TEMA KEMERDEKAAN 2012 “JANJI DITEPATI” SILAPNYA DI MANA?


TEMA KEMERDEKAAN 2012 “JANJI DITEPATI”  SILAPNYA DI MANA?

Sebenarnya tiada apa yang janggal, salah atau silap jika  tema kemerdekaan 2012 “Janji Ditepati” digunakan pada masa dan keadaan yang betul. Punca rakyat menolak sehingga ada yang anggap tema ini memualkan adalah kerana kejumudan pemikiran UMNOBN. Mereka menunjukkan sikap degil dan angkuh yang menyebabkan rakyat rasa meluat.  UMNOBN masih tidak berasakan bahawa kebencian rakyat terhadap ego dan keangkuhan mereka telah sampai ke paras melampau batas di mata rakyat. Ini adalah kerana ketidakperihatinan UMNOBN terhadap teguran rakyat. Hal ini juga berpunca daripada ketidaksenang hati rakyat yang sedang dalam tekanan hidup akibat inflasi, pengecilan kuasa beli mereka dan kesempitan hidup.

Amat mendukacitakan, UMNOBN kelihatan tidak menyebelahi atau membela nasib dan masalah rakyat tetapi sebaliknya menyebelahi kroni-kroni pemilik barang dagangan yang menaikkan harga. Kerajaan dilihat tidak adil dan tidak bertanggongjawab kerana mengambil kesempatan menggunakan wang negara untuk projek-projek mega yang ada kaitan dengan kroni mereka dan mempunyai kepentingan pribadi.  Lebih menyakitkan hati ialah kebebasan melampau oleh UMNOBN mengurus hasil negara terutamanya yang berkaitan dengan perusahaan  minyak petroleum negara. Tidak adil dalam pembahagian hak hasil negeri dan menipu pelbagai fakta rasmi yang berkaitan kewangan, taraf sosial, taraf hidup dan kemiskinan. Pada waktu yang sama pula, pemimpin UMNOBN terus menerus menunjukkan kemewahan dan keborosan hidup sehingga rakyat yakin, adalah mustahil mereka dapat menikmati kemewahan yang melampau itu berbanding dengan gaji dan elaun atau pendapatan rasmi tahunan mereka.

Jika tema “Janji Ditepati” belum pernah digunakan oleh UMNOBN, sudah tentu kesan penolakannya tidak begitu timbul menonjol. Banyak keluhan dan permintaan rakyat diabaikan oleh kerajaan UMNOBN dengan hujah dan alasan yang tidak professional sebelum kata-kata Janji Ditepati digunakan. Ketika kata-kata itu dipopularkan oleh UMNO, rakyat berasakan ia hanya untuk mengelirukan rakyat yang ternyata telah melihat kebaikan dan kebajikan pemerintahan kerajaan parti pembangkang di negeri-negeri dikuasai mereka. UMNO pula terus berusaha menafikan usaha dan dasar kebajikan pembangkang meskipun secara rasmi tercatat dalam laporan-laporan tahunan banyak jabatan kerajaan, Jabatan Audit Negara dan laporan rasmi dalam parlimen.
Pada hakikatnya, UMNO berasa telah gagal menandingi janji kebajikan yang dilaksanakan oleh pembangkang kerana budaya rasuah dalam UMNOBN telah membudaya dan tidak dapat dihapuskan lagi. Justeru mereka mengangkat kata “Janji Ditepati” menjadi tema kebangsaan atau Negara dengan harapan rakyat dapat menilai jasa-jasa UMNOBN selama memerintah negara sejak merdeka. Hal ini terus membuka mata dan hati rakyat banyak dan rasa kebencian sebenarnya bertambah kerana budaya Melayu memang menolak perangai atau kelakuan yang mengungkit-ungkit budi yang telah berlalu.

Apa yang diharapkan oleh rakyat ialah UMNOBN segera dan serius melawan dan menghapuskan budaya rasuah dan budaya mengutamakan kroni yang menyebabkan kuasa ekonomi rakyat semakin meruncing dan terhimpit. UMNOBN sebaliknya berterusan berusaha mengalihkan isu rasuah dan salah menggunakan kuasa serta pecah amanah dengan isu-isu kecil. Isu-isu kecil yang tidak relevan dibuat-buat seperti sangat penting dan merbahaya dan  diberi keutamaan. Lebih mendukacitakan ialah apabila ramai pemimpin bertaraf menteri melatah atau mengeluarkan makluman bodoh yang menunjukkan ketidakcerdikan mereka. Ini sangat membimbangkan rakyat kerana mereka dilihat tidak ikhlas dan tidak bermutu kecuali seperti pembodek atau pengampu sahaja. Manakala di waktu yang sama kecekapan dan kewibawaan para pemimpin pembangkang terus meningkat dan cemerlang. Mereka berjaya bersikap telus, amanah  dan berintergriti serta memberi keutamaan menyelesaikan masalah rakyat daripada kepentingan diri peribadi.

Tiada kejanggalan jika tema “Janji Ditepati” belum pernah dipakai dan diuar-uarkan sebagai dasar masa akan datang. Tetapi sebaliknya para pemimpin UMNOBN seolah-olah menuntut rakyat mengenang jasa parti mereka padahal pada waktu kontemporari atau ketika ini mereka sangat mendukacitakan kerana menonjolkan kebobrokan akhlak dan budaya pecah amanah serta membudayakan politik rasuah, politik wang dan budaya fitnah yang menjatuhkan maruah budaya bangsa Malaysia sendiri ke seluruh pelusuk dunia.

Suatu hal yang amat ketara yang kelihatan sengaja tidak dipedulikan oleh para pemimpin UMNOBN ialah terhadap tuntutan mengangkat nilai-nilai murni seperti menuntut keadilan dalam proses pilihanraya, memperbaiki system pilihanraya itu sendiri dan menuntut kewajaran perjalanan sistem kehakiman tanpa pengaruh dan campurtangan kuasa ekskutif dan perjalanan system kawalan keamanan dalam negeri yang dipertanggongjawabkan kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia yang dilihat begitu tercemar dan negative.

Selain yang tersebut, kerajaan UMNOBN mungkin sudah lupa bahawa kesan pentadbiran bekas PM Dr Mahathir adalah sangat buruk dan busuk. Beliau sepatutnya dibersihkan segera atau setidak-tidaknya dilupa atau diluputkan kerana beliau sudah bersara dan zaman kegemilangannya sudah berlalu. Tetapi pengaruhnya yang tidak disukai oleh bukan sahaja ramai rakyat Malaysia tetapi juga seluruh dunia yang seharusnya tidak diwarisi atau tidak membayangi pentadbiran dan pemerintahan PM Malaysia selepas persaraan beliau berterusan ditonjolkan. Rakyat sebenarnya belum lupa terhadap paksaan tema “Keranamu Malaysia” yang sebenarnya adalah kempen yang memaksakan untuk rakyat mengingati dan mengenang jasa Dr M pada ketika beliau mula dibenci. Tema “Keranamu Malaysia” adalah menyerupai “Janji Ditepati”, mempunyai kepentingan pribadi atau parti padahal kepentingan berbau pribadi atau parti sepatutnya tidak tertonjol apabila berkaitan dengan kebangsaan atau negara bangsa.

“SELAMAT BERHARI RAYA DAN MENYAMBUT KEMERDEKAAN 2012”
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Dataran Merdeka KL 27.8.2012

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere