Sejarah Kemerdekaan Tanah Melayu, Mengapa British Memilih UMNO

0 comments


Sejarah Kemerdekaan Tanah Melayu, Mengapa British Memilih  UMNO

Sebenarnya adalah lumrah apabila mana-mana kerajaan penjajah memilih kelompok pentadbir atau pemerintah yang bersekutu dan menyokongnya bagi menggantikan atau selaku proksi apabila sesebuah negara diberi hak kemerdekaan. Di negara ini, proksi atau penerus pemerintahan mengikut acuan dan dasar penjajahan Inggeris ialah UMNO.

British telah memilih UMNO sebagai pemangkin warisannya bagi memastikan semua bidang dan  perusahaan yang berkepentingan terutamanya dari segi ekonomi tidak akan merugi dan tidak mengurangkan dari apa yang pernah diperolehi selama ini. Halangan utama British pada peringkat awal mempengaruhi pembentukan UMNO ialah perwatakan dan kewibawaan Dato’ Onn yang dilihat sebagai orang yang sangat cerdik, keras kepala dan kuat kemelayuaannya serta sangat bersemangat  memperjuangkan  rakyat marhein. Dato’ Onn dianggap penghalang besar dan boleh mencacatkan tujuan tersirat pemberian kemerdekaaan kepada Tanah Melayu.

Sepanjang usia Dato’ Onn sejak kecil lagi, telah diperhatikan oleh Inggeris dengan begitu teliti sekali. Kadang kala tindakan dan persetujuan Inggeris adalah kerana terpaksa bagi memastikan jarum yang dicucuk tidak terasa tetapi tetap berjaya mengeluarkan bisa yang mengharuskan kuasa Melayu terjelepok di kaki mereka. Dalam era Dato’ Onn ini, kuasa Melayu yang amat dicemburui oleh Inggeri ialah kerajaan negeri Johor yang dirasa amat liat hendak ditundukkan. Ini adalah kerana pelbagai strategi Inggeris dapat dibaca oleh pembesar dan bijak pandai Johor. Dato’ Onn contohnya tidak dipersetujui oleh pegawai Inggeris di Johor dan Singapura apabila dicadangkan pergi mengiringi Tengku Mahkota ke London melanjutkan pelajaran yang pada hakikatnya adalah untuk menjadikan baginda dan segala kerabat diraja yang mengiringi baginda berfikiran Inggeris daripada berbudaya Melayu. Kebijakan dan kecerdekan Dato’ Onn telah terserlah sejak kecil lagi. Beliau diakui sebagai master mind atau ketua dalam kumpulan kanak-kanak yang menjadi taulan mahupun penghibur Tengku Mahkota Ismail.

Inggeris terpaksa bersetuju Dato’ Onn yang ketika itu berusia 9 tahun turut serta ke sekolah khas bagi anak-anak raja di Suffork London kerana Tengku Mahkota sangat akrab dan rapat dengan beliau. Bagi Inggeris, kepimpinan dan kepintaran Dato’ Onn amat terserlah berbanding dengan putera dan anak-anak pembesar Johor lain. Malah di Suffork, Dato’ Onn juga adalah pelajar cemerlang.  Inggeris amat khuatir jika pengaruh yang hendak  ditanam kepada putera-putera sultan gagal kerana sikap Dato’ Onn yang begitu kritis, berani, suka bertanya, mengkritik, berdikari dan berminda lojik akan membongkar dan menggagalkan agenda British terhadap sultan Johor dan sultan-sultan Melayu lain.

Pada tahun 1909, Dato’ Onn telah diarah pulang ke Johor oleh British bagi memisahkannya dengan Tengku Mahkota. Mereka memberi helah yang mengatakan Dato’ Onn telah cukup ilmu dan telah layak berkhidmat dengan kerajaan Johor. Sebenarnya Dato’ Onn dilihat cukup berpengaruh di Suffork bukan sahaja kepada putera-putera raja Melayu tetapi juga kepada putera-putera raja dari Eropah yang belajar di situ. Dato’ Onn telah pulang ke Johor dan diikuti oleh Tengku Mahkota kemudiannya, kerana tidak sanggup berpisah dengan beliau. Mereka telah dimasukkan ke MCKK di mana Dato’ Onn mendapati silibus dan  skima pelajaran yang diajarkan telah jauh ketinggalan dari apa yang pernah didudukinya di Suffork. Di MCKK beliau telah mengkritik silibus dan skima pelajaran yang bermatlamat untuk menjadikan putera-putera raja Melayu sebagai orang Inggeris. Di MCKK beliau menjadi guru mengajar bahasa Inggeris kepada putera-putera raja secara percuma dan kegiatan ini sangat dibimbangi oleh British kerana sikap Dato’ Onn yang tidak takut dan hormat kepada orang Inggenris boleh mempengaruhi putera-putera raja Melayu.  

Dato’ Onn boleh dikatakan telah disingkir dari MCKK oleh British secara halus. Beliau telah kembali ke Johor dan mula berkhidmat sebagai kerani rendah pada 1912 pada usia 17 tahun dan telah dipaksa kahwin oleh Dato’ Jaafar bagi mendidik beliau dengan sifat bertanggungjawab. Pada masa yang sama beliau diwajibkan menganggotai Pasukan Askar Timbalan Johor (JMF). Setelah bapa beliau iaitu Menteri Besar Johor,  Dato’ Jaafar Muhamad meninggal dunia pada 1919 dan apabalia Sultan Ibrahim merampas harta pusaka bapanya, beliau telah menjadi penentang Sultan secara terang-terangan. Diwaktu yang sama juga Inggeris terus menghasut pembesar dan Sultan Johor supaya meminggirkan Dato’ Onn yang dianggap merbahaya dan pencemar maruah kerabat diraja dan istana Johor.

 Inggeris telah berusaha untuk menyingkirkan Dato’ Onn secara berterusan sejak kecil hingga dewasa dengan menghasut Sultan Ibrahim tetapi Dato’ Onn sering terselamat kerana pengaruh bapanya dan kehendak Tengku Mahkota yang sangat mengasihi beliau. Usaha-usaha Inggeris menghasut para pembesar dan golongan berpendidikan dengan menaburkan fitnah secara halus akhirnya berjaya memberi tekanan dan mengelirukan orang  Melayu semasa Dato’ Onn berada di kemuncak kepimpinan dalam UMNO. Dato’ Onn  ditolak oleh orang Melayu sendiri  dan peristiwa ini sangat menyedihkan beliau sehingga Dato’ Onn menggambil keputusan meninggalkan UMNO pada 1951. Dato’ Onn telah digantikan dengan YM Tunku Abdul Rahman yang dianggap begitu ideal oleh Inggeris dalam mencapai matlamat dan menjaga kepentingan serta mengekalkan pengaruh mereka. Mereka sangat yakin hanya UMNO dan Tunku akan mengikut segala acuan dan perancangan mereka.

Inggeris sangat gembira apabila Dato’ Onn dapat disingkirkan secara halus. Mereka sangat berpengalaman dengan Dato’ Onn yang telah berjaya menuntut banyak keistimewaan orang Melayu dan Raja-raja Melayu dan mengetahui agenda Inggeris. Dengan tersingkirnya Dato’ Onn yang telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa, Inggeris dengan mudah dapat meletakkan tokoh dan pengaruh mereka. Setelah Dato’ Onn keluar dari UMNO, Inggeris kelihatan seolah-olah bersedia memberi kemerdekaan segera dengan meletakkan pelbagai syarat.

 Diantaranya ialah penerimaan pendatang asing yang dibawa masuk Inggeris sebagai warga negara. YM Tunku juga dikehendaki menghapuskan terlebih dulu fahaman dan pengaruh komunis.  Mereka yakin YM Tunku tidak akan berjaya atau terpaksa mengambil tempuh masa yang lama sehingga ada memperkirakannya akan hanya tercapai pada penghujung 1960-an atau awal 1970-an. Ketika itu Inggeris akan sempat menyusun strateji politik dan ekonomi demi kepentingan mereka. 

YM Tunku telah berjaya menubuhkan jawatan kuasa menuntut kemerdekaan yang terdiri dari perwakilan  UMNO, wakil pelbagai kaum  iaitu Cina dan India dan wakil majlis raja-raja. Beliau telah mendesak Inggeris untuk berbincang dan pada masa yang sama bekerjasama dengan semua kaum terutamanya dengan orang Cina dan India menyusun strateji  menghapus komunis.

YM Tunku  terpaksa akur dengan persetujuan Inggeris yang akan memerdekaan Tanah Melayu pada penghujung 1950-an atau awal 1960-an atau lebih cepat lagi jika Tunku dan Ahli rombongan yang menuntut kemerdekaan bersetuju tidak menyekat pelbagai kepentingan British di Tanah Melayu. Dengan persetujuan itu, Inggeris telah memastikan jawatan potfolio penting dalam Jemaah Menteri sebelum merdeka dipegang oleh pegawai-pegawai Inggeris. 

Pilihanraya pertama telah diadakan pada tahun 1955 dan diikuti dengan banyak pilihanraya tempatan atau majlis perbandaran sebagai pengenalan dan pendedahan kepada rakyat. Semuanya telah berjaya dilakukan dengan baik dan dalam keadaan harmoni sehingga Inggeris terpaksa berpuashati dan bersetuju memberi kemerdekaan pada 1957. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah merdeka tetapi pengaruh Inggeris kekal sehingga ke hari ini.

 Dengan mengetahui sedikit sejarah dan falsafah pemikiran politik Inggeris dan pemikiran orang Melayu menerusi UMNO di era Dato' Onn dan pemimpin-peminpin selepas beliau maka terserlah hala tuju dan pemikiran politik UMNO pada masa ini dan akan datang yang telah mewujudkan komplikasi positif dan negatif sehingga negara ini terperangkap dengan budaya pelbagai amalan rasuah politik. Jika rakyat tidak berupaya dan tidak segera berusaha untuk memperbaiki dan mengubahnya, negara ini dibimbangi sedang menuju kehancuran.
 
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Banda Hilir Melaka 8.2.2013
 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere