Apabila Para Peguam Berpolitik

Apabila Para Peguam Berpolitik

Pada tahun-tahun sebelum 1980-an para peguam dan komuniti pengamal perundangan ini kelihatan seperti tidak wujud dalam kelompok rakyat majoriti atau pertengahan. Mereka seolah-olah tiada dalam arus perdana kelompok terbesar rakyat. Ini adalah kerana mereka tidak aktif berpersatuan dan tidak banyak berkhidmat secara sukarela dalam masyarakat. Penyebab utama ialah mereka terpaksa mengikut dan menjaga etika kepeguaman. Para hakim dan peguam atau masyarakat pengamal perundangan ini semuanya professional dan begitu taksub menjaga standard sosial mereka. Mereka hidup dalam kelompok mereka sendiri dan kelihatan begitu bergaya malah disanjung dan dihormati.

Alasan utama mereka dapat diterima berkelakuan seperti orang asing dalam masyarakat atau dalam penghidupan rakyat biasa seharian adalah kerana mereka dianggap pengamal atau pakar dalam segala peraturan dan undang-undang. Mereka dianggap orang yang bijak dan serba tahu berkenaan perundangan. Mereka sangat dihormati. Sebut sahaja peguam atau hakim, rakyat biasa berasa segan pada mereka. Hal yang sangat menyedihkan ialah tanggapan rakyat biasa yang tidak menolak kefahaman atau fikiran yang mengatakan mereka terpaksa berkelakuan begitu supaya tidak bias atau tidak diambil kesempatan kepada sesiapa yang berhadapan dengan pertuduhan dalam kes dan penghakiman di mahkamah. Ini memang logik malah sudah menjadi norma yang amat kukuh dan berprestij.

Penglibatan komuniti peguam dalam aktiviti kemasyarakatan terutamanya dalam kerja-kerja amal dan kebajikan berlaku secara drastik ketika dalam era Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir. Kekebalan dan gaya hidup peguam dengan kelompok mereka sendiri seolah-olah tercabar apabila bidang kehakiman terikat dengan kuasa ekserkutif kerajaan. Mereka tidak lagi mempunyai pengecualian dan terpaksa memperjuangkan keistimewaan mereka. Sebelum Tun Dr Mahathir berkuasa, jarang ada persatuan peguam turun padang mengambil tahu atau terlibat dengan aktiviti rakyat biasa. Ini adalah kerana mereka selesa dilindungi norma hidup yang mewah dan berperestij tinggi yang dilindungi undang-undang bertulis yang mereka cipta.

Mereka mudah mendapat pendapatan atau sara hidup melalui caj-caj kepeguaman dalam semua kes sama ada perdagangan, civil dan jenayah. Tidak kira sama ada kes-kes yang menggunakan khidmat mereka menang atau kalah dalam mahkamah , mereka tetap dapat habuan kerana semua kes yang didaftarkan terpaksa diproses menggunakan perkhidmatan mereka. Perjanjian dalam urusan perniagaan dan perdagangan juga terpaksa menggunakan perkhidmatan mereka dan caj-caj dokumen perjanjian yang ditetapkan oleh mereka sah dalam sistem perundangan seluruh dunia. Dengan perkataan lain, sumber pendapatan mereka sudah terjamin dilindungi undang-undang.

Pada dekad-dekad sebelum era Tun Dr. Mahathir, para peguam yang mencebori politik sering mendapat tempat teratas. Jika dalam parti pemerintah, mereka dengan mudah menduduki jawatan tertinggi sehingga banyak yang menjadi menteri. Sejarah telah mencatatkan bahawa tiga bekas Perdana Menteri Malaysia sebelum Dr. Mahathir adalah berkelulusan undang-undang. Pengamal Guaman yang menjadi pembangkang pula amat terkenal seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang aktif sehingga hari ini. Sangat sedikit para peguam atau yang berjawatan hakim terlibat membuat kerja-kerja sukarela. Mereka yang memberi khidmat percuma atau secara sukarela atau aktif menceburi persatuan atau NGO yang berdasarkan amal kebajikan boleh dikira dengan jari.

Trend ketika itu sangat difahami oleh semua rakyat kerana tidak ada yang percuma dan kos-kos kepeguaman yang mahal terpaksa ditanggong oleh sesiapa yang terlibat dengan kes-kes mahkamah. Rakyat yang miskin terpaksa mengorbankan harta seperti menggadai tanah walau sekangkang kera. Hal ini telah menyebabkan kerajaan terpaksa menubuhkan Jabatan Biro Bantuan Guaman yang berfungsi memberi nasihat dan konsultasi kepada rakyat yang tidak berkemampuan. Biasanya kes-kes yang dibantu oleh pejabat guaman sering kalah dalam mahkamah kerana peguam kerajaan yang makan gaji itu disediakan hanya bagi melancarkan prosedur dan proses guaman. Setelah intitusi kepeguaman atau kehakiman ini tercalar kerana penglibatan serta campurtangan kuasa ekserkutif kerajaan, barulah tumbuh banyak persatuan yang berteraskan professional kepeguaman, bergiat dan berjuang berdasarkan hak kemanusian, kebajikan dan keadilan awam.

Peguam turun padang semakin popular apabila berlaku penganiayaan oleh PM kepada timbalannya pada tahun 1998. Para peguam yang berasa PM telah mula menggunakan kuasanya seperti ke arah kuku besi telah bertindak memberi perkhidmatan percuma kepada bekas TPM yang terseksa dalam penjara dengan retak tulang dan bermata lebam. Kekuatan dan pengaruh mereka mula dirasa oleh masyarakat. Mereka tetap dihormati dan dianggap sebagai golongan yang berwibawa dan persepsi nounsa kesombongan atau kekecualian pada golongan ini mula terhindar sedikit demi sedikit. Penglibatan mereka membantu rakyat dalam kes-kes di mahkamah atas dasar menuntut dan membela keadilan adalah sangat dihargai. Mereka yang memberi perkhidmatan percuma atas faktor pri kemanusian adalah disanjung tinggi.

Kini sudah ramai para peguam terlibat dalam politik secara langsung. Hal ini telah mengimbangkan kuasa politik kerajaan yang selama ini kelihatan seperti tiada pemantauan dari para pakar perundangan sehingga menyebabkan berlaku pelbagai kes-kes penyelewengan dalam pelbagai bidang. Malah kedudukan kerajaan kini semakin goyah kerana terlalu banyak kes penyelewengan dan salah menggunakan kuasa dikesan dan didedahkan di mahkamah. Rakyat kini mendapat kefahaman yang lebih baik mengenai suasana dan keadaan persekitaran mereka.

Apabila semakin ramai para peguam berpolitik dan menyertai parti pembangkang, maka nasib rakyat yang teraniaya dengan janji dan tipu helah politik kerajaan semakin mendapat pembelaan. Dipihak kerajaan pula, seolah-olah sedang tertolak ke jurang kehancuran kerana penyelewengan dan penipuan politik yang dimainkan selama ini telah merugikan rakyat dan tidak dapat lagi diterima. Pada hakikatnya hal ini bukanlah luar biasa kerana inilah hukum karma dunia. Tidak secara segara, cepat atau lambat, perkara-perkara yang jahat dan batil akan tersingkap jua dan pelakunya yang tidak amanah, penipu dan penyeleweng akan terhukum jua sama ada mengikut perundangan atau daripada kegelishan sendiri dengan membuka pekung diri sendiri.

Parti pembangkang pada hari ini kelihatan semakin kuat. Adalah amat sedih dan sangat dikesalkan kerana kerajaan yang juga memiliki ramai para ahlinya yang mempunyai latar belakang kepeguaman tidak dapat dipergunakan kerana kesilapan mereka sendiri yang telah mencucuk hidung mereka hingga berasa selesa hidup dalam kemewahan hasil penyelewengan yang disogokkan. Mereka kini tidak berani dan tidak mempunyai asas untuk membela kerajaan kerana mereka amat sedar selama ini mereka telah menyebelahi dan bersyubahat dengan segala penyelewengan dan penipuan yang memenangkan kerajaan.

Penglibatan para pengamal perundangan ini dalam politik dan kerja-kerja amal bagi menegakkan etika perundangan iaitu mempertahankan yang hak dan kebenaran tanpa mengira bulu mestilah diterima dan disanjung tinggi oleh rakyat. Mereka bukan sahaja sangat penting bagi memastikan kes-kes perundangan tidak diselewengkan tetapi juga sebagai satu kuasa pemantau dan penentu kepada sesiapa yang memegang tampuk kerajaan supaya mentadbir dan memerintah mengikut ketetapan undang-undang yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Putrajaya 15.3.2012

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere