Tun Dr. Ismail Bin Dato’ Abdul Rahman Dilupakan?

Tun Dr. Ismail Bin Dato’ Abdul Rahman

Tokoh Negarawan dan Timbalan Perdana Menteri Yang Dilupakan?

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Benarkah ketokohan Tun Dr. Ismail telah terabai atau dilupakan? Desas-desus daripada penulis-penulis sejarah banyak membicarakan ketokohan Tun Dr. Ismail akan tengelam mengikut zaman. Punca utama adalah kerana ada gelombang atau sekelompok kumpulan penulis atau penulis upahan UMNO seolah-olah diarah untuk tidak menonjolkan sejarah perwatakan Tun Dr. Ismail sebagai seorang tokoh negarawan yang perlu sentiasa diingati seperti YM Tunku dan YAB Tun Abdul Razak dan lain-lain. Alasan dangkal mereka, adalah kerana tidak mahu menyeret atau mengaitkan kewibawaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai orang yang berjasa kepada negara dan bangsa dalam rentetan sejarah perkembangan politik UMNO kerana DSAI juga pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Percubaan kumpulan ini menafikan kewibawan Dato’ Onn di era Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri seolah-olah dianggap berjaya. Tetapi cobaan untuk menonjolkan banyak catatan sejarah terhadap pendirian Tunku yang dianggap bengkok dan tersasar kerana meninggalkan UMNO dan menyokong Semangat 46 adalah gagal. Ini adalah kerana YM Tunku sendiri mengambil inisiatif menulis biorgrapinya dan menulis pengalaman beliau mengikut apa yang pernah beliau lalui dan fikirkan dalam akhbar STAR dan lain-lain penerbitan sehingga menjadi begitu berfaedah sebagai rujukan dan kegunaan dalam penyelidikan mengenai politik negara.

Apakah motif sebenarnya UMNO melakukan ini atau setidak-tidaknya mengapa tiada kepekaan terhadap kegiatan penulis sejarah upahan yang profesional ini tidaklah diketahui. Apa yang terlihat ialah orang UMNO dan pemimpin kontemporari mereka seolah-olah berselindung disebalik aktiviti tidak bermaruah itu. Mereka sebenarnya adalah pemimpin yang bebal dan mementingkan diri serta cetek akal fikiran dan gila materi atau materialistik. Mungkin mereka telah merasakan bahawa kesempatan mereka berkuasa telah sampai ke penghujung. Justeru mereka berlomba-lomba menguburkan kewibawaan pemimpin lain terutama pemimpin yang jujur dan ikhlas. Manakala mereka sendiri berusaha dan terpaksa mengampu untuk sama-sama bertahan sambil membungkus dan mengumpul harta daripada segala peluang yang berkesempatan.

Jika dipandang balik ke belakang ketika aktiviti yang sama dilakukan oleh konco-konco Tun Dr Mahathir terhadap pemomokan jasa Dato’ Onn dan YM Tunku, itu kelihatan jelas kerana Dr Mahathir memang seorang yang tidak mahu orang lain lebih superior dari dirinya. Walau bagaimana pun beliau akhirnya terpaksa menerima kenyataan bahawa keterlanjuran beliau telah memakan diri sendiri hingga hampir-hampir beliau hilang penyokong dan dipecat oleh orang UMNO sendiri. Cita-cita tersembunyi beliau untuk mencipta rekod memerintah negara selama 30 tahun tidak tercapai. Ini adalah kerana bukan sahaja orang UMNO tetapi seluruh rakyat telah merasa dan terlihat bahaya kuku dan taringnya mula kelihatan ke arah menjadi besi. Atau mungkin sebenarnya Tun Mahathir berasa dirinya dalam kedudukan yang benar-benar ikhlas untuk kepentingan bangsa Melayunya tetapi tanpa beliau sedar, kroni-kroninya yang tamak telah memerangkap diri beliau dalam jerat gaib yang merosakkan namanya sendiri.

Dalam beberapa penyelidikan oleh beberapa siswazah universiti tempatan dan para penyelidik SEAS yang berpusat di Singapura dan juga beberapa penulis persendirian seperti dari keluarga pembesar Cina Johor iaitu keluarga Wong Ah Fook yang pernah menemubual keluarga terdekat Tun Dr. Ismail, telah menyimpulkan bahawa keluarga tokoh wira itu memang berasa terkilan dan kecewa. Antara mereka, berasa yakin bahawa disebabkan kekecewaan ini keluarga Tun Dr Ismail tidak bercadang menyerahkan rekod-rekod penting bernilai sejarah milik mereka kepada agensi atau kerajaan Malaysia. Mereka hilang kepercayaan terhadap kesetiaan dan ketulusan pemimpin Melayu UMNO kontemporari. Hal ini tentu sekali merugikan negara bangsa kita tetapi puncanya ialah dari sikap bias dan tidak cerdek pemimpin kita sendiri.

Meskipun begitu perlu diberi pujian dan ucapan tahniah kepada Arkib Negara Malaysia terutama kepada bekas-bekas ketua pengarah yang telah bersara kerana mereka telah memulakan projek mengumpul bahan-bahan Tun Dr Ismail bermula sejak tahun 1980-an. Koleksi di Arkib Negara meskipun terhad kerana ketika itu tiada pembiayaan dan tidak cukup peruntukan namun dapat menjadi bukti bahawa kerajaan tidaklah mengabaikannya . Tetapi adalah tidak dinafikan bahawa jabatan itu hanya aktif menjalankan sesuatu aktiviti mengikut sokongan dan tidak terlepas juga dari arahan dan kehendak kementerian yang dipengaruhi kefahaman politik sempit.

Setelah mengetahui betapa pentingnya sesuatu catatan atau rekod bernilai sejarah dan sebagainya maka adalah wajar kita memberi kerjasama dan menyokong agensi-agensi swasta dan kerajaan yang berusaha menyimpan dan memelihara khazanah warisan bangsa. Kita mestilah menolak usaha kelompok orang atau penulis upahan yang bebal dan tidak mengetahui faedah maklumat penting hari ini yang bakal menjadi panduan dan rujukan untuk pembangunan dan perkembangan minda generasi kita di masa hadapan. Kita perlu menolak pemimpin Melayu yang mementingkan diri dan tiada wawasan memajukan bangsa. Janganlah kita hiraukan mereka yang menjadi petualang mengikis maruah bangsa. Justeru itu segala rekod berkenaan semua tokoh kepimpinan bangsa kita tidak kira sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang seperti milik atau berkaitan YM Tunku, Dato’ Onn, Tun Dr. Ismail mahupun Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya, asal bernilai positif kepada tamadun dan kebudayaan warisan bangsa hendaklah kita pelihara.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere