati para pengikut dan orang bawahan yang memerlukan bantuan dan perlindungan samada keselamatan mahupun kewangan.

Akhirnya matlamat mengumpul harta dan mencari kekayaan dengan berselindung disebalik terbukanya tangan yang tidak seberapa untuk membantu bangsa sendiri tersalur kepada kepentingan diri sendiri. Cita-cita yang pada mulanya ikhlas dan luhur ternoda dan bertambah teruk apabila pemimpin-pemin besar mereka tidak mengawal mereka dan memberi kepercayaan penuh asalkan setia menyokong pucuk pimpinan.

Amalan mengumpul kekayaan dengan alasan sebagai persediaan untuk membantu orang bawahan yang susah bertambah parah apabila sistem demokrasi membuka seluasnya bentuk pemerintahan rakyat di mana rakyat biasa pun juga mempunyai peluang menjadi pemimpin. Berikutan daripada itu lahirlah pemimpin yang bijak tetapi tidak mempunyai kekuatan dalam kewangan sehingga mereka terpaksa memikirkan cara-cara yang dianggap wajar untuk membuat persediaan. Lama kelamaan tanpa mereka menyedari keadaan dan kenyataan menjadi pemimpin yang bertanggongjawab sehingga mengelincirkan mereka dengan mencari sumber yang dianggap halal oleh mereka atas alasan niat murni dan terpaksa melalui kuasa yang dipegang oleh mereka.

Apabila amalan ini menjadi cara hidup dan berleluasa kepada setiap pemimpin maka terwujudlah norma kehidupan yang sebenarnya tidak sihat, pilih kasih dan berebut-rebut mencipta peluang bukan lagi menanti peluang yang bakal datang. Keikhlasan dan ketulusan tercemar dan bertukar sebaliknya hingga mengikat bangsa sendiri untuk kepentingan diri sendiri.

Hal ini berlaku dan menjadi bertambah buruk lagi apabila hak-hak rakyat diseleweng atas dasar politik dan perundangan yang memberi kuasa dan kebebasan yang tersendiri kepada para pemimpin Melayu yang terlibat. Wujudnya kumpulan peminpin Melayu kontempori yang ingin berjuang kembali ke arah ketulusan dan ketelusan dipandang serong oleh teman-teman yang lain. Ini adalah disebabkan majoriti daripada kalangan peminpin Melayu telah terperangkap dan terikat dengan budaya yang tidak sihat ini.

Kumpulan minoriti memang pada lazimnya tidak dapat menandingi pengaruh kumpulan majoriti dan mengakibatkan perjalanan politik Melayu kontempori tidak selancar dan mulus sebagaimana diharap. Sebaliknya sentiasalah termeluap dengan isu-isu yang berbau busuk bukan saja di parlimen yang dihormati malah kepada rakyat jelata. Hal inilah yang akan menghancurkan orang Melayu sendiri dan mewujudkan suatu bangsa Melayu yang berjiwa kerdil dan kecil pada masa akan datang. Mereka tidak akan berani memperkatakan yang hak apabila diri mereka sendiri tercengkam dengan hutang piutang. Hutang kewangan dan terhutang budi dan ditambah lagi dengan nilai budi bahasa bangsa yang telah tercemar.

Mereka menjadi kaum minoriti dalam memperjuangkan yang hak walhal kuantiti mereka boleh dibanggakan. Disebabkan jiwa mereka kerdil mereka mudah diperlekehkan terutama kepada golongan yang ingin mendapatkan kembali kuasa mahupun keupayaan diri dalam material dan ekonomi. Ketika itu tiada apalah yang dapat diharapkan daripada koperat Melayu kerana kehidupan mereka tidak bersandarkan peradaban halus yang berseni kebudayaan. Mereka hidup dikelambui material dan harta kekayaan. Membantu pejuang Melayu untuk mengembalikan kuasa dan ekonomi adalah mimpi dan dianggap mustahil kerana mereka dibesarkan oleh dunia material dan nafsu.

Dunia yang diharungi mereka telah meyakinkan mereka bahawa segalanya menjadi mudah dengan wang ringgit maka apa perlunya membantu bangsa yang lemah walaupun mereka adalah bangsa Melayu sendiri. Perjuangan untuk menaikkan bangsa ketika itu adalah kuno dan tidak akan mendapat perhatian dan kewajaran yang mendorong minat yang tinggi. Perjuangan yang menarik minat besar dan menjadi idaman setiap orang Melayu adalah bagaimana untuk menjadi kaya dan keluar dari kelompok manusia Melayu yang majoriti tetapi dianggap tidak berwawasan dan lemah.

Pada ketika Melayu merempat di bumi sendiri, peradaban orang Melayu tidak boleh dipersalahkan dan tidak boleh juga mereka mencemburui kejayaan bangsa lain kerana kekuatan adalah berdasarkan perolehan dan kuasa wang ringgit yang menjadi asas segala aktiviti. Banyak diantara yang menyedari hal ini dan berasa insaf dengan perangai bangsa sendiri. Mereka hanya berupaya mengeluh kerana pada waktu yang sama terdapat juga Melayu yang dibangga-banggakan. Malangnya tiada apa yang boleh diharapkan daripada mereka kerana mereka sendiri memperlekeh bangsa sendiri. Malah ada yang berani mengaku bukan bangsa Melayu dan malu berwajah Melayu.

Bersambung……….

Petikan dari sebuah buku mengenai Melayu yang bakal terbit oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere