AMNO SESAT: BOLEHKAH ORANG YANG SESAT MEMIMPIN?

0 comments

AMNO SESAT: BOLEHKAH ORANG YANG SESAT MEMIMPIN?

Perkataan sesat pada umumnya amatlah sensitif. Ia sangat sensitif jika dimengertikan dari segi keyakinan beragama. Sesat yang Tun Sheikh maksudkan di sini merujuk kepada falsafah pemikiran dan juga nilai budaya minda mereka. Meskipun agama juga termasuk dalam penilaian budaya sejagat, kita sisihkan sebentar persepsi agama dalam budaya.  Adalah lebih menarik jika sesat ini hanya diukur mengikut nilai budaya sejagat. Nilai budaya sejagat bererti sesuatu perbuatan atau amalan  oleh sesebuah bangsa yang terdapat dalam semua paradaban manusia.  Contoh mudah seperti makan, minum berpakaian, tidur, perkahwinan, kematian dan sebagainya.

 Apa yang menarik ialah apabila amalan sejagat atau nilai kebudayaan sejagat ini mencapai suatu pengiktirafan bernilai tinggi mengikut penerimaan fikiran dan minda semua bangsa terhadap sesuatu peradaban itu secara perbandingan atau mengikut sesuatu standard yang diterima ramai dan diterima pakai. Contoh mudah ialah adab makan. Apabila sesuatu adab makan oleh sesebuah bangsa itu sangat menjaga kebersihan makanan, tempat, peralatan, waktu dan kebersihan diri ketika makan sehingga boleh diuji kebersihan seperti itu dapat mengawal penyakit dan mendatangkan kesihatan tubuh badan yang sihat dan baik, maka dinilai adab makan yang diamal atau menjadi budaya sesebuah bangsa itu bernilai tinggi.

Sesat AMNO dari segi kepercayaan beragama , tidak mahu Tun Sheikh bicarakan di sini. Itu terpulanglah kepada anda untuk menilainya sendiri mengikut kesukaan anda. Sebaiknya dirujuk kepada orang yang ahli dan arif tentang agama jika kita hendak tahu sama ada AMNO adalah parti sesat dalam agama. Kita tidak boleh menuduh seseorang itu sesat jika kita tidak tahu pengukur atau ciri-ciri kesesatan itu sendiri.

 Secara dasar, jika kita betul-betul mengakui dan menyakini Islam, untuk memahami sesat kepercayaan atau keimanan itu,  wajiblah kita merujuk Quran dan Hadis. Apabila kita menjumpai nas-nas berkenaan, kita tetap tidak boleh menjatuhkan mengikut kefahaman kita bawa AMNO misalnya telah sesat dan kita pun uar-uarkan kepada orang lain. Ini adalah kerana kita bukan ahli mentafsir Quran & hadis secara bebas kecuali untuk diri kita sendiri.  Kita hendaklah tunduk mengikut dan menerima fatwa dari para mufti yang diberi wewenang terhadapnya kerana mereka adalah orang yang ahli dan mengikut peraturan sebagaimana yang dikehendaki dan ditetapkan oleh petunjuk Quran itu sendiri.

Berbalik perbicaraan tentang AMNO sesat, Tun Sheikh ingin menjelaskan di sini bahawa mereka sesat dari segi minda dan idiologi kebudayaan sejagat tadi. Ini adalah kerana mereka tidak lagi menjadikan nilai umum yang menjadi ukuran dan diterima ramai dalam budayaan sejagat sebagai kayu ukur. Sebagai contoh, rasuah adalah perilaku atau perbuatan yang jelek dan jahat mengikut nilai kebudayaan sejagat tetapi bagi AMNO, rasuah tidak dipandang begitu seolah-olah rasuah juga adalah budaya terpuji. Contoh lain apabila nilai kebudayaan sejagat meletakkan keadilan itu adalah suatu amalan yang terhormat dan mesti diutama dan diamalkan. AMNO pula meletak dan melihat keadilan itu  hanya untuk ahlinya sahaja. Perkara atau sesuatu yang tidak adil pada bukan ahli tetapi ada keuntungan kepada ahlinya, maka ketidakadilan itu disokong dan dipertahan oleh AMNO. Contohnya isu BERSIH dalam perlaksanaan pilihanraya. Rakyat melihat ada unsur penipuan dan mendesak AMNO berlaku adil tetapi telah dinafikan hak mereka.  Gelagat AMNO seperti ini memperlihatkan kencenderungan mereka melakukan dan mengamalkan penyelewengan untuk mengekalkan kuasa.

AMNO sesat minda apabila menjadi kerajaan hanya kepada ahli dan kroni-kroninya. AMNO tidak faham erti kerajaan dan tanggongjawab yang wajib dipikulnya. Kemakmuran Negara yang seharusnya dinikmati oleh semua rakyat tidak diamal dan dibudayakan mengikut  standard nilai sejagat oleh AMNO . Mereka hanya mengutamakan ahli dan kroni mereka sahaja. Rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum, perbedaan minda, fahaman politik, kepercayaan atau agama dinafikan hak mereka. Contohnya perlakuan AMNO sebagai kerajaan kepada negeri-negeri yang tidak diperintah AMNO. Negeri-negeri berkenaan didiskriminasi, tidak diberi peruntukan yang adil dan sewajarnya dan dinafikan hak mereka. Ironinya, negeri-negeri yang ditadbir oleh bukan AMNO selaku kerajaan,  mencapai kejayaan yang amat dibanggakan. Kewangan dan ekonomi mereka terurus dengan baik meskipun sering disabotaj oleh kerajaan pusat yang diterajui AMNO.

 Dari segi pengurusan wang, nilai sejagat telah menetapkan bahawa hutang dan penyelewengan itu adalah perbuatan buruk dan negatif. Pengurusan yang baik ialah berjimat cermat, tidak atau sangat kurang berhutang, tidak boros . Sesiapa yang berjaya mengamalkan disipilin pengurusan wang seperti itu iaitu tidak boros, berjimat, berkemampuan dan tidak berhutang adalah baik tetapi tidak dianggap begitu oleh AMNO. Budaya mereka menguruskan wang tidak bernilai sejagat yang terpuji tetapi mereka mengakui merekalah yang terbaik. Badan yang memantau kecekapan pengurusan wang telah melaporkan bahawa AMNO tidak bijak menguruskan wang rakyat atau Negara tetapi AMNO tetap mendabik dada mengatakan merekalah yang cerdik, cekap dan bijak menguruskan wang rakyat atau wang Negara. Jadi amatlah jelas bahawa AMNO sedang sesat dari segi amalan nilai budaya sejagat.

Haruskah kita memberi  amanah dan wewenang kepada AMNO yang sesat ini? Kita selaku rakyat berhak menegur dan menasihati mereka tetapi semua teguran dan nasihat telah dianggap sebagai musuh yang cemburu kepada kuasa mereka. Mereka telah sesat pemahaman bahawa kitalah yang memilih mereka dan kita selaku rakyat berkuasa menyingkirkan mereka yang tidak amanah. Mereka mentadbir mengikut kehendak dan kemahuan mereka. Mereka begitu angkuh dan sombong kerana mereka terpengaruh dengan kuasa wang yang dibolot dan dimiliki secara tidak sah. Wang haram yang diperolehi kini telah menjadi budaya di minda mereka . Kini kesesatan mereka dalam minda dan fikiran sangat nyata dan jelas tidak selari lagi sebagaimana nilai-nilai sejagat. Mereka terus sesat dan adakah wajar mereka menjadi pemimpin yang kita harapkan memandu jalan keselamatan, keharmonian dan kemakmuran di masa akan datang??

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Kompleks Kerajaan Jln Duta KL 30.11.2012

TEMA KEMERDEKAAN 2012 “JANJI DITEPATI” SILAPNYA DI MANA?

0 comments

TEMA KEMERDEKAAN 2012 “JANJI DITEPATI”  SILAPNYA DI MANA?

Sebenarnya tiada apa yang janggal, salah atau silap jika  tema kemerdekaan 2012 “Janji Ditepati” digunakan pada masa dan keadaan yang betul. Punca rakyat menolak sehingga ada yang anggap tema ini memualkan adalah kerana kejumudan pemikiran UMNOBN. Mereka menunjukkan sikap degil dan angkuh yang menyebabkan rakyat rasa meluat.  UMNOBN masih tidak berasakan bahawa kebencian rakyat terhadap ego dan keangkuhan mereka telah sampai ke paras melampau batas di mata rakyat. Ini adalah kerana ketidakperihatinan UMNOBN terhadap teguran rakyat. Hal ini juga berpunca daripada ketidaksenang hati rakyat yang sedang dalam tekanan hidup akibat inflasi, pengecilan kuasa beli mereka dan kesempitan hidup.

Amat mendukacitakan, UMNOBN kelihatan tidak menyebelahi atau membela nasib dan masalah rakyat tetapi sebaliknya menyebelahi kroni-kroni pemilik barang dagangan yang menaikkan harga. Kerajaan dilihat tidak adil dan tidak bertanggongjawab kerana mengambil kesempatan menggunakan wang negara untuk projek-projek mega yang ada kaitan dengan kroni mereka dan mempunyai kepentingan pribadi.  Lebih menyakitkan hati ialah kebebasan melampau oleh UMNOBN mengurus hasil negara terutamanya yang berkaitan dengan perusahaan  minyak petroleum negara. Tidak adil dalam pembahagian hak hasil negeri dan menipu pelbagai fakta rasmi yang berkaitan kewangan, taraf sosial, taraf hidup dan kemiskinan. Pada waktu yang sama pula, pemimpin UMNOBN terus menerus menunjukkan kemewahan dan keborosan hidup sehingga rakyat yakin, adalah mustahil mereka dapat menikmati kemewahan yang melampau itu berbanding dengan gaji dan elaun atau pendapatan rasmi tahunan mereka.

Jika tema “Janji Ditepati” belum pernah digunakan oleh UMNOBN, sudah tentu kesan penolakannya tidak begitu timbul menonjol. Banyak keluhan dan permintaan rakyat diabaikan oleh kerajaan UMNOBN dengan hujah dan alasan yang tidak professional sebelum kata-kata Janji Ditepati digunakan. Ketika kata-kata itu dipopularkan oleh UMNO, rakyat berasakan ia hanya untuk mengelirukan rakyat yang ternyata telah melihat kebaikan dan kebajikan pemerintahan kerajaan parti pembangkang di negeri-negeri dikuasai mereka. UMNO pula terus berusaha menafikan usaha dan dasar kebajikan pembangkang meskipun secara rasmi tercatat dalam laporan-laporan tahunan banyak jabatan kerajaan, Jabatan Audit Negara dan laporan rasmi dalam parlimen.
Pada hakikatnya, UMNO berasa telah gagal menandingi janji kebajikan yang dilaksanakan oleh pembangkang kerana budaya rasuah dalam UMNOBN telah membudaya dan tidak dapat dihapuskan lagi. Justeru mereka mengangkat kata “Janji Ditepati” menjadi tema kebangsaan atau Negara dengan harapan rakyat dapat menilai jasa-jasa UMNOBN selama memerintah negara sejak merdeka. Hal ini terus membuka mata dan hati rakyat banyak dan rasa kebencian sebenarnya bertambah kerana budaya Melayu memang menolak perangai atau kelakuan yang mengungkit-ungkit budi yang telah berlalu.

Apa yang diharapkan oleh rakyat ialah UMNOBN segera dan serius melawan dan menghapuskan budaya rasuah dan budaya mengutamakan kroni yang menyebabkan kuasa ekonomi rakyat semakin meruncing dan terhimpit. UMNOBN sebaliknya berterusan berusaha mengalihkan isu rasuah dan salah menggunakan kuasa serta pecah amanah dengan isu-isu kecil. Isu-isu kecil yang tidak relevan dibuat-buat seperti sangat penting dan merbahaya dan  diberi keutamaan. Lebih mendukacitakan ialah apabila ramai pemimpin bertaraf menteri melatah atau mengeluarkan makluman bodoh yang menunjukkan ketidakcerdikan mereka. Ini sangat membimbangkan rakyat kerana mereka dilihat tidak ikhlas dan tidak bermutu kecuali seperti pembodek atau pengampu sahaja. Manakala di waktu yang sama kecekapan dan kewibawaan para pemimpin pembangkang terus meningkat dan cemerlang. Mereka berjaya bersikap telus, amanah  dan berintergriti serta memberi keutamaan menyelesaikan masalah rakyat daripada kepentingan diri peribadi.

Tiada kejanggalan jika tema “Janji Ditepati” belum pernah dipakai dan diuar-uarkan sebagai dasar masa akan datang. Tetapi sebaliknya para pemimpin UMNOBN seolah-olah menuntut rakyat mengenang jasa parti mereka padahal pada waktu kontemporari atau ketika ini mereka sangat mendukacitakan kerana menonjolkan kebobrokan akhlak dan budaya pecah amanah serta membudayakan politik rasuah, politik wang dan budaya fitnah yang menjatuhkan maruah budaya bangsa Malaysia sendiri ke seluruh pelusuk dunia.

Suatu hal yang amat ketara yang kelihatan sengaja tidak dipedulikan oleh para pemimpin UMNOBN ialah terhadap tuntutan mengangkat nilai-nilai murni seperti menuntut keadilan dalam proses pilihanraya, memperbaiki system pilihanraya itu sendiri dan menuntut kewajaran perjalanan sistem kehakiman tanpa pengaruh dan campurtangan kuasa ekskutif dan perjalanan system kawalan keamanan dalam negeri yang dipertanggongjawabkan kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia yang dilihat begitu tercemar dan negative.

Selain yang tersebut, kerajaan UMNOBN mungkin sudah lupa bahawa kesan pentadbiran bekas PM Dr Mahathir adalah sangat buruk dan busuk. Beliau sepatutnya dibersihkan segera atau setidak-tidaknya dilupa atau diluputkan kerana beliau sudah bersara dan zaman kegemilangannya sudah berlalu. Tetapi pengaruhnya yang tidak disukai oleh bukan sahaja ramai rakyat Malaysia tetapi juga seluruh dunia yang seharusnya tidak diwarisi atau tidak membayangi pentadbiran dan pemerintahan PM Malaysia selepas persaraan beliau berterusan ditonjolkan. Rakyat sebenarnya belum lupa terhadap paksaan tema “Keranamu Malaysia” yang sebenarnya adalah kempen yang memaksakan untuk rakyat mengingati dan mengenang jasa Dr M pada ketika beliau mula dibenci. Tema “Keranamu Malaysia” adalah menyerupai “Janji Ditepati”, mempunyai kepentingan pribadi atau parti padahal kepentingan berbau pribadi atau parti sepatutnya tidak tertonjol apabila berkaitan dengan kebangsaan atau negara bangsa.

“SELAMAT BERHARI RAYA DAN MENYAMBUT KEMERDEKAAN 2012”
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Dataran Merdeka KL 27.8.2012

BERSIH 3.00 Haram? Adalah Falsafah & Sejarah Ulamak Jahat

0 comments

BERSIH 3.00 Haram? Adalah  Falsafah & Sejarah Ulamak Jahat

Tidakkah amat membinggungkan jika Negara ini banyak badan yang mengeluarkan fatwa? Apa yang nyata ialah perbedaan dua fatwa dari pihak kerajaan dan dari pihak bebas berkaitan Islam. Yang mengharamkannya ialah Majlis Fatwa Malaysia dan mewajibkannya pula ialah badan bebas atau NGO.

Begitulah selamanya orang Melayu akan keliru dan terus tertipu. Yang berada diatas jalan kebenaran tidak mempunyai kuasa. Yang mempunyai kuasa pula sanggup menggunakan agama dan menyeleweng untuk kepentingan politik pemerintah . Jika rakyat atau umat Islam di Negara ini hanya mengharapkan pendidikan agama dari sekolah-sekolah kerajaan maka secara otomatik tercucuk hidunglah mereka dalam budaya ilmu agama. Malah sejarah pendidikan agama merekodkan bukti BN telah mengeluarkan beberapa dasar yang telah mengurangkan mata pelajaran agama Islam sehingga akhirnya terhapus dan lupus.

 Apabila ada pilihan lain maka berpecahlah fahaman agama sebagaimana yang kelihatan pada ketika ini. Sebenarnya keadaan ini memang sengaja dirancang dan dibentuk acuannya oleh bekas penjajah. Orang Melayu sengaja dikelirukan dengan pelbagai fahaman kerana mereka yakin kebudayaan atau adat resam yang diamalkan oleh orang Melayu tidak berupaya melampaui atau keluar dari batas yang ditetapkan.  Ini adalah kerana orang Melayu sejak dahulu terkenal dengan adat resam yang tunduk dan patuh kepada raja dan tidak mengambil berat menggenai hal-hal besar seperti itu.

 Dasar penjajah ialah pecah dan perinntah dan kalau diberi kemerdekaan sekalipun mereka telah menetapkan dasar supaya negara Melayu yang kaya raya dengan sumber ekonomi ini merdeka tetapi pemikirannya mesti tunduk di bawah kaki atau kuasa pengaruh mereka. Keadaan dan kedudukan kefahaman ini tidak berupaya melangkau batas pemikiran yang maju kerana penjajah telah menggunakan nama raja-raja Melayu mengongkongi mentaliti Melayu. Pendek kata orang Melayu segaja  dikelirukan. 

Jika orang Melayu bebas menggarap ilmu dari bukan kerajaan maka banyaklah fitnah kesesatan yang dihadapinya. Fenomena ini sudah tentu menguntungkan pihak yang berkuasa kerana dapat menggunakan segala kemudahan dan kekuatan menerusi agensi kerajaan untuk memaksa umat Islam di Negara ini mengikut telunjuk mereka. Anehnya, para mufti kerajaan seia sekata mengharamkan sesuatu perkara seperti dikehendaki oleh pihak pemerintah. Mereka seolah-olah tidak dapat melihat jauh dengan segala syarat dalil dan nas untuk menimbangkan sesuatu isu atau masalah hukum. Misalnya hukum hudud dan kisas. Satu pihak mengatakan tidak perlu asalkan rakyat masih terjamin kebebasan mereka beramal. Manakala satu pihak lagi mengatakan wajib diusahakan kerana Allah telah mengamanahkan kuasa dan wajib melaksanakannya dengan penuh hemah. 

Jika diselidiki watak-watak yang memegang kuasa yang boleh mempengaruhi majlis fatwa maka rakyat akan faham bagaimana boleh jadi kesimpang siuran. Dan andaikan semua umat Islam di Malaysia memegang sepenuhnya petunjuk Allah dan sunahturrasul, maka sudah pasti mereka akan mengetahui  perbedaan dan hal kekeliruan serta percambahan ini. Jika diselidiki melalui fakta sejarah sahaja, orang Melayu akan mengetahui secara khususnya mengapa dan bagaimana UMNO tertubuh.

 Apabila mendapat bayangan dari penjajah kafir akan gula-gula merdeka dengan beberapa syarat yang tersirat, para ulamak yang celik mata hati telah terlihat perangkap yang tersedia. Sayangnya para pejuang atau para nasional Melayu yang tidak mendalam pengetahuan mereka sangat cendurung memasuki perangkap gaib itu.Berikutan daripada itu UMNO terpecah kepada dua pada tahun 1951 iaitu jalur atau aliran pemikiran ulamak yang kini dikenali sebagai PAS dan para nasionalis yang memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu yang terkenal sebagai UMNO.

 Apabila dikaji dengan lebih jauh lagi, sejarah mencatat para pejuang semangat kebangsaan Melayu ini pada peringkat awal dikuasai oleh orang Melayu Islam berpendidikan Melayu dan sedikit orang Melayu berpendidikan Inggeris dalam negeri. Tetapi akhirnya apabila menjelang kemerdekaan YM Tunku Abdul Rahman yang disenangi British  telah membawa masuk ramai tokoh-tokoh Melayu berpendidikan tinggi Inggeris yang berkelulusan  luar negeri. Mereka ditonjolkan sebagai tokoh Melayu yang hebat dan orang Melayu biasa dan orang Melayu kampong telah cepat terpengaruh kerana cabaran kehidupan seharian yang masih belum melepasi asas-asas kesempurnaan.

