Falsafah Raya, Nostalgia Dan Realiti Hari Ini

Falsafah Raya, Nostalgia Dan Realiti Hari Ini

Betulah saranan adat budaya agar menghormati orang tua kerana usia mereka. Mereka telah lama mengharungi hidup dan telah mengumpul banyak pengalaman. Memang tepat apa yang dimaksud dari pepatah adat bahawa orang tua lebih dahulu makan garam. Kita silap jika hanya menghormati orang tua kerana ajaran dan amalan adat. Sebenarnya menghormati orang tua adalah ajaran dan tuntunan agama dan hal ini bernilai sejagat atau universal. Maka pada hari raya, adalah sangat baik yang muda datang meminta maaf kepada yang tua. Adalah amat tinggi pula nilai akhlak dari segi agama jika yang tua meminta maaf dari yang muda. Ketinggian akhlak ini tidaklah disuruhkan tetapi adalah terserah kepada orang tua yang telah sampai pada nilai akhlak murni hasil dari amalan baik dan penyucian hati. Yang muda pula sebenarnya terperangkap dengan perasaan keegoan jika tidak merasakan ketinggian akhlak orang tua yang datang meminta maaf itu adalah kehebatan diri si tua bukannya kerana kehebatan dirinya yang masih muda.

Hari ini, maaf bermaafan itu kelihatan seperti di bibir sahaja. Ini adalah kerana amalan dan hasil didikan generasi sekarang yang longgar. Apabila ibu bapa mereka tidak mendidik dan membiasakan mereka bermaaf-maafan sejak kecil maka apabila mereka sudah dewasa dan menjadi ibu bapa kepada anak-anak mereka, mereka tidak dapat menikmatinya.

Keseronokan berhari raya ketika ini kelihatan semakin hambar kerana kehidupan seharian semakin sibuk pada nilai yang kurang. Maksudnya, kita terpaksa bekerja lama berjam-jam tetapi tidak begitu berat dan upahnya pun sebenarnya tidak begitu lumayan. Kerja seharian kita memakan masa yang panjang tetapi hasilnya tidak berkualiti dan upahnya sekadar memadai. Maka hari raya terasa hambar kerana pada keseluruhannya hidup kita tidak terlalu susah sebagaimana orang dulu-dulu mengharungi hari raya yang dianggap sebagai hari yang amat besar.

Nilai sesuatu kegembiraan pula sering diperolehi. Berbanding dahulu, kepuasan yang dicari bukan kegembiraan. Dan kepuasan itu diketahui tidak bertepi dan orang-orang dulu tahu membatasinya. Apabila batasan perasaan dan kepuasan dibatasi maka pembangunan dan kemajuan fizikal berjalan agak perlahan tetapi mereka mengecapi rasa puas yang optima dan berkualiti.

Hari ini sudah ada trend membeli lauk pauk untuk hari raya. Membeli kuih muih sudah menjadi perkara biasa. Tidak perlu membuatnya sendiri lagi. Kini sehari sebelum raya pelbagai persediaan dan keperluan raya seperti ketupat, lemang dan lauk pauk yang berbagai sudah ada terjual di sepanjang jalan di laluan ramai tidak kira dalam bandar mahupun jalan antara kota. Berbanding budaya dahulu yang disediakan dan dimasak sendiri. Apabila tiada kerja yang terpaksa diharungi dengan keseriusan dan kesusahan maka hilanglah thrillnya dan bertambah hambarlah raya yang diharungi.

Jika kita melihat orang Eropah yang menganggap diri mereka telah maju berbanding orang timur, mereka tiada lagi mempunyai budaya yang unik kecuali seragam dan begitu hambar. Ini adalah kerana perubahan yang mereka sendiri lakukan kerana mencari jalan mudah untuk bersenang dalam kehidupan seharian. Budaya ini pula sedang kita tiru. Tentu sekali kita akan kehilangan nikmat dan keseronokan apabila hari raya telah menjadi hambar seperti hari-hari biasa. Apabila hari raya hanya dirasakan sehari maka tiada apa yang perlu disediakan untuk menghadapi hari raya yang hanya satu hari. Sikap fitrah manusia memang tidak suka kepada yang susah. Jika mengikut peringatan agama bahawa selepas kesusahan ada kesenangan dan selamanya ia beriring. Sehubungan itu jika kita tidak mengenal kesusahan maka kita juga tidak akan mengenal kesenangan. Meskipun kita dalam kesenangan pada hakikatnya kerana kesenangan kita tidak terhambat dengan kesulitan atau kesusahan maka kita akan buta kepada kenikmatan dan tidak akan berasa syukur.

Hari raya pada asalnya bermaksud hari kejayaan. Hari selepas atau setelah terlepas dari kesusahan dan kepayahan. Dan agama Islam menetapkan hari raya disambut selepas sebulan berpuasa Ramadan. Dan puasa pada bulan Ramadan ini adalah suatu ketetapan dan kemestian. Jika dengan logiknya apalah perlu kita mengulangi hari-hari kesusahan dan kepayahan. Tetapi adakah layak kita merayakan sesuatu yang tiada kesusahan dan kepayahan. Maka sebab itulah agama adalah petunjuk dan bukan berdasarkan akal. Ada rahsia dan hakikat yang tersirat yang akal kita tidak akan sampai menanggapinya. Hanya Sang Pencipta yang mengetahuinya dan Dialah yang berhak menguji kita. Akal yang baik bukanlah akal yang berupaya mencipta kesenangan. Akal yang baik adalah akal yang mengetahui bagaimana menggapai ketenangan dan tawaduk kepada tuhan.

Maka nikmatilah raya tetapi jangan melampaui batas dengan melakukan maksiat kepada Sang Pencipta. Hari raya di zaman dulu sengaja dimeriahkan dengan panduan agama bukannya nafsu. Kepada yang ditimpa musibah, kemalangan dan kefakiran, mereka dibantu segera agar pada hari raya mereka dapat sama turut bersyukur menikmati hari kejayaan dari kesusahan. Hari ini, raya seolah hari menunjuk-nunjuk kesenangan bukan beraya bergembira terlepas dari kesengsaraan. Jauh sekali jika dapat merasakan kejayaan dengan membantu mereka yang malang. Maksudnya pernahkah kita berasa susah membantu insan yang dalam kesusahan dan pada hari raya kita bersama-sama mereka beraya menikmati hari tanda berjaya bersama keluar daripada kesusahan. Atau sanggupkah kita mengorbankan harta, wang ringgit dan masa kepada mereka yang malang sebelum layak kita berhari raya?

Kita sangat berbangga bahawa kita sentiasa hidup dalam kesenangan. Tetapi sebenarnya kita lupa kita sebenarnya belum berjaya kerana jika kita berasa sentiasa dalam kesenangan bererti kita belum menikmati hari raya kerana hari raya adalah hari kejayaan atau hari merayakan pelepasan diri dari kesusahan dan kepayahan. Dengan itu apakah perlu kita menjerumuskan diri dalam kesusahan. Di situlah rahsia kita diwajibkan berpuasa yang kadang-kadang pada logiknya memang tiada keperluannya.Dan disitulah juga rahsia kita diwajibkan berzakat yang pada perasaan kita amat menyusahkan.

Agama menyarankan agar kita sentiasa melihat dua hala kenikmatan hidup iaitu orang atasan dan orang bawahan. Jika kita orang atasan dan tidak suka atau tidak mahu melihat orang bawahan maka sebenarnya kita sedang berada pada kumpulan yang paling bawah dan begitu juga jika kita asyik memandang dan mengidam kehidupan orang atasan. Islam adalah ditengah-tengah. Jika kita mengatakan segala kesenangan tanpa kesusahan adalah ketetapan tuhan, maka hati-hatilah kerana jika tidak pernah kita bertawaduk kepada tuhan dan tuhan mengurniakan kesenangan, maka itu istidraj namanya yang bermaksud tuhan menguji kita dengan kesenangan yang menambah kejauhan kita kepada Nya. Kita rasa kehidupan kita tidak pernah susah malah bertambah senang, tetapi rupa-rupanya bertambah jauh ketawadukan kita terhadapNya. Bila begitu…adakah kita layak menikmati hari raya atau hari kemenangan iaitu syurgaNya……..??
SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere