Melayu Glokal Yang Jumud

0 comments
Melayu Glokal Yang Jumud

Di era Tun Dr Mahathir, Malaysia amat terkenal di persada dunia. Kemajuan pelbagai bidang seperti teknologi, perindustrian, perkilangan dan pembangunan fizikal perbandaran berkembang maju sehingga Putrajaya menjadi lambang yang dibanggakan. Ramai teknokrat dan ahli profesional dalam pelbagai bidang lahir. Di bidang politik pula, Malaysia dianggap lantang kerana keceluparan Tun Dr Mahathir. Pada ketika itu pemikiran Melayu bersemangat dan berdaya saing kearah standard antarabangsa. Sayang sekali di era Tun Dr. Mahathir, kewujudan pemikiran politik bertaraf global dari kalangan ahli politik Malaysia boleh dikatakan nil atau tiada kerana Mahathir dengan penuh bijaksana telah mengekangnya. Beliau mahu hanya diri beliau seorang sahaja yang menonjol. Orang lain telah dikonkong sebagai pak turut sahaja.

Natijah daripada kerakusan Mahathir terhadap populariti dirinya, negara ini kelihatan ketiadaan pemimpin yang sehebat dirinya setelah beliau beundur. Pak Lah selaku peganti dan terkenal dengan sikap pak turutnya kelihatan begitu lemah. Malaysia kelihatan seolah-olah diterajui oleh para usahawan dari pelbagai bidang yang diwujudkan di era Mahathir. Mereka berpengaruh dan mempunyai tangan gaib. Mereka mendesak dan memberi tekanan kepada dasar pentadbiran Pak Lah sehingga kerajaan kelihatan tidak berupaya mengawal kenaikan harga pelbagai barangan pengguna yang menguntungkan mereka. Rakyat yang tertekan telah mula keluar menyuarakan ketidakpuasan tetapi berjaya dikawal dan dipatahkan oleh kerajaan.

Setelah Pak Lah berundur dengan terhormat akibat tekanan dan desakan halus dari dalam, Najib kelihatan terkial-kial malah gagal memulihkan arah arus tuju dasar negara untuk mengutamakan rakyat. Kemajuan negara hasil sumbangan rakyat tidak ada dalam kamus pemikiran Najib. Beliau sangat yakin dengan formula yang diperkenalkan oleh mentornya Tun Dr Mahathir yang memajukan negara melalui golongan para usahawan. Beliau kelihatan menyebelahi dan mengutamakan para usahawan sehingga kelihatan sebagai penggalak kea rah sistem monopoli.

Kelemahan Najib ditokok dengan gosip-gosip terhadap isterinya yang boros telah memalapkan segala usaha dan tindakannya untuk menyatupadukan rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa. Rakyat telah mula kelihatan tidak bersatu hati secara kolektif dan formula menyatukan mereka melalu perikatan atau falsafah kerjasama kesukuan telah dianggap ketinggalan zaman.

Apa yang merisaukan rakyat dan ia adalah kenyataan di mata permerhati ialah ketiadaan ahli politik atau pemimpin BN yang berfikiran global. Kesemua mereka kelihatan begitu sibuk menyiapkan diri sendiri dan cuba menonjolkan diri dalam kelompok lingkungan sendiri. Keadaan ini telah menyebabkan negara ini tertinggal ke belakang di persada dunia kerana ketandusan pemimpin yang menonjol memberi idea dan berusaha menyelesaikan masalah luaran atau antarabangsa.

Rakyat pula seperti telah hilang keyakinan kepada tampuk kepimpinan BN kerana mereka gagal memberi alasan, jawapan dan hujah yang bernas terhadap segala isu yang timbul walaupun isu itu kelihatan mudah diatasi dari segi adat kebiasaan mahupun falsafah keilmuan. Tindakan para pemimpin yang takut atau mungkin benar-benar tidak arif menyelesaikan sesuatu isu rakyat telah menghilangkan rasa kepercayaan dan hormat kepada kepimpinan mereka. Mereka dilihat hanya mementingkan diri dan mengamalkan budaya mengampu untuk menyenangkan hati ketua daripada menyenangkan hati rakyat yang memilih mereka. Ketidakberanian mereka atau kegagalan mereka berhujah secara rasional telah membongkar ketirisan amalan mereka sebagai kelompok pemimpin yang tidak berkualiti mahupun berilmu. Mereka hanya kelihatan hebat diluaran dan lokal sahaja. Standard mereka tidak bertaraf universal, global atau sejagat mahupun bertaraf antarabangsa kerana kebebasan bersuara dan mengeluarkan idea bernas telah disekat sejak di era Mahathir.

Lebih malang lagi apabila mereka kelihatan begitu bersungguh-sunguh coba menegakkan benang yang basah sehingga kelihatan seperti tokoh yang dunggu atau bebal yang tidak nampak atau telah buta dengan hakikat kebenaran dan adat kebiasaan. Hal ini terjadi kerana mereka terlalu mementingkan diri dan sibuk menjaga kedudukan mereka untuk terus memastikan diri duduk dalam kelompok pemimpin atau pemerintah yang telah biasa hidup dalam kemewahan dengan wang rakyat. Mereka tidak berdaya saing dan kreatif untuk menyumbang bakti kepada rakyat kecuali bekerja hanya mengikut senarai tugas yang telah ditetapkan sehingga tidak membedakan mereka dengan orang lain kerana nilai dan standard mereka sebagai pengubal dasar telah terhakis.

Oleh kerana pemikiran kreatif para pemimpin BN telah jumud disebabkan budaya pak turut yang tidak sihat menjadi budaya kerja dan budaya hidup mereka, tiada lagi idea-idea dan wawasan bertaraf global lahir dari mereka. Negara ini kelihatan begitu lesu dan diburukkan lagi dengan aktiviti rasuah dalam segala bidang oleh rakyat dan pemimpin. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila para pemimpin BN kelihatan menaruh dendam dan irihati dengan keupayaan dan kebolehan pemimpin pembangkang yang didokong oleh rakyat. Pemimpin BN gagal mengesan kehebatan ketokohan para pembangkang adalah hasil dari kepekaan mereka terhadap suara dan kehendak rakyat. Isu yang ditonjolkan mereka sentiasa menarik dan relevan kepada rakyat manakala isu-isu, polimik dan wawasan kerajaan BN sering kelihatan retorik sahaja. Ini adalah kerana BN bersikap angkuh dan sombong dan tidak mempedulikan luahan dan pandangan rakyat. Mereka hanya mengutamakan pandangan para usahawan, pemodal dan kapitalis yang dianggap penyumbang ekonomi yang besar kepada mereka dalam dunia politik.

Ketika ini kita hidup dalam dunia global tanpa sempadan yang penuh dengan cabaran. Bagaimanakah kita boleh menyesuaikan diri dan menghadapi segala cabaran untuk bersaing dalam kehidupan ini jika kita tiada ilmu dan wawasan bagi menghadapinya. Adalah malang jika pemimpin kita pula tiada mempunyai wawasan untuk memimpin kita kearah tuju kehidupan yang selamat, harmoni dan maju kerana mereka tidak memiliki standard pemikiran global kecuali sibuk bergaya dan beruusha mengumpul harta dunia dari pelbagai sumber tanpa mengira halal atau haramnya lagi. Cara mudah untuk mengatasi masalah dan kebimbangan ini ialah kita hendaklah memilih pemimpin atau ahli politik yang amanah dan tahu diri untuk mentadbir rakyat. Jangan pilih Melayu berotak lokal atau glokal yang jumud.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tun Dr. Ismail Bin Dato’ Abdul Rahman Dilupakan?

0 comments

Tun Dr. Ismail Bin Dato’ Abdul Rahman

Tokoh Negarawan dan Timbalan Perdana Menteri Yang Dilupakan?

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Benarkah ketokohan Tun Dr. Ismail telah terabai atau dilupakan? Desas-desus daripada penulis-penulis sejarah banyak membicarakan ketokohan Tun Dr. Ismail akan tengelam mengikut zaman. Punca utama adalah kerana ada gelombang atau sekelompok kumpulan penulis atau penulis upahan UMNO seolah-olah diarah untuk tidak menonjolkan sejarah perwatakan Tun Dr. Ismail sebagai seorang tokoh negarawan yang perlu sentiasa diingati seperti YM Tunku dan YAB Tun Abdul Razak dan lain-lain. Alasan dangkal mereka, adalah kerana tidak mahu menyeret atau mengaitkan kewibawaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai orang yang berjasa kepada negara dan bangsa dalam rentetan sejarah perkembangan politik UMNO kerana DSAI juga pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Percubaan kumpulan ini menafikan kewibawan Dato’ Onn di era Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri seolah-olah dianggap berjaya. Tetapi cobaan untuk menonjolkan banyak catatan sejarah terhadap pendirian Tunku yang dianggap bengkok dan tersasar kerana meninggalkan UMNO dan menyokong Semangat 46 adalah gagal. Ini adalah kerana YM Tunku sendiri mengambil inisiatif menulis biorgrapinya dan menulis pengalaman beliau mengikut apa yang pernah beliau lalui dan fikirkan dalam akhbar STAR dan lain-lain penerbitan sehingga menjadi begitu berfaedah sebagai rujukan dan kegunaan dalam penyelidikan mengenai politik negara.

Apakah motif sebenarnya UMNO melakukan ini atau setidak-tidaknya mengapa tiada kepekaan terhadap kegiatan penulis sejarah upahan yang profesional ini tidaklah diketahui. Apa yang terlihat ialah orang UMNO dan pemimpin kontemporari mereka seolah-olah berselindung disebalik aktiviti tidak bermaruah itu. Mereka sebenarnya adalah pemimpin yang bebal dan mementingkan diri serta cetek akal fikiran dan gila materi atau materialistik. Mungkin mereka telah merasakan bahawa kesempatan mereka berkuasa telah sampai ke penghujung. Justeru mereka berlomba-lomba menguburkan kewibawaan pemimpin lain terutama pemimpin yang jujur dan ikhlas. Manakala mereka sendiri berusaha dan terpaksa mengampu untuk sama-sama bertahan sambil membungkus dan mengumpul harta daripada segala peluang yang berkesempatan.

Jika dipandang balik ke belakang ketika aktiviti yang sama dilakukan oleh konco-konco Tun Dr Mahathir terhadap pemomokan jasa Dato’ Onn dan YM Tunku, itu kelihatan jelas kerana Dr Mahathir memang seorang yang tidak mahu orang lain lebih superior dari dirinya. Walau bagaimana pun beliau akhirnya terpaksa menerima kenyataan bahawa keterlanjuran beliau telah memakan diri sendiri hingga hampir-hampir beliau hilang penyokong dan dipecat oleh orang UMNO sendiri. Cita-cita tersembunyi beliau untuk mencipta rekod memerintah negara selama 30 tahun tidak tercapai. Ini adalah kerana bukan sahaja orang UMNO tetapi seluruh rakyat telah merasa dan terlihat bahaya kuku dan taringnya mula kelihatan ke arah menjadi besi. Atau mungkin sebenarnya Tun Mahathir berasa dirinya dalam kedudukan yang benar-benar ikhlas untuk kepentingan bangsa Melayunya tetapi tanpa beliau sedar, kroni-kroninya yang tamak telah memerangkap diri beliau dalam jerat gaib yang merosakkan namanya sendiri.

Dalam beberapa penyelidikan oleh beberapa siswazah universiti tempatan dan para penyelidik SEAS yang berpusat di Singapura dan juga beberapa penulis persendirian seperti dari keluarga pembesar Cina Johor iaitu keluarga Wong Ah Fook yang pernah menemubual keluarga terdekat Tun Dr. Ismail, telah menyimpulkan bahawa keluarga tokoh wira itu memang berasa terkilan dan kecewa. Antara mereka, berasa yakin bahawa disebabkan kekecewaan ini keluarga Tun Dr Ismail tidak bercadang menyerahkan rekod-rekod penting bernilai sejarah milik mereka kepada agensi atau kerajaan Malaysia. Mereka hilang kepercayaan terhadap kesetiaan dan ketulusan pemimpin Melayu UMNO kontemporari. Hal ini tentu sekali merugikan negara bangsa kita tetapi puncanya ialah dari sikap bias dan tidak cerdek pemimpin kita sendiri.

Meskipun begitu perlu diberi pujian dan ucapan tahniah kepada Arkib Negara Malaysia terutama kepada bekas-bekas ketua pengarah yang telah bersara kerana mereka telah memulakan projek mengumpul bahan-bahan Tun Dr Ismail bermula sejak tahun 1980-an. Koleksi di Arkib Negara meskipun terhad kerana ketika itu tiada pembiayaan dan tidak cukup peruntukan namun dapat menjadi bukti bahawa kerajaan tidaklah mengabaikannya . Tetapi adalah tidak dinafikan bahawa jabatan itu hanya aktif menjalankan sesuatu aktiviti mengikut sokongan dan tidak terlepas juga dari arahan dan kehendak kementerian yang dipengaruhi kefahaman politik sempit.

Setelah mengetahui betapa pentingnya sesuatu catatan atau rekod bernilai sejarah dan sebagainya maka adalah wajar kita memberi kerjasama dan menyokong agensi-agensi swasta dan kerajaan yang berusaha menyimpan dan memelihara khazanah warisan bangsa. Kita mestilah menolak usaha kelompok orang atau penulis upahan yang bebal dan tidak mengetahui faedah maklumat penting hari ini yang bakal menjadi panduan dan rujukan untuk pembangunan dan perkembangan minda generasi kita di masa hadapan. Kita perlu menolak pemimpin Melayu yang mementingkan diri dan tiada wawasan memajukan bangsa. Janganlah kita hiraukan mereka yang menjadi petualang mengikis maruah bangsa. Justeru itu segala rekod berkenaan semua tokoh kepimpinan bangsa kita tidak kira sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang seperti milik atau berkaitan YM Tunku, Dato’ Onn, Tun Dr. Ismail mahupun Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya, asal bernilai positif kepada tamadun dan kebudayaan warisan bangsa hendaklah kita pelihara.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Mengintai Musibah dan Bala Bencana Di Malaysia

0 comments
Mengintai Musibah dan Bala Bencana Di Malaysia

Marilah Bersama Berdoa Semoga Orang Melayu Memartabatkan Islam Pada Daulah Tertingggi Dan Utama Daripada Melayu Itu Sendiri

Jika diperhatikan kesimpulan pengertian firman Tuhan daripada dalam Al Quran, hadis-hadis Nabi dan kupasan pemikiran alim ulamak terhadap bala bencana yang besar dan mega, adakah negara kita tercinta ini telah sempurna memiliki ciri-ciri atau penyebab bencana itu terhindar atau mendapat jaminan pemiliharan Tuhan terhadapnya? Atau adakah sudah selayaknya dan pada bila-bila masa sahaja bala bencana dan mala petaka itu akan ditimpakan?

Cubalah kita perhatikan kupasan maksud yang terangkum dan memberi pengertian mengenai bala bencana itu di mana diantara maksud firman Tuhan bahawa, Tuhan akan menggantikan kelompok sesebuah masyarakat atau kaum itu dengan mendatangkan bala bencana kerana mereka engkar dan menyombong diri. Tuhan juga terlebih dahulu akan menghantar atau mewujudkan terlebih dahulu orang atau kumpulan pendakwah yang datang untuk memberi peringatan dan menasihati agar bertaubat dan kembali kepada perintah Allah sebelum bencana dan malapetaka diturunkan.

Turunnya bencana dan malapetaka itu adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menghapus atau melupuskan mahupun mempupuskan hamba-hamba yang derhaka yang melapaui batas takdir dan ketentuan Tuhan. Kita hanya melihat Kelantan sebagai sebuah entiti politik yang kecil serta kerdil dengan pemikiran yang dangkal. Tetapi apakah tidak mungkin itu adalah salah satu daripada petunjuk Allah sebagai amaran dan peringatan untuk kita yang mempunyai akal agar memikirkannya?

Mereka yang melampaui batas adalah yang mempersiakan hukum-hakam agama dan mempersendakannya. Mereka menyombong diri dan engkar kepada perintah dan mempersenda peringatan dan petunjuk Tuhan. Mereka mencipta peraturan dan undang-undang sendiri bagi memuaskan nafsu mereka mengikut kepentingan diri. Mereka memperlekeh para ulamak dan melantik ulamak jahat yang sanggup mengeluarkan fatwa ciptaan yang sesuai dengan nafsu mereka. Mereka menzalimi orang yang lemah dan orang yang tidak berdaya dari segi material, fizikal dan mental. Mereka menindas orang miskin. Perempuan-perempuan mereka pula hilang sifat malu dan suka memperagakan hiasan diri. Mereka adalah kaum yang mengutamakan dan berlebih-lebih dalam hiburan. Mereka menjadikan Yahudi dan Nasrani dan orang kafir yang bermusuh kepada Allah sebagai teman dan pemimpin mereka. Mereka melindungi pelaku kesalahan dan penjenayah kroni mereka. Mereka gemar membuat fitnah dan merampas hak orang lain.

Tuhan juga memberi amaran dengan sengaja mengurniakan rezki yang melimpah ruah kepada sesebuah negara atau masyarakat yang pemimpinnya zalim sehingga mereka bertambah zalim dan mensia-siakan dengan sengaja rezki yang dikurniakan itu. Mereka akan tidak bersyukur kepada Tuhan sehingga yakin rezki yang melimpah ruah itu adalah hasil dari kepintaran dan kebijaksanaan mereka. Mereka secara sedar atau tidak akan menafikan bahawa kesenangan dan kemewahan mereka adalah rahmat daripada Allah.

Tuhan juga menimpakan bala bencana dan mala petaka di tempat-tempat berhampiran dengan mereka sebagai amaran dan pengajaran agar mereka segera kembali ke pangkal jalan dan bertaubat ke hadirat Allah. Tetapi jika segala petunjuk yang telah Tuhan janji dan adakan masih tidak dirasakan, tidak nampak dan sengaja dipermain-mainkan maka akan sampailah waktunya bencana dan mala petaka itu dihadapi dan ditanggung oleh kaum atau sesuatu bangsa yang menyombong diri itu. Itulah janji Allah dan janji Allah tidak pernah mungkir.

Menilik kepada negara kita Malaysia yang tercinta ini, maka dapatkah kita menidakkan bukti-bukti dan petunjuk Tuhan itu? Bolehkah kita menafikan bahawa mala petaka dan bencana alam yang akan melupuskan tamaddun, tidak relevan dengan diri dan bangsa kita? Adakah kita benar-benar yakin bahawa negara kita adalah sebuah negara yang kaya dan makmur dan dirahmati Allah? Adakah kita berani mengatakan bahawa kita adalah diredhai Tuhan kerana mengikut segala perintah dan petunjukNya? Adakah kita yakin, kita tidak akan dikenakan bencana atau mala petaka kerana kita tidak zalim, kita adil, kita tidak mempersendakan agama dan kita tidak pernah berasa sombong.

Perhatikan pula adakah mala petaka dan bencana besar telah Tuhan datangkan kepada negara-negara jiran kita sebagai amaran kepada kita yang angkuh? Di sebelah barat kita, adakah bencana tsunami Aceh itu tidak relevan sama sekali dengan kita? Di selatan pula, siri-siri letusan gunung berapi di pulau Jawa yang mengorban ratusan ribu nyawa itu adakah hanya merupakan kebiasaan sahaja kerana negara itu berada dalam jaluran lingkaran gunung berapi yang aktif? Di sebelah timur pula, peristiwa pembunuhan beramai-ramai orang Islam oleh penganut Kristian di Ambon dan di pulau-pulau berdekatan adakah itu hanya merupakan masalah dalaman negara tetangga kita?. Begitu juga peristiwa pembunuhan penganut Islam di Selatan Thai dan Bangsa Moro Filipina. Jauh sedikit dengan negara kita, bencana kemarau dan banjir besar di India dan Cina, Bangaladesh, Australia dan tsunami serta kebocoran dan radioaktif bahan nuklear di Jepun itu adakah masih tiada kesan pengajarannya kepada kita?

Segala bencana itu kelihatannya kita merujuk kepada keyakinan terhadap dunia fizikal dan sains. Kita tidak lagi merujuk petunjuk agama seolah-olah agama kita serupakan dengan dunia atau alam mitos dan lagenda. Adakah kita malu untuk menjadikan petunjuk Al Quran dan hadis Nabi sebagai pegangan atau sebenarnya kita telah sombong dengan ilmu metafizik dan sains yang telah kita kuasai?

Perhatikan semula ciri-ciri petunjuk dan alamat daripada Al Quran dan hadis nabi serta kupasan ilmu daripada para ulamak. Jika anda mengerti, faham dan yakin maka bersedialah menghadapinya kerana janji Allah tidak pernah bohong. Allah telah menyatakan bahawa apabila bala bencana dan mala petaka ditimpakan kepada sesuatu tempat atau umat yang melampaui batas maka semua termasuk yang beriman juga akan berhadapan dan merasai kesengsaraannya. Hanya tahap penderitaan dan kesengsaraan itu saja yang berbeza di antara orang yang beriman dengan orang yang fasik, lalai, kafir dan orang yang zalim. Mereka merasai kesengsaraan dalam kadar yang ditentukan. Kepada yang munafik, kafir dan zalim tidaklah sama dengan orang-orang yang beriman.

Mengintai kepada keadaan negara kita yang tercinta ini maka jika telah selayaknya menerima hukuman Tuhan kerana segala ciri-ciri untuk dihukum dengan musibah telah pun ada maka rasanya apakah bencana yang tidak terduga ini akan melanda kita. Bayangkan kemungkinan ribuan malah ratusan ribu nyawa manusia akan mati tenggelam kerana banjir besar yang mungkin sahaja boleh berlaku di Kuala Lumpur atau seluruh negara. Atau kebakaran besar di kota metropolitan Kuala Lumpur dan runtuhnya bangunan-bangunan tinggi yang bergentil-gentil berdekatan di antara satu sama lain itu sehingga meragut puluhan ribu nyawa. Musibah lain yang tidak mustahil seperti pertumpahan darah dan korban nyawa yang ratusan ribu melayang akibat peperangan disebabkan pencerobohan tentera asing atau persengketaan sesama sendiri juga boleh berlaku. Belum lagi kemungkinan wabak penyakit yang mengakibatkan maut menyeluruh. Atau bencana ribut taupan yang meragut ratusan ribu nyawa. Semua kebarangkalian ini adalah tidak mustahil di sisi Tuhan apabila Dia berkehendak dan murka kerana kesombongan bangsa Melayu atau Malaysia yang telah melampaui batas.

Maka ketika itu, untuk memerhatikan maksud peringatan Tuhan bahawa nikmat Tuhan yang mana lagi yang kamu dustakan adalah sudah terlambat. Seharusnya malah semestinya ketika inilah kita memperbetulkan landasan hidup dengan nilai tamadun manusia dunia dengan mengikut petunjuk Tuhan iaitu kembali mengamalkan peradaban tamadun dan perundangan Islam yang Tuhan redhai sementara kita masih berkuasa sebelum sifat kesombongan terus menguasai diri dan sebelum bencana dan mala petaka itu ditumpukkan ke atas kepala kita.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Kembali Kepada Warisan Bangsa Dunia dari Melayu Kepada Islam

0 comments
Kembali Kepada Warisan Bangsa Dunia dari Melayu Kepada Islam

Harga barang akan naik lagi selepas Pilihanraya XIII . Makluman ini seperti telah menjadi budaya. Ketika ini kerajaan memaksa saman ekor mesti dibayar. Tahun lepas kerajaan kelihatan seperti curiga dan bimbang pengaruhnya akan merosot jika pungutan saman diteruskan. Tentu sekali akan menyebabkan hilang sokongan rakyat. Tuntutan saman ekor itu ditangguhkan. Hati panas rakyat yang sedang berbelanja persiapan hari raya reda. Jika tidak tentu duit akan terluak kerana terpaksa bayar saman ekor. Bonus RM500 sudah tentu gagal memujuk hati rakyat. Cerita pembunuhan jutawan janda pula diperbesar dan menjadi hidangan lazat telinga pada hari raya. Kerajaan terselamat daripada isu-isu yang boleh mengurangkan sokongan rakyat.

Kini angin pilihanraya tersebar meluas. SB politik katanya telah memberi lampu hijau. Tun Mahathir pun katanya setuju kerana momentum sokongan rakyat kepada BN mencatat rekod yang baik. Walau pun hal ini masih dianggap cuma spekulasi dan jangkaan tetapi bagi Tun Sheikh ia boleh dipercayai. Ini adalah kerana maklumat-maklumat ini Tun Sheikh perolehi daripada orang yang tidak disangka ketika membuat lawatan ke kilang Samsung di Senawang Seremban pada minggu lepas. Yang membuat Tun Sheikh tertanya-tanya dan percaya ialah kerana beliau merupakan kumpulan CEO dalam pengurusan kilang berkenaan tetapi mengaku tidak berminat pada politik. Peliknya maklumat yang didapatinya seperti sebagai bayangan indikator perancangan ekonomi syarikat gergasi itu.

Beliau juga memaklumkan atau menjangkakan bahawa kerajaan akan memberi sedikit insentif dan meneruskan pungutan hasil saman. Ini bertambah pelik bagi Tun Sheikh tetapi beliau begitu bersahaja seolah-olah perkara yang dianggap spekulasi ini telah biasa bagi golongan sepertinya kerana maklumat-maklumat sebegini penting dalam pembangunan ekonomi perkilangan. Kita maklum syarikat Samsung adalah pengeluar barangan elektronik dan eletrik terbesar dan terkenal di seluruh dunia. Tun Sheikh terus mencungkil kerana beliau bertampang jujur dan senang diajak bicara. Katanya kerajaan akan menaikkan sedikit gaji kumpulan sokongan untuk mengambil hati mereka. Mungkin elaun cola akan hilang kerana diserapkan dalam tangga gaji baru. Bagi Tun Sheikh tujuannya adalah untuk menutup mulut kerana mereka merupakan kelompok penyokong kerajaan terbesar dan di waktu yang sama tertekan dengan kenaikan harga barang harian.

Bila ditanya, agak-agak bila piliharaya akan diadakan? Beliau berkata, jika mengikut penganalisa ekonomi tempatan dimana maklumatnya diperolehi oleh Samsung, pilihanraya sesuai diadakan sebelum Disember ini paling lambat jika tidak berlaku apa-apa insiden yang menyebabkannya terpaksa ditangguh. Harap-harap kerajaan perihatin terhadap rakyat yang terpaksa memikul beban kenaikan harga barang. Kerajaan sebenarnya mempunyai alasan kukuh ketika ini kerana harga minyak dunia dikatakan naik berikutan pergolakan di Timur-Tengah. Tetapi kerajaan tidak memperbesar isu ini kerana khuatir hilang pengundi di Pilihanraya kecil di Merlimau Melaka dan di Kerdau Pahang. SB politik telah beri lampu hijau dikedua tempat ini kerana pengundinya banyak Melayu dan kawasan UMNO. Tetapi jika isu tuntutan kenaikan harga oleh taukeh-taukeh duit dituruti ada kemungkinan besar kawasan ini akan dimenangi oleh pembangkang.

Ketika ini, pilihanraya Kerdau dan Merlimau telah berlalu dengan kemenangan BN. Mereka kelihatan mendabik dada dan ini sangat dirisaukan oleh permerhati yang berkecuali dan juga oleh taukeh-taukeh duit. Mereka juga bimbang dengan tingkahlaku ahli politik BN yang sombong dan tidak serik dengan petunjuk atau alamat yang pernah diberi rakyat. Jika BN kalah tentunya mereka juga akan rugi kerana pelaburan dalam rasuah politik atau politik wang yang telah membudaya begitu besar sekali. Mereka ahli perniagaan dan para kapitalis ini mengetahui keuntungan besar yang akan diperolehi jika BN menang lagi dalam Pilihanraya XIII nanti. Mereka sebenarnya kearah monopoli. Mereka tidak kisah jika BN menukar system pemerintahan daripada demokrasi kepada Islam kerana mereka yakin akan mendapat hak-hak monopoli perdagangan di Negara ini. Yang mereka bimbang ialah jika PKR atau PAS dengan system Islam berkuasa kerana mereka tidak akan dapat membeli undi kuasa politik. Mereka berharap orang yang jahil agama akan terus memerintah atas nama agama. Tetapi mereka sangat bimbang jika orang yang berakhlak dan alim agama mentadbir mengikut lunas-lunas agama.

Tun Sheikh terasa hebat sungguh anak muda CEO ini kerana sudah berpengalaman dan telah terdedah dengan arus dan perkembangan ekonomi antarabangsa. Beliau memang seorang intelektual muda yang boleh dipercayai. Mungkin pada suatu hari nanti beliau akan menjadi penasihat ekonomi kepada Negara ini apabila aliran ekonomi berjalan di atas trek kejujuran dan ketelusan. Jika kita bersangka buruk maka buruklah nasib rakyat Negara ini. Di sini ada juga kebaikan yang dibawa Tun Mahathir kerana beliaulah yang mengundang syarikat Korea ini bertapak di sini. Tujuannya untuk mempelajari dan memindahkan teknologi tinggi secara beransur-ansur.

Tun Sheikh amat berbangga kerana pengurusan tertinggi kilang ini dikuasai oleh anak tempatan dan terdiri daripada bumiputera. Tun Sheikh bertambah gembira apabila mendapati kebanyakan produk baru yang dipasarkan oleh kilang ini ke seluruh dunia adalah hasil idea dan penyelidikan para penyelidik tempatan dan juga idea dari mahasiswa universiti-universiti tempatan yang ada perjanjian persefahaman dengan kilang ini. Tun Sheikh berharap pada suatu hari nanti segala produk hasil buah tangan rakyat Negara ini akan berjenama sendiri dan tidak lagi tengelam dalam nama syarikat dari luar.

Berbalik kepada keadaan politik dan kepimpinan kita, di sinilah seharusnya diperhati dan diperbaiki segera supaya Negara bangsa kita tidak ketingalan dalam arus kemajuan yang berkehendakan komitmen peminpin yang telus dan jujur bukan pemimpin yang membudayakan rasuah untuk kepentingan diri. Ke arah itu suatu indikator perlu ditetapkan dan bagi Tun Sheikh hanya indikator dari Allah yang selamat dan sesuai kerana Allah adalah pemilik alam dan dunia ini. Tidak perlu kita menukar orang atau Perdana Menteri kecuali menukar pemikiran mereka daripada terbatas terhadap UMNO dan Melayu kepada Islam sejagat adalah memadai. Jika tidak, tentu sekali kepada pemimpin yang ahli dalam agama adalah layak dan sesuai dicontohi dan adalah patut kita pilih dan angkat.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Malaysiaku – Falsafah Hidup Kontemporari

0 comments
Malaysiaku – Falsafah Hidup Kontemporari

Pilihan Corak Kehidupan Adalah Tanggungjawab Individu

Masihkah anda ingat cerita sijanda kaya dibunuh kejam oleh peguam mata duitan? Kini cerita itu menyepi dan tidak boleh diceritakan sebarangan kerana telah menjadi kes mahkamah. Apa yang ingin dituliskan di sini bukanlah cerita bagaimana janda kaya yang budiman itu dibunuh. Tapi jika dibayangkan memang amat mengerikan. Mungkin sahaja sebelum beliau dibunuh, beliau diperkosa beramai-ramai sepuas-puasnya kerana beliau sungguh jelita. Ladang kelapa sawit yang terpagar khas itu juga dapat membayangkan kebebasan perlakuan orang yang berada di dalamnya. Selamat dari penglihatan awam dan orang ramai serta jauh terpencil pula. Semacam sengaja dirancang untuk melakukan aktiviti yang negatif. Mangsa pula adalah usahawan jutawan barangan persolekan wanita. Mungkin juga dapat kita bayangkan beliau disembelih setelah mereka puas menikmati tubuh gebu sijanda manis yang tidak berdaya itu sebelum mereka mencincang atau melapah dan kemudian membakarnya sampai menjadi abu. Mereka peduli apa kerana mereka hanya orang suruhan yang begitu taat dan setia kepada bos mereka, seorang peguam pintar yang durjana.

Mengapa jenayah yang dahsyat dan ngeri ini semakin hari semakin kelihatan berleluasa? Tidakkah kita mempunyai angkatan keselamatan khususnya pasukan polis yang hebat.? Polis kita adalah pasukan yang cekap dan canggih tetapi penjenayah kelihatan telah berasa tidak gentar lagi dengan aura polis kita. Tentunya ada sebab dan puncanya, mengapa penjenayah sudah begitu berani tidak seperti keadaan sebelum 1990-an. Atau mungkinkah penjenayah hari ini adalah terdiri daripada orang bijak dan pandai? Atau polis kita telah terkongkong dengan pelbagai rasuah sehingga auranya yang suatu ketika dulu begitu gah dan digeruni tetapi sekarang diperlekeh oleh penjenayah? Kita mestilah sentiasa peka melihat perkembangan seperti ini.

Sungguh dahsyat negara kita jika yang melakukan jenayah itu adalah orang yang berpelajaran tinggi atau berotak geliga. Kita mula mendengar pelakunya dikatakan kerasukan dan ini tentu menggelisahkan pada mereka yang ada mata hati atau mata kemanusiaan. Adalah dikhuatiri penjenayah akan terlepas begitu sahaja kerana dianggap gila atau kurang siuman ketika melakukannya. Itulah bahayanya jenayah hasil tangan manusia yang berkolar putih. Perencanaan mereka sungguh teliti seolah-olah di penghujung jalan mereka akan terselamat atau diselamatkan oleh undang-undang itu sendiri daripada hukuman mati.

Anda tentu tidak lupa kata-kata daripada seorang peguam kroni yang hebat, yang pernah menjadi mainan anak-anak muda kita. Pelik sungguh apabila kata-katanya sah di sisi undang-undang dan mendapat pertimbangan dan perhatian ketua hakim. Beliau berkata bahawa bahan bukti yang dirakam itu seperti suaranya. Bahan bukti gambar video itu, juga seperti dirinya tetapi belum tentu dia, kerana dia tidak mengaku itu ialah dirinya. Dia yang berhak memastikannya dan dia berjaya meyakinkan hakim bahawa kata-katanya itu, yang mengaku itu bukan dirinya. Hebat sungguh… kerana kepintarannya berjaya menipu trek minda manusia. Manusia yang ditipu atau dipaksakan menerima hujahnya itu ialah manusia yang cerdik seperti dirinya juga iaitu manusia yang faham dan tahu malah mahir dalam perundangan. Manusia yang hidup sehariannya mengamalkan undang-undang tetapi mungkin juga manusia yang telah korup akal dan minda.

Walau bagaimanapun kita haruslah berterima kasih atau terpaksa berterima kasih atas kewujudan mereka. Ini adalah kerana mereka masih berperanan besar dalam kehidupan kita. Kita juga haruslah berterima kasih kepada pasukan polis, penjaga kententeraman awam kita. Kita masih boleh hidup dengan selesa hasil peranan yang dimainkan mereka. Tahap kebejatan mereka belumlah sampai ke tahap melampau meskipun ciri-cirinya telah mula kelihatan. Dalam keadaan kesemberonoan perihal kepolisan kita, keangkuhan orang politik kita, kelucuan penghakiman kita dan kebejatan orang-orang yang jahat, kita masih rasional ketika memerhati dan ketika menikmati kehidupan. Apa yang perlu kita lakukan adalah mengawal mereka jangan sampai melampaui batas.

Bagaimana caranya, adalah dengan memegang kepala kepimpinan iaitu kuasa politik. Jika mereka lemah maka akan huru-hara kehidupan seharian. Begitu juga jika mereka tidak amanah dan terlalu rakus atau gila kuasa. Sebelum mereka menganiaya kita, maka perlulah kita segera menolak atau membuang mereka dengan cara tidak memilih atau jangan mengundi mereka menjadi wakil kita. Kita juga harus peka dan sentiasa memantau keadaan sekeliling kita supaya perkara dan hal-hal yang buruk dan jahat tidak menjadi amalan dan domain diperlakukan dalam masyarakat. Dengan itu, kita perlu menyingkirkan pemimpin yang tidak mahu atau tidak mempedulikan saranan kita agar sentiasa berlaku baik dan cenderung kepada kebaikan dan kebajikan. Pemimpin yang angkuh, sombong dan zalim kita nyahkan dari persada politik tanahair supaya mereka tidak melahirkan benih-benih kedurjanaan dan benih-benih kebejatan.

Janganlah kita lupa untuk berdoa dan berharap kepada Tuhan setelah kita puas berusaha dan melaksanakan ikhtiar dalam segala hal yang baik dalam kehidupan. Kita mesti terus bersyukur kerana hal-hal yang buruk tidak berlaku kepada kita. Kita mestilah bersimpati kepada mangsa dan keluarga yang menerima atau berhadapan musibah. Kita mesti jangan menyebelahi segala perkara kejahatan dan keburukan. Tuhan pun amat benci kepada kejahatan dan bersumpah atas nama kebaikan. Kita mesti peka dan sentiasa memantau mereka yang kita beri kuasa dan kepercayaan supaya mereka tidak menyeleweng. Kita mesti menghormati undang-undang yang menjadi tunggak keadilan dan kita mesti bersedia menukar atau memindanya jika sesuatu undang-undang itu cenderung memberi manfaat kepada pesalah laku daripada mangsa yang teraniaya. Dan ..yang amat penting sekali, kita sendiri hendaklah tahu diri sendiri, amanahlah dan usah menyeleweng!!

Masihkah anda ingat peristiwa anak-anak gadis kita dilarikan? Anak-anak comel kita gaib dari pandangan kerana diculik atau apakah nasibnya sekarang.? Tidakkah anda berasa sungguh sayu dan gegabah jika hal itu berlaku kepada diri kita sendiri? Atau bolehkah anda menerima kenyataan jika anak, abang, kakak, adik, emak, ayah atau sesiapa saja yang anda kasihi dan sayangi tiba-tiba didapati mati dan pergi untuk selama-lamanya kerana di bunuh oleh orang yang anda amanahkan, atau orang yang anda percayai, atau sesuatu kuasa yang anda hormati? Dibunuh polis misalnya, dibunuh kastam atau dibunuh pegawai penyiasat kerajaan tanpa alasan yang dapat anda terima, atau tanpa sebab-sebab kukuh?

Inilah rencam kehidupan yang menuju hala kesayuan dan dukacita. Usah biarkan rencam kehidupan ini membudaya. Gara-gara rasuah minda yang kita terima. Rasuah minda sehingga kita tidak dapat berfikir dan memilih kebaikan dan membedakan keburukan. Jangan sampai rasuah minda yang disuapkan kepada kita menjadikan kita terpaksa menerima kenyataan dan rekod hitam sebagai kelaziman hidup seharian. Amatlah buruk jika kita tidak berdaya lagi untuk memihak dan membedakan antara yang baik dan yang jahat. Antara hitam dan putih. Dan amatlah malang jika hati kita sudah terbalik apabila hal yang buruk kita melihatnya dan menerimanya sebagai terbaik. Dan hal yang baik kita benci dan menolaknya sebagai perkara yang buruk.

Sebelum perkara dan hal kehidupan yang jelek-jelek ini semua berlaku dan membudaya, segeralah kita meransang minda kita supaya kembali kepada fitrah manusia diciptakan iaitu untuk segala kebaikan dalam suasana kebaikan, untuk kebaikan dunia dan berakhir dengan kematian dalam kebaikan dan keredhaan Tuhan. Maka renung-renungkanlah keadaan sekeliling kita jangan terlambat sehingga unsur-unsur kejahatan bermaharaja lela dan membudaya. Pilih dan amanahkan kuasa kita kepada mereka yang amanah bukan kepada mereka yang memiliki unsur-unsur penipuan dan gila dunia.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere