KEJAYAAN DAN KEGAGALAN FALSAFAH PEMIKIRAN DR MAHATHIR

FALSAFAH PEMIKIRAN DR MAHATHIR JUGA MUDAH LUPA

Dr Mahathir memanglah satu nama yang besar dan sangat bererti kepada Malaysia. Paling tidak beliau akan dikenang sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkuasa. Rekodnya sebagai Perdana Menteri saja ialah selama 22 tahun iaitu dari tahun 1981 hingga 2003 dan ini belum dikira beliau sebagai menteri sejak 1974. Rekod ini dijangka tidak akan dapat diubah atau dibuat lagi oleh sesiapa yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah maka hayat menjadi Perdana Menteri akan ditetapkan hanya dua penggal sahaja iaitu 8 atau 10 tahun. Cadangan ini adalah baik supaya dapat mengelakkan penggunaan salah kuasa atau rasuah kuasa dalam perkhidmatan.

Bagi Tun Sheikh, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang hebat. Ini adalah anugerah Allah kepada bangsa Melayu. Beliau mempunyai wawasan yang jauh untuk membangun bangsanya. Beliau boleh dikatakan berjaya dalam membentuk acuan falsafah pemikirannya. Walau bagaimana pun memang terdapat kelemahan dan ini timbul mengikut fitrah kerana beliau berkuasa terlalu lama. Yang paling menyedihkan apabila beliau mula melatah dan memperlekeh agama ketika beliau telah banyak membangun pembangunan minda rakyat dan juga pembangunan fizikal negara. Sayangnya beliau berpendidikan barat dan wawasannya tidak yakin terhadap kebudayaan Islam.

Dr. Mahathir telah banyak berjasa tetapi jasanya tercemar dengan kesilapan akibat rasa kebanggaan dan kesombongan dirinya sendiri hingga hampir beliau dipaksa meletakkan jawatan atau mungkin dipecat oleh orang UMNO sendiri jika beliau tidak berbuat demikian. Malah selepas persaraan beliau, Dr. Mahathir telah dipulaukan dengan begitu ironi sekali. Beliau adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan pantas menerima kenyataan bahawa popularitinya mula menurun kerana terlalu lama mengetuai UMNO dan negara. Beliau menerima balasan yang kurang baik dari segi penghormatan atau moral daripada acuannya sendiri.

Beliau berjaya kerana wawasannya telah dibuat sebelum beliau berkuasa lagi. Ini diakui oleh beliau sendiri dalam bukunya Malay Dilemma. Beliau mendapat idea sejak di alam persekolahan dan di universiti. Apabila beliau dipecat dari UMNO pada tahun 1969, beliau telah membukukan wawasan dan pandangan beliau. Ketika kembali ke pangkuan UMNO dan menyertai kabinet, beliau hanya mengimplimentasikan saja apa yang pernah beliau fikirkan. Dr. Mahathir sangat bernasib baik kerana ketika beliau menjadi Perdana Menteri, tenaga intelektual dan tenaga teknikal dari kalangan rakyat telah pun tersedia hasil dari perancangan Tunku Abd Rahman, Tun Abd Razak dan Tun Hussein Onn.

Beliau begitu bijak mengeksploitasi ahli-ahli dan pakar-pakar yang telah dibentuk mengikut pemikirannya. Motto ciptaannya mempunyai spiritual yang tinggi dan mendorong manusia Malaysia menjadi agresif dan proaktif. Motto Malaysia Boleh begitu keramat sekali tetapi sayangnya motto ini seolah-olah dimatikan dan semangat dan falsafahnya tidak diteruskan. Sebenarnya falsafah motto ini sahaja boleh berkembang dan berdiri sendiri. Ia boleh difahami sebagai Kita Boleh dan Saya Boleh dan sebagainya.


Wawasan penswastaanya kelihatan amat berjaya tetapi wawasan ini telah terperangkap dalam kawalan para pengusaha yang menjurus kepada sifat tamak haloba. Ini adalah disebabkan sistem ini akhirnya mengarah kepada monopoli dan sistem monopoli sebenarnya memberi kelebihan dan keuntungan yang besar kepada segelintir kecil pemilik perusahaan itu. Rakyat dari kelompok majoriti adalah pengguna dan lubuk pasarannya. Maka perolehan yang menguntungkan dalam apa saja yang berbentuk monopoli adalah hanya kepada pemiliknya yang kecil. Orang ramai teraniaya dalam sistem monopoli yang sebenarnya sedang diamalkan oleh negara ini. Tetapi mereka berselindung di sebalik istilah perusahan dan perdagangan kapitalis.


Hari ini rakyat telah mula merasa bahangnya dasar penswastaan. Kenaikan harga barangan dan kos sebenarnya ditanggong oleh rakyat jelata. FELDA tidak lagi memberi kebajikan yang membanggakan kepada peneroka sebagaimana dasar penubuhannya. Begitu juga dengan pembekalan air dan eletrik dan jalanraya atau lebuh raya dan lain-lain. Masalah ini akan bertambah mencengkam rakyat apabila barisan pemerintah lemah. Lebih-lebih lagi jika rasuah telah membudaya. Dan amat parah jika perjalanan politik dibiayai oleh mereka.


Itulah diantara sebabnya Dr Mahathir menangis dihujung hari persaraannya. Beliau ingin duduk lagi untuk membetulkannya tetapi beliau sudah tidak dapat diterima lagi. Beliau menangis kerana acuan pemikiran dan falsafahnya tidak diikuti mengikut acuan yang disediakan. Dan beliau telah melihat kegagalan total akan berlaku. Tunggu sahaja masanya. Sebenarnya masa masih ada untuk memperbetulkan diri tetapi sayangnya pemimpin didikan beliau telah terlalu jauh terperangkap dan falsafah pemikiran mereka tidak berpijak di bumi. Mereka hanya berselera dan bernafsu besar terhadap hasil atau imbalan yang besar berbanding dengan usaha dan kerja yang sedikit. Mereka menganggap diri mereka hebat dan bertambah sombong dan angkuh sehingga kepada Dr. Mahathir pun mereka telah hilang hormat.


Dr. Mahathir juga menangis kerana dia mengakui walau pun dia ada darah Mamak tetapi jiwanya adalah Melayu tulin. Dia pernah mengingatkan orang Melayu memang mudah lupa. Beliau sendiri sebagai orang Melayu pun mengakui sama bahawa itulah sifat negatif Melayu yang juga dimiliki beliau. Akhir-akhir ini otak dan pemikirannya seperti cergas kembali kerana dapat menanggap perkara-perkara yang negatif yang diamalkan oleh barisan kepimpinan anak didiknya. Beliau menyindir pemimpin dunia yang rasuah. Contohnya kepada Tony Blair yang menjadi jutawan dan pada waktu yang sama sebenarnya beliau menyindir anak-anak didiknya yang cepat kaya sampai tidak boleh diterima akal semasa menjadi menteri dalam kabinet Malaysia walau hanya satu atau dua penggal. Ini termasuklah menteri-menteri besar tetapi samada mereka peka atau sebaliknya inilah yang menyedihkan beliau.

Lebih banyak Dr Mahathir menyindir lebih banyaklah ludahnya hinggap ke pipinya sendiri. Kebaikan atau keinsafan Dr Mahathir tiada siapa yang memerhatikan kerana memang dasar Melayu…..Melayu Mudah Lupa. Dan orang yang mudah lupa ini hanya menunggu hari terperesok dalam lubang perigi jerat musuh yang sentiasa ada.

Oleh Tun Sheikh

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere