Isu Kalimah Allah Timbul Lagi
Tun Sheikh pernah menulis di blog
ini mengenai tanggapan dan pergaulan bebas rakyat Indonesia beragama dan
mengamalkan agama mengikut kefahaman dan kesukaan masing-masing terutamanya di
kota raya besar seperti Jakarta, Surabaya, Medan dan lain-lain. Malah sehingga
ke hari ini ada pasangan hidup suami isteri yang berlainan agama telah menjadi
satu budaya yang biasa kerana dibenarkan atau tidak menyalahi undang-undang negara.
Ketika mula tinggal di Jakarta masa zaman Tun Sheikh muda dan bujang dulu
kerana melanjutkan pelajaran di sana, perkara yang menjadi cultural shock ialah pada 2 bulan pertama kerana tidak menyangkakan
teman-teman Jawa yang seiras kita dan mengaku suku Jawa, beragama Kristian, Islam Abangan, Budha, Hindu
atau Atheis dan lain-lain.
Selain itu agak lama juga Tun
Sheikh duduk di depan tv mendengar ceramah yang menggunakan nama Allah dan
akhirnya baru mengetahui bahawa Allah tuhan yang dimaksudkan penceramah itu
ialah bagi agama Budha atau Kristian. Ceramah yang disampaikan adalah dakwah kristian atau budha. Oleh sebab
nilai sejagat dalam mengamalkan kebaikan adalah serupa, tidak terasa itu adalah
ajaran kristian atau budha. Bayangkan jika anak-anak Melayu yang majoritinya
pada hari ini kurang menitik beratkan agama ditambah pula dengan penyelewengan
fahaman bahawa asal Melayu itu Islam semuanya……atau fahaman sesat mengatakan
Melayu Islam dan Islam itu Melayu.
Kecelaruan faham itu adalah disebabkan
penggunaan bahasa Melayu Indonesia yang meluas dan tidak boleh dipersoalkan
kerana bahasa Indonesia adalah bahasa kebangsaan, bahasa negara bangsa,
Indonesia. Yang celaru bukan mereka tetapi adalah diri Tun Sheikh sendiri.
Nasib baik sebelum merantau ada sedikit bekalan kefahaman agama yang agak kuat atau banyak
kerana faktor pendidikan formal Tun Sheikh yang berasal dari Johor dan faktor
linkungan keluarga yang banyak kuat beragama. Tegasnya, kita sendiri mesti
jelas dan faham serta mengetahui budaya Islam itu sendiri dan tentu sekali akan
bermasalah jika kita hanya pandai dan tahu budaya Melayu tanpa dapat membedakan
amalan adat Melayu yang bertentangan dengan syariat Islam.
Bagi Tun Sheikh apa yang berlaku
ini adalah kerana terlalu mengikut kehendak nafsu politik yang jahat. Politik
perkauman dan kesukuan. Jika faham kepada dasar dan ajaran Islam, sebenarnya
tidak menjadi masalah nama Allah itu dipergunakan oleh sesiapa sahaja kerana
Allah memang tuhan sekalian manusia. Cuma apa yang harus diperhatikan ialah
kecenderungan sesebuah organisasi sama ada persatuan bukan kerajaan atau yang
aktif dalam keagamaan dan sebagainya bagaimana mereka meletakkan nama Allah itu
dan cara pemakaiannya.
Kita tidak boleh
menuduh mereka sengaja hendak megujudkan porak peranda dan kita juga tidak
boleh bersangka baik sangat dengan mereka. Apa yang penting kita mesti terus
memantau dan memastikan penggunaan nama Allah itu tidaklah sama maksudnya
sebagaimana penggunaan dalam Islam dan ditujukan pula kepada penganut Islam.
Sehubungan itu kita mesti menggandakan dakwah kita menerangkan istilah
ketuhanan dalam Islam itu sendiri.
Tun Sheikh juga beranggapan
bahawa pada hakikatnya ini semua adalah juga perancangan dan dugaan Allah
kepada kita khususnya yang mengaku dan memperjuangkan Melayu sejati. Jika kita
berfikir secara terbuka atau di luar kotak, kita akan mendapati atau setidak-tidaknya
akan bersetuju bahawa orang Melayu Totok sedang dalam kesesatan minda dan
falsafah kerana dikuasai nafsu menjadi pemerintah yang lupa kepada nikmat dan kuasa
Allah.
Apa tidaknya, mereka lupa
nikmat kekuasaan sehingga sanggup menyeleweng, tidak amanah lagi dan
mementingkan diri. Mereka kelihatan akan membelit lehir sendiri tanpa sadar,
terpaksa mahupun setelah diberitahu. Kesombongan dan budaya rasuah telah
menggelapkan hati mereka menerima pencerahan. Contoh mudah adalah isu bahasa
sehingga terpaksa menelan racun sendiri. Diperjuangkan salah dan tidak
diperjuangkan pun terasa bersalah. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan seolah-olah tidak diutamakan.
Bangsa lain sengaja mengambil kesempatan
menggunakan bahasa Melayu dalam penyampaian dan dakwah agama mereka sehingga
menerbitkan kitab dan menterjemmahkan kitab-kitab agama mereka ke dalam bahasa
Melayu. Agak lucu dan kelihatan begitu jahil atau kebudak-budakan jika hal ini
menjadi larangan sebagaimana apa yang sedang dilakukan oleh juak-juak AmnoBN
yang mengaku memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu. Mereka mahu Melayu di
atas tetapi mereka juga orangnya yang memperlekeh Melayu itu sendiri melalui
dasar bahasa dan adat resam. Ketika ini mereka tersepit lalu perkataan Allah
dipropagandakan dengan tujuan tersembunyi agar orang Melayu terus bergantung
kepada mereka.
Kesimpulan isu perkataan Allah
yang sengaja disensitifkan ketika ini adalah untuk melagakan kesatuan hati-hati
bukan Melayu kepada Melayu yang bukan AMNO. AMNO sangat bimbang mereka akan
diketepikan dan hilang kuasa kerana penyelewengan demi penyelewengan
terbongkar. Jika mereka gagal menghilangkan kepercayaan, perpaduan bukan Melayu
dan bukan Islam yang kelihatan tertarik kepada parti dan barisan alternatif
seperti Pakatan Rakyat maka kuasa dan falsafah politik Melayu mereka akan
terkubur.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Bukit Katil Melaka 7.1.2014