Dinding fatamorgana pun terbina dengan sendirinya diantara tokoh pendidikan dalam negeri dan tokoh berpendidikan luar negeri. Sehingga hari ini dua kelompok tokoh dalam UMNO ini masih wujud dan benting itu juga masih berpengaruh. Orang UMNO sebenarnya begitu taksub dengan perjuangan bangsa dan ini mendapat kesepakatan yang tidak diperjelas dan diperbincangankan antara dua kelompok  ini. Kemajuan dan pembangunan dijadikan objektif utama maka golongan UMNO berpendidikan agama yang berpengaruh berjaya dimomokkan atau ditekan dan hilang penonjolan. Mereka hanya ditolak ke depan bagi menangani isu-isu yang tokoh sekular UMNO jahil mengenainya dengan syarat dan pantauan yang begitu ketat. Maksudnya mereka mesti menggunakan atau membuat fatwa yang tidak merugikan UMNO walaupun pada masalah yang kecil, ringan dan sebagainya. Ironinya mereka juga ada kalanya terpaksa menyeleweng dan berfatwa yang mengelirukan umat Islam.

Untuk keluar dari masalah fatwa yang berbeda dan kadang kala tidak di atas landasan agama yang betul maka semua umat Islam di Negara ini wajib mempelajari dan menjadikan qalam Allah dan sunahturrasul sebagai pegangan, panduan dan rujukan. Jika kerajaan sekarang tidak mencita-citakannya kerana ingin meneruskan kuasa dan menikmati penyelewengan dari dasar pecah dan perintah maka mereka wajib segera diganti kerana ketika ini penyelewengan dan pecah amanah yang mereka lakukan telah terang dan begitu menonjol. 

Apabila kita menyedari tujuan dan matlamat BN memerintah tanpa berkehendakan syariat Islam yang terjamin sesuai untuk segala manusia dan agama maka apakah perlu kita pertahankan atau menyokong mereka kerana sudah tentu fatwa-fatwa yang dipaksakan akan terus menyimpang. Lebih aneh lagi, apabila DAP dan kaum India yang tidak menyokong  BN yang pernah dituduh sebagai berpemikiran komunis oleh UMNO dan BN, telah menerima syariat Islam kerana ini tidak mengganggu agama dan adat resam mereka tetapi ditolak mentah-mentah oleh UMNO BN dengan tuduhan sesat.

 Tolak UMNO dan BN adalah pilihan terbaik dan bijak. Jika UMNO ingin mengekalkan kuasa mestilah berubah segera dengan mengangkat, memartabat dan menjadikan syariat Islam sebagai dasar perundangan negara. UMNO mesti bertanggong jawab dan berasa malu apabila bekas-bekas menteri BN dan pemimpin MCA mengatakan selama ini, sejak merdeka UMNO telah menipu dan mengelirukan kefahaman mereka terhadap Islam. Mereka mendedahkan hal ini UMNO lakukan bukan sahaja kepada mereka yang bukan Islam tetapi juga terhadap ahli-ahli UMNO. Jelaslah sekiranya hal ini berterusan maka nyatalah siapa yang sesat dan menyesatkan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Apabila Para Peguam Berpolitik

0 comments

Apabila Para Peguam Berpolitik

Pada tahun-tahun sebelum 1980-an para peguam dan komuniti pengamal perundangan ini kelihatan seperti tidak wujud dalam kelompok rakyat majoriti atau pertengahan. Mereka seolah-olah tiada dalam arus perdana kelompok terbesar rakyat. Ini adalah kerana mereka tidak aktif berpersatuan dan tidak banyak berkhidmat secara sukarela dalam masyarakat. Penyebab utama ialah mereka terpaksa mengikut dan menjaga etika kepeguaman. Para hakim dan peguam atau masyarakat pengamal perundangan ini semuanya professional dan begitu taksub menjaga standard sosial mereka. Mereka hidup dalam kelompok mereka sendiri dan kelihatan begitu bergaya malah disanjung dan dihormati.

Alasan utama mereka dapat diterima berkelakuan seperti orang asing dalam masyarakat atau dalam penghidupan rakyat biasa seharian adalah kerana mereka dianggap pengamal atau pakar dalam segala peraturan dan undang-undang. Mereka dianggap orang yang bijak dan serba tahu berkenaan perundangan. Mereka sangat dihormati. Sebut sahaja peguam atau hakim, rakyat biasa berasa segan pada mereka. Hal yang sangat menyedihkan ialah tanggapan rakyat biasa yang tidak menolak kefahaman atau fikiran yang mengatakan mereka terpaksa berkelakuan begitu supaya tidak bias atau tidak diambil kesempatan kepada sesiapa yang berhadapan dengan pertuduhan dalam kes dan penghakiman di mahkamah. Ini memang logik malah sudah menjadi norma yang amat kukuh dan berprestij.

Penglibatan komuniti peguam dalam aktiviti kemasyarakatan terutamanya dalam kerja-kerja amal dan kebajikan berlaku secara drastik ketika dalam era Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir. Kekebalan dan gaya hidup peguam dengan kelompok mereka sendiri seolah-olah tercabar apabila bidang kehakiman terikat dengan kuasa ekserkutif kerajaan. Mereka tidak lagi mempunyai pengecualian dan terpaksa memperjuangkan keistimewaan mereka. Sebelum Tun Dr Mahathir berkuasa, jarang ada persatuan peguam turun padang mengambil tahu atau terlibat dengan aktiviti rakyat biasa. Ini adalah kerana mereka selesa dilindungi norma hidup yang mewah dan berperestij tinggi yang dilindungi undang-undang bertulis yang mereka cipta.

Mereka mudah mendapat pendapatan atau sara hidup melalui caj-caj kepeguaman dalam semua kes sama ada perdagangan, civil dan jenayah. Tidak kira sama ada kes-kes yang menggunakan khidmat mereka menang atau kalah dalam mahkamah , mereka tetap dapat habuan kerana semua kes yang didaftarkan terpaksa diproses menggunakan perkhidmatan mereka. Perjanjian dalam urusan perniagaan dan perdagangan juga terpaksa menggunakan perkhidmatan mereka dan caj-caj dokumen perjanjian yang ditetapkan oleh mereka sah dalam sistem perundangan seluruh dunia. Dengan perkataan lain, sumber pendapatan mereka sudah terjamin dilindungi undang-undang.

Pada dekad-dekad sebelum era Tun Dr. Mahathir, para peguam yang mencebori politik sering mendapat tempat teratas. Jika dalam parti pemerintah, mereka dengan mudah menduduki jawatan tertinggi sehingga banyak yang menjadi menteri. Sejarah telah mencatatkan bahawa tiga bekas Perdana Menteri Malaysia sebelum Dr. Mahathir adalah berkelulusan undang-undang. Pengamal Guaman yang menjadi pembangkang pula amat terkenal seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang aktif sehingga hari ini. Sangat sedikit para peguam atau yang berjawatan hakim terlibat membuat kerja-kerja sukarela. Mereka yang memberi khidmat percuma atau secara sukarela atau aktif menceburi persatuan atau NGO yang berdasarkan amal kebajikan boleh dikira dengan jari.

Trend ketika itu sangat difahami oleh semua rakyat kerana tidak ada yang percuma dan kos-kos kepeguaman yang mahal terpaksa ditanggong oleh sesiapa yang terlibat dengan kes-kes mahkamah. Rakyat yang miskin terpaksa mengorbankan harta seperti menggadai tanah walau sekangkang kera. Hal ini telah menyebabkan kerajaan terpaksa menubuhkan Jabatan Biro Bantuan Guaman yang berfungsi memberi nasihat dan konsultasi kepada rakyat yang tidak berkemampuan. Biasanya kes-kes yang dibantu oleh pejabat guaman sering kalah dalam mahkamah kerana peguam kerajaan yang makan gaji itu disediakan hanya bagi melancarkan prosedur dan proses guaman. Setelah intitusi kepeguaman atau kehakiman ini tercalar kerana penglibatan serta campurtangan kuasa ekserkutif kerajaan, barulah tumbuh banyak persatuan yang berteraskan professional kepeguaman, bergiat dan berjuang berdasarkan hak kemanusian, kebajikan dan keadilan awam.

Peguam turun padang semakin popular apabila berlaku penganiayaan oleh PM kepada timbalannya pada tahun 1998. Para peguam yang berasa PM telah mula menggunakan kuasanya seperti ke arah kuku besi telah bertindak memberi perkhidmatan percuma kepada bekas TPM yang terseksa dalam penjara dengan retak tulang dan bermata lebam. Kekuatan dan pengaruh mereka mula dirasa oleh masyarakat. Mereka tetap dihormati dan dianggap sebagai golongan yang berwibawa dan persepsi nounsa kesombongan atau kekecualian pada golongan ini mula terhindar sedikit demi sedikit. Penglibatan mereka membantu rakyat dalam kes-kes di mahkamah atas dasar menuntut dan membela keadilan adalah sangat dihargai. Mereka yang memberi perkhidmatan percuma atas faktor pri kemanusian adalah disanjung tinggi.

Kini sudah ramai para peguam terlibat dalam politik secara langsung. Hal ini telah mengimbangkan kuasa politik kerajaan yang selama ini kelihatan seperti tiada pemantauan dari para pakar perundangan sehingga menyebabkan berlaku pelbagai kes-kes penyelewengan dalam pelbagai bidang. Malah kedudukan kerajaan kini semakin goyah kerana terlalu banyak kes penyelewengan dan salah menggunakan kuasa dikesan dan didedahkan di mahkamah. Rakyat kini mendapat kefahaman yang lebih baik mengenai suasana dan keadaan persekitaran mereka.

Apabila semakin ramai para peguam berpolitik dan menyertai parti pembangkang, maka nasib rakyat yang teraniaya dengan janji dan tipu helah politik kerajaan semakin mendapat pembelaan. Dipihak kerajaan pula, seolah-olah sedang tertolak ke jurang kehancuran kerana penyelewengan dan penipuan politik yang dimainkan selama ini telah merugikan rakyat dan tidak dapat lagi diterima. Pada hakikatnya hal ini bukanlah luar biasa kerana inilah hukum karma dunia. Tidak secara segara, cepat atau lambat, perkara-perkara yang jahat dan batil akan tersingkap jua dan pelakunya yang tidak amanah, penipu dan penyeleweng akan terhukum jua sama ada mengikut perundangan atau daripada kegelishan sendiri dengan membuka pekung diri sendiri.

Parti pembangkang pada hari ini kelihatan semakin kuat. Adalah amat sedih dan sangat dikesalkan kerana kerajaan yang juga memiliki ramai para ahlinya yang mempunyai latar belakang kepeguaman tidak dapat dipergunakan kerana kesilapan mereka sendiri yang telah mencucuk hidung mereka hingga berasa selesa hidup dalam kemewahan hasil penyelewengan yang disogokkan. Mereka kini tidak berani dan tidak mempunyai asas untuk membela kerajaan kerana mereka amat sedar selama ini mereka telah menyebelahi dan bersyubahat dengan segala penyelewengan dan penipuan yang memenangkan kerajaan.

Penglibatan para pengamal perundangan ini dalam politik dan kerja-kerja amal bagi menegakkan etika perundangan iaitu mempertahankan yang hak dan kebenaran tanpa mengira bulu mestilah diterima dan disanjung tinggi oleh rakyat. Mereka bukan sahaja sangat penting bagi memastikan kes-kes perundangan tidak diselewengkan tetapi juga sebagai satu kuasa pemantau dan penentu kepada sesiapa yang memegang tampuk kerajaan supaya mentadbir dan memerintah mengikut ketetapan undang-undang yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Putrajaya 15.3.2012

Perbedaan Pendapat dan Asas-Asas Sumber Pemikiran

0 comments

Perbedaan Pendapat dan Asas-Asas Sumber Pemikiran

Perbedaan pendapat dalam Islam bukan suatu yang asing atau terhalang dengan syarat sumber rujuknya mestilah Al-Quran. Jika tiada maka dicari dari sumber hadis sahih dan jika tiada juga maka baru boleh digunakan ijtihad ulamak melalui kias dan pengajaran yang dekat tamsilnya dari hukum hakam sedia ada yang nyata bersumber dari al Quran jua. Seterusnya kias dan tamsil dari hadis dan kemudian yang terakhir barulah mengikut pendapat dan pemikiran yang telah menjadi adat dan kebiasaan atau pengamalan yang sudah diterima orang ramai dengan syarat adat kebiasaan itu mestilah tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum Allah iaitu syariat Islam.

Pada hakikatnya segala hukum dan panduan untuk kehidupan manusia dalam dunia ini telah sempurna dan telah tercatat dasar-dasar dan asasnya dalam Al Quran mahupun melalui sunnah Nabi SAW. Tuhan juga memberitahu melalui al Quran bahawa pengetahuan itu terdapat di alam ini bagi kemudahan dan kesenangan manusia jua . Hanya kedudukannya ada yang nyata dan ada yang terperingkat dan ada yang tersirat yang perlu pengkajian dan penyelidikan dan mengikut keperluan dan kesesuaian penerimaan dan keintelektualan manusia.

Dalam dunia ilmu, islam meletakkan orang yang berilmu itu sebagai pengganti nabi. Ilmu pula pada hakikatnya bersumber dari Allah Azawajallah sama ada yang negative atau positif. Allah mencipta segala sesuatu berpasang-pasangan. Manusia diberi kuasa ikhtiar untuk memilih ilmu yang mana yang dikehendaki. Ilmu atau pengetahuan adalah penuntun sesuatu perbuatan atau pekerjaan bagi memudahkan gerak dan gaya kehidupan. Perbuatan ini menjadi amalan dan apabila berlaku secara persetujuan kolektif maka jadilah ia sebagai adat kemudian budaya dan kebudayaan. Dalam perkataan lain, segala ilmu pengetahuan adalah dari Allah dan manusia diberi kuasa untuk bebas memilih dan mereka akan dipertanggungjawab terhadap amalan yang mereka pilih.

Disamping memberi kebebasan memilih, Allah memperingatkan manusia bahawa Allah mewajibkan diriNya mencintai kebaikan dan jika ilmu hitam atau sesuatu yang tidak baik dipilih menjadi amalan kerana memudahkan penghidupan walaupun buruk dan menzalimi disuatu pihak yang lain, natijahnya adalah kepada orang atau masyarakat itu sendiri sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Al Quran adalah sumber pembeda, sumber rujuk dan petunjuk yang disediakan oleh Maha Pencipta untuk manusia dalam mengharungi kehidupan di dunia gelap yang dicipta khas untuk manusia oleh Allah SWT. Tujuannya adalah bagi menguji manusia yang mana akan tunduk dan patuh dengan yang menderhaka, sesat mahupun lalai kepada Maha Pencipta.

Manusia dicipta sebagai makhluk yang menjadi contoh atau model kesempurnaan dan memegang amanah iaitu mengiakan keEsaan dan Ketuhanan Allah Yang Maha Agong. Tuntutan penyaksian ini tidak boleh berbelah bagi walau sebesar zarah pun. Inilah tauhid dan mereka yang bertauhid juga dikenali sebagai beraqidah. Tingkat tauhid atau aqidah ini tidak ada perbedaan makam. Ia mesti bulat dan tiada perbandingan. Ikatan kepercayaan dan keyakinan mesti jelas tanpa boleh tergugat dan mesti tersimpul mati. Cagaran atau pagar pelindungnya adalah nyawa kerana nyawalah yang paling berharga dalam diri manusia. Sehubungan itu hanya nyawa seharusnya dicagarkan kepada Maha Pencipta kerana segala-galanya adalah ciptaan dan milikNya.

Pemahaman untuk mengukuh kepercayaan dan keyakinan adalah bergantung kepada dapatan ilmu, kekuatan atau kesihatan tubuh badan di samping taufik dan hidayah dari Allah sendiri. Oleh kerana segala-galanya dari Allah, maka adalah wajar kita mohon segalannya dari Allah jua. Selebihnya hendaklah kita berusaha dan berikhtiar dan meletakkan ketentuannya ke hadhirat Allah. Allah sudah tentu memberi atau sebaliknya kepada semua insan meskipun ada yang tidak meminta kerana itu adalah hak Allah. Tetapi Allah juga bersifat Maha Halus dan Lembut dan Mengasihi hamba yang merendah diri dan redha kepada Allah. Keredhaan diri ini menentukan standard ketakwaan insan. Dan ketakwaan inilah yang dipandang Allah. Siapa yang paling takwa maka dialah yang paling hampir dan dikasihi Allah. Untuk merela dan meredhakan diri kepada tuhan, manusia mestilah mengenali tuhan itu sendiri.

Dalam insan atau diri setiap manusia, Allah telah fitrahkan bahawa setiap roh itu wujud dengan sifat hamba. Penyelewengan roh adalah disebabkan pelbagai factor. Faktor utama ialah tirai-tirai hijab hasil dari dapatan ilmu yang pelbagai menerusi penglihatan, pendengaran, perasaan, didikan ibubapa dan keluarga, pengaruh lingkungan, pendidikan dan pembelajaran formal dan juga ilham atau idea buah fikiran. Ilham ini pula terpengaruh dengan keperluan fizikal tubuh badan, kehendak nafsu dan juga bisikan jin dan syaitan disamping malaikat yang mengawasi. Letaknya ilmu pengetahuan ini sebenarnya bukanlah di kepala tetapi di lubuk hati. Hati pula adalah rumah kepada roh yang halus dan rahsia. Akal sebenarnya adalah wadah pembuat keputusan sebagai hakim yang mendengar, mengalisa dan mengolah untuk menghukum. Keputusan akal yang bertindak selaku hakim ini juga dipengaruhi oleh factor-faktor dapatan maklumat atau ilmu atau pengetahuan termasuk hasil dari kepercayaan dan kenyakinan dari pengalaman. Ilmu yang tidak baik, amalan buruk dan dosa-dosa mengapung dipermukaan hati sehingga menhijab sinar ilmu yang baik dan cahaya kebaikan daripada dapat mempengaruhi akal membuat keputusan yang baik.

Sehubungan dengan itu, untuk mendapat keputusan yang akhirnya akan menjadi perlakuan atau amalan tubuh badan atau insan sehingga dikenal sebagai perangai, kelakuan, karekter atau personality maka akal perlu dibekalkan dengan maklumat yang banyak dan terbaik. Panduan untuk mengangkat atau memajukan maklumat terbaik bagi mempengaruhi keputusan akal yang bertindak selaku hakim ini memerlukan petunjuk dari Maha Pencipta dan petunjuk ini kerap dirujuk sebagai petunjuk, kayu ukur, pembeda, kalam Tuhan dan itulah Al Quran yang penuh dengan keajaiban dan bermujizat .

Maka bukanlah kita manusia yang bijak atau berakhlak mahupun cerdik jika segala isu tidak kita rujuk dan cari dari petunjuk Allah. Sekiranya perbedaan pandapat kita berlaku tanpa merujuk terlebih dahulu pada Qalam Allah selaku petunjuk di dunia ciptaanNya ini maka akan jadilah kita sebagai hamba yang sesat kecuali pandangan kita yang masih berbeda kerana perbedaan pemahaman setelah menjadikan Al Quran sumber rujukan yang utama. Maka itu tuhan akui sebagai sebahagian dari kuasa dan rahmatNYa. Dan sebijak mana manusia jika hasil pemikiran atau pandangan dan pendapat yang dianggap bijak itu tidak bersumber dari Qalam Maha Pencipta atau tidak dirujuk bagi mendapatkan penjelasan dan kesempurnaan ilmu malah bercanggah pula dengan syariat Islam maka sia-sialah segalanya. Dan makhluk yang membudayakan pekerjaan yang sia-sia ialah syaitan yang sentiasa berusaha dengan sedaya upaya mengelincir dan menyesatkan manusia untuk masuk bersama-sama mereka di neraka yang pasti.

Selamat Tahun Baru 2012, Semoga Allah memelihara dan membersihkan hati kita yang menjadi wadah kepada ilmu dan roh sehingga berjaya menyinarkan nur kerohanian kepada akal dan menyinari alam dengan perwatakan dan pemikiran yang bercahaya baik dan berkebajikan. Amin! Amin Ya Allah……

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Kuala Lumpur 1.1.2012

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere