FALSAFAH BERUK MELAYU

CERITA BERUK DALAM PENTADBIRAN AWAM MALAYSIA

Sebenarnya budaya memelihara beruk memanjat dan menurunkan buah kelapa telah dinilai oleh pengkaji Barat sebagai satu daripada kebudayaan tinggi orang Melayu yang masih wujud pada abad millenium 2k ini. Bukan pekerjaan pemungut kelapa yang diberi nilai tinggi tetapi disiplin pengajaran ilmu dan latihan yang diberikan kepada spesis haiwan yang dikenali sebagai beruk itulah yang mempunyai mutu seni yang tidak ternilai. Bagi kita, itu adalah perkara biasa dan falsafah disebaliknya juga hanya menjadi senda gurau. Namun bagi orang yang berfikiran bijak, segala sesuatu disekeliling kita memang boleh dimanfaatkan sebagaimana cerita dan falsafah beruk yang digunakan oleh sahabat Tun Sheikh ini.

Peristiswa ini benar-benar berlaku dan didengar sendiri oleh Tun Sheikh ketika diundang menghadiri satu mesyuarat yang dipengerusikannya untuk melaksanakan sebuah projek penulisan dan penerbitan yang besar di jabatannya. Ketika itu beliau baru saja naik pangkat menjadi salah seorang pengarah besar. Kini mungkin beliau telah menjawat jawatan jusa tapi tidak pula Tun Sheikh pasti kerana telah lama tidak dengar khabar berita.

Haji Abon Ismail telah Tun Sheikh kenali sejak bujang lagi. Dia seorang yang genius dan menjadi kesayangan Ketua Pengarah jabatannya. Berasal dari Johor dan mempunyai pertalian darah dengan tokoh-tokoh atau pembesar Johor malah dengan PM sekarang, tetapi tidak pernah diuar-uarkan kerana memang budaya orang Johor tidak suka membanggakan keturunan atau menunjuk-nunjuk pangkat dan kekayaan. Namun begitu memang lumrah terutama dalam budaya orang Melayu, hal-hal peribadi dan keturunan cepat saja orang tahu dan tersebar sama adalah penyakit hasad dengki dan cemburu yang negatif.

Di pejabat beliau, disebabkan kesilapan kecil tetapi itu bukanlah kesilapan bagi Tun Sheikh, kerana beliau bertemu jodoh dalam jabatan yang sama dimana pada ketika itu amat tidak digalakkan oleh kerajaan. Maka terpaksalah beliau mengharungi gosip dan fitnah Melayu yang subur di mana-mana jabatan. Lebih-lebih lagi di tempat beliau berkhidmat , kerana 96% adalah orang Melayu dan 70% adalah kaum wanita. Beliau sebenarnya ialah seorang pegawai muda yang bijak tetapi kerana kurang dimengertikan atau difahami oleh kelas menengah minda Melayu, maka segala idea geniusnya tidak dapat dipraktiskan. Akhirnya beliau dianggap terlalu kompleks dan tidak praktikal. Ini semua dakyah sahabat-sahabat pesaingnya yang tidak berwawasan seperti Haji Abon.

Haji Abon sering kali mengeluh dan meluahkan perasaan dengan sahabat handai yang rapat dengannya seperti Tun Sheikh tetapi hanya mendengarkan sahaja kerana Tun Sheikh orang kerdil dan orang luar. Dia sering terpukul dan tertekan dengan ideanya sendiri apabila beliau diarah melaksanakannya oleh pegawai atasan tanpa membekal keperluan sokongan yang lain seperti kewangan, tenaga kerja, peralatan dan lain-lain. Kebanyakan malah boleh dikatakan 65% tugasan yang dipertanggongjawabkan kepadanya gagal atau ada sahaja cacat celanya. Akhirnya beliau hanya dikenali sebagai seorang pegawai yang bercakap tidak serupa bikin dan juga sebagai tin kosong.

Masa terus berlalu dan beliau telah masuk ke kumpulan pegawai yang akan berpencen. Beliau redha apa yang tertakdir pada dirinya. Di akhir tahun-tahun perkhidmatan, kerana kekananan dan sistem PTK, beliau terbukti cemerlang di atas kertas dan di dunia minda. Beliau memang seorang yang genius tetapi tidak dieksploit kerana imej hitam yang direka oleh pesaing-pesaingnya.

Ketika sedang menjadi pengarah besar, masih ada lagi gosip-gosip dibelakang seolah-olah susah teman-temannya mahu menerima kecermelangan Hj Abon. Hj Abon tidak menghiraukan itu semua lagi kerana kejayaan demi kejayaan projek yang dilaksanakan berjaya dibuktikannya. Beliau bijak mengeksploit pegawai dan kakitangan dibawahnya. Untuk mematikan segala sangkaan dan gosip negatif, beliau telah menguar-uarkan falsafah beruk Melayu yang begitu terkesan di hati dan mewujudkan keadaan persekitaran kerja yang ceria dan berinovasi.

Di Perak katanya beruk pemetik kelapa dikenali sebagai Yop, di Kelantan Awei, di Trengganu Awang, di Negeri Sembilan Si Aman atau Siamang, di Melaka Atan dan di Johor Abu. Dan berbagai lagi nama popularnya di negeri atau di tempat lain. Pada suatu hari kerajaan telah membuat kempen untuk menaikkan pendapatan yang bersumber dari buah kelapa. Maka datanglah pelabur asing ingin melabur secara besar-besaran mengusaha perladangan kelapa. Masalah pengurusnya ialah mencari pemetik kelapa. Pengurus asing itu pun diperkenalkan dengan Persatuan Beruk Pemetik Kelapa. Pengurus asing bersetuju untuk menggunakan khidmat para beruk tetapi sangat musykil kenapa beruk-beruk itu berlainan harga. Satu kumpulan RM2,000, RM5,000 dan RM10,000.

Apabila pengurus asing itu bertanya kepada pemilik beruk-beruk itu, mereka kata beruk-beruk yang berharga RM2,000 semuanya terlatih untuk memetik buah kelapa yang dikehendaki. Beruk-beruk yang berharga RM5,000 pula hanya perlu dilepaskan sahaja di ladang-ladang kelapa. Beruk-beruk itu tahu membuat kerja, pokok atau ladang yang mana perlu diutamakan. Kalau begitu sudah cukup baik dan menguntungkan kata pengurus itu tetapi kenapa pula mesti membeli juga beruk-beruk berharga mahal iaitu RM10,000. Pengurus asing itu dijelaskan, walupun beruk-beruk yang termahal itu tidak kelihatan kuat dan mempunyai otot-otot seperti 2 kumpulan pertama tadi, tetapi jika tiada mereka semua kerja memetik buah kelapa tidak akan berjalan sebab beruk yang mahal itu bos kepada semua beruk.

Jadi tuan-tuan terasa diri tuan-tuan berada di kelompok yang mana satu? Dengan falsafah ini semua pandangan serong terhadapnya terungkai kerana pegawai bawahan beliau amat faham falsafah beruk ini. Mereka juga tidak ingin diserupakan dengan beruk. Kalau mereka tidak berpuas hati dengan Haji Abon, pada kenyataan Hj Abon sudah menjadi ketua tertinggi mereka maka segala arahan bekerja mesti dipatuhi. Haji Abon pula bijak mengambilhati pegawai bawahan. Akibatnya semua kerja atau program besar yang dipikulkan di bahunya berjalan dengan baik dan lebih sempurna daripada pesaing-pesaing beliau. Sayangnya, perkhidmatan beliau hanya tinggal dua tahun kerana persaraan wajib pada usia 58 tahun.

Oleh Tun Sheikh

1 comments:

mnsr8 said...

Pecipta Sang Beruk tiada harga nilainya..

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere