Malaysiaku – Falsafah Hidup Kontemporari

Malaysiaku – Falsafah Hidup Kontemporari

Pilihan Corak Kehidupan Adalah Tanggungjawab Individu

Masihkah anda ingat cerita sijanda kaya dibunuh kejam oleh peguam mata duitan? Kini cerita itu menyepi dan tidak boleh diceritakan sebarangan kerana telah menjadi kes mahkamah. Apa yang ingin dituliskan di sini bukanlah cerita bagaimana janda kaya yang budiman itu dibunuh. Tapi jika dibayangkan memang amat mengerikan. Mungkin sahaja sebelum beliau dibunuh, beliau diperkosa beramai-ramai sepuas-puasnya kerana beliau sungguh jelita. Ladang kelapa sawit yang terpagar khas itu juga dapat membayangkan kebebasan perlakuan orang yang berada di dalamnya. Selamat dari penglihatan awam dan orang ramai serta jauh terpencil pula. Semacam sengaja dirancang untuk melakukan aktiviti yang negatif. Mangsa pula adalah usahawan jutawan barangan persolekan wanita. Mungkin juga dapat kita bayangkan beliau disembelih setelah mereka puas menikmati tubuh gebu sijanda manis yang tidak berdaya itu sebelum mereka mencincang atau melapah dan kemudian membakarnya sampai menjadi abu. Mereka peduli apa kerana mereka hanya orang suruhan yang begitu taat dan setia kepada bos mereka, seorang peguam pintar yang durjana.

Mengapa jenayah yang dahsyat dan ngeri ini semakin hari semakin kelihatan berleluasa? Tidakkah kita mempunyai angkatan keselamatan khususnya pasukan polis yang hebat.? Polis kita adalah pasukan yang cekap dan canggih tetapi penjenayah kelihatan telah berasa tidak gentar lagi dengan aura polis kita. Tentunya ada sebab dan puncanya, mengapa penjenayah sudah begitu berani tidak seperti keadaan sebelum 1990-an. Atau mungkinkah penjenayah hari ini adalah terdiri daripada orang bijak dan pandai? Atau polis kita telah terkongkong dengan pelbagai rasuah sehingga auranya yang suatu ketika dulu begitu gah dan digeruni tetapi sekarang diperlekeh oleh penjenayah? Kita mestilah sentiasa peka melihat perkembangan seperti ini.

Sungguh dahsyat negara kita jika yang melakukan jenayah itu adalah orang yang berpelajaran tinggi atau berotak geliga. Kita mula mendengar pelakunya dikatakan kerasukan dan ini tentu menggelisahkan pada mereka yang ada mata hati atau mata kemanusiaan. Adalah dikhuatiri penjenayah akan terlepas begitu sahaja kerana dianggap gila atau kurang siuman ketika melakukannya. Itulah bahayanya jenayah hasil tangan manusia yang berkolar putih. Perencanaan mereka sungguh teliti seolah-olah di penghujung jalan mereka akan terselamat atau diselamatkan oleh undang-undang itu sendiri daripada hukuman mati.

Anda tentu tidak lupa kata-kata daripada seorang peguam kroni yang hebat, yang pernah menjadi mainan anak-anak muda kita. Pelik sungguh apabila kata-katanya sah di sisi undang-undang dan mendapat pertimbangan dan perhatian ketua hakim. Beliau berkata bahawa bahan bukti yang dirakam itu seperti suaranya. Bahan bukti gambar video itu, juga seperti dirinya tetapi belum tentu dia, kerana dia tidak mengaku itu ialah dirinya. Dia yang berhak memastikannya dan dia berjaya meyakinkan hakim bahawa kata-katanya itu, yang mengaku itu bukan dirinya. Hebat sungguh… kerana kepintarannya berjaya menipu trek minda manusia. Manusia yang ditipu atau dipaksakan menerima hujahnya itu ialah manusia yang cerdik seperti dirinya juga iaitu manusia yang faham dan tahu malah mahir dalam perundangan. Manusia yang hidup sehariannya mengamalkan undang-undang tetapi mungkin juga manusia yang telah korup akal dan minda.

Walau bagaimanapun kita haruslah berterima kasih atau terpaksa berterima kasih atas kewujudan mereka. Ini adalah kerana mereka masih berperanan besar dalam kehidupan kita. Kita juga haruslah berterima kasih kepada pasukan polis, penjaga kententeraman awam kita. Kita masih boleh hidup dengan selesa hasil peranan yang dimainkan mereka. Tahap kebejatan mereka belumlah sampai ke tahap melampau meskipun ciri-cirinya telah mula kelihatan. Dalam keadaan kesemberonoan perihal kepolisan kita, keangkuhan orang politik kita, kelucuan penghakiman kita dan kebejatan orang-orang yang jahat, kita masih rasional ketika memerhati dan ketika menikmati kehidupan. Apa yang perlu kita lakukan adalah mengawal mereka jangan sampai melampaui batas.

Bagaimana caranya, adalah dengan memegang kepala kepimpinan iaitu kuasa politik. Jika mereka lemah maka akan huru-hara kehidupan seharian. Begitu juga jika mereka tidak amanah dan terlalu rakus atau gila kuasa. Sebelum mereka menganiaya kita, maka perlulah kita segera menolak atau membuang mereka dengan cara tidak memilih atau jangan mengundi mereka menjadi wakil kita. Kita juga harus peka dan sentiasa memantau keadaan sekeliling kita supaya perkara dan hal-hal yang buruk dan jahat tidak menjadi amalan dan domain diperlakukan dalam masyarakat. Dengan itu, kita perlu menyingkirkan pemimpin yang tidak mahu atau tidak mempedulikan saranan kita agar sentiasa berlaku baik dan cenderung kepada kebaikan dan kebajikan. Pemimpin yang angkuh, sombong dan zalim kita nyahkan dari persada politik tanahair supaya mereka tidak melahirkan benih-benih kedurjanaan dan benih-benih kebejatan.

Janganlah kita lupa untuk berdoa dan berharap kepada Tuhan setelah kita puas berusaha dan melaksanakan ikhtiar dalam segala hal yang baik dalam kehidupan. Kita mesti terus bersyukur kerana hal-hal yang buruk tidak berlaku kepada kita. Kita mestilah bersimpati kepada mangsa dan keluarga yang menerima atau berhadapan musibah. Kita mesti jangan menyebelahi segala perkara kejahatan dan keburukan. Tuhan pun amat benci kepada kejahatan dan bersumpah atas nama kebaikan. Kita mesti peka dan sentiasa memantau mereka yang kita beri kuasa dan kepercayaan supaya mereka tidak menyeleweng. Kita mesti menghormati undang-undang yang menjadi tunggak keadilan dan kita mesti bersedia menukar atau memindanya jika sesuatu undang-undang itu cenderung memberi manfaat kepada pesalah laku daripada mangsa yang teraniaya. Dan ..yang amat penting sekali, kita sendiri hendaklah tahu diri sendiri, amanahlah dan usah menyeleweng!!

Masihkah anda ingat peristiwa anak-anak gadis kita dilarikan? Anak-anak comel kita gaib dari pandangan kerana diculik atau apakah nasibnya sekarang.? Tidakkah anda berasa sungguh sayu dan gegabah jika hal itu berlaku kepada diri kita sendiri? Atau bolehkah anda menerima kenyataan jika anak, abang, kakak, adik, emak, ayah atau sesiapa saja yang anda kasihi dan sayangi tiba-tiba didapati mati dan pergi untuk selama-lamanya kerana di bunuh oleh orang yang anda amanahkan, atau orang yang anda percayai, atau sesuatu kuasa yang anda hormati? Dibunuh polis misalnya, dibunuh kastam atau dibunuh pegawai penyiasat kerajaan tanpa alasan yang dapat anda terima, atau tanpa sebab-sebab kukuh?

Inilah rencam kehidupan yang menuju hala kesayuan dan dukacita. Usah biarkan rencam kehidupan ini membudaya. Gara-gara rasuah minda yang kita terima. Rasuah minda sehingga kita tidak dapat berfikir dan memilih kebaikan dan membedakan keburukan. Jangan sampai rasuah minda yang disuapkan kepada kita menjadikan kita terpaksa menerima kenyataan dan rekod hitam sebagai kelaziman hidup seharian. Amatlah buruk jika kita tidak berdaya lagi untuk memihak dan membedakan antara yang baik dan yang jahat. Antara hitam dan putih. Dan amatlah malang jika hati kita sudah terbalik apabila hal yang buruk kita melihatnya dan menerimanya sebagai terbaik. Dan hal yang baik kita benci dan menolaknya sebagai perkara yang buruk.

Sebelum perkara dan hal kehidupan yang jelek-jelek ini semua berlaku dan membudaya, segeralah kita meransang minda kita supaya kembali kepada fitrah manusia diciptakan iaitu untuk segala kebaikan dalam suasana kebaikan, untuk kebaikan dunia dan berakhir dengan kematian dalam kebaikan dan keredhaan Tuhan. Maka renung-renungkanlah keadaan sekeliling kita jangan terlambat sehingga unsur-unsur kejahatan bermaharaja lela dan membudaya. Pilih dan amanahkan kuasa kita kepada mereka yang amanah bukan kepada mereka yang memiliki unsur-unsur penipuan dan gila dunia.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere