Perbedaan Pendapat dan Asas-Asas Sumber Pemikiran

Perbedaan Pendapat dan Asas-Asas Sumber Pemikiran

Perbedaan pendapat dalam Islam bukan suatu yang asing atau terhalang dengan syarat sumber rujuknya mestilah Al-Quran. Jika tiada maka dicari dari sumber hadis sahih dan jika tiada juga maka baru boleh digunakan ijtihad ulamak melalui kias dan pengajaran yang dekat tamsilnya dari hukum hakam sedia ada yang nyata bersumber dari al Quran jua. Seterusnya kias dan tamsil dari hadis dan kemudian yang terakhir barulah mengikut pendapat dan pemikiran yang telah menjadi adat dan kebiasaan atau pengamalan yang sudah diterima orang ramai dengan syarat adat kebiasaan itu mestilah tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum Allah iaitu syariat Islam.

Pada hakikatnya segala hukum dan panduan untuk kehidupan manusia dalam dunia ini telah sempurna dan telah tercatat dasar-dasar dan asasnya dalam Al Quran mahupun melalui sunnah Nabi SAW. Tuhan juga memberitahu melalui al Quran bahawa pengetahuan itu terdapat di alam ini bagi kemudahan dan kesenangan manusia jua . Hanya kedudukannya ada yang nyata dan ada yang terperingkat dan ada yang tersirat yang perlu pengkajian dan penyelidikan dan mengikut keperluan dan kesesuaian penerimaan dan keintelektualan manusia.

Dalam dunia ilmu, islam meletakkan orang yang berilmu itu sebagai pengganti nabi. Ilmu pula pada hakikatnya bersumber dari Allah Azawajallah sama ada yang negative atau positif. Allah mencipta segala sesuatu berpasang-pasangan. Manusia diberi kuasa ikhtiar untuk memilih ilmu yang mana yang dikehendaki. Ilmu atau pengetahuan adalah penuntun sesuatu perbuatan atau pekerjaan bagi memudahkan gerak dan gaya kehidupan. Perbuatan ini menjadi amalan dan apabila berlaku secara persetujuan kolektif maka jadilah ia sebagai adat kemudian budaya dan kebudayaan. Dalam perkataan lain, segala ilmu pengetahuan adalah dari Allah dan manusia diberi kuasa untuk bebas memilih dan mereka akan dipertanggungjawab terhadap amalan yang mereka pilih.

Disamping memberi kebebasan memilih, Allah memperingatkan manusia bahawa Allah mewajibkan diriNya mencintai kebaikan dan jika ilmu hitam atau sesuatu yang tidak baik dipilih menjadi amalan kerana memudahkan penghidupan walaupun buruk dan menzalimi disuatu pihak yang lain, natijahnya adalah kepada orang atau masyarakat itu sendiri sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Al Quran adalah sumber pembeda, sumber rujuk dan petunjuk yang disediakan oleh Maha Pencipta untuk manusia dalam mengharungi kehidupan di dunia gelap yang dicipta khas untuk manusia oleh Allah SWT. Tujuannya adalah bagi menguji manusia yang mana akan tunduk dan patuh dengan yang menderhaka, sesat mahupun lalai kepada Maha Pencipta.

Manusia dicipta sebagai makhluk yang menjadi contoh atau model kesempurnaan dan memegang amanah iaitu mengiakan keEsaan dan Ketuhanan Allah Yang Maha Agong. Tuntutan penyaksian ini tidak boleh berbelah bagi walau sebesar zarah pun. Inilah tauhid dan mereka yang bertauhid juga dikenali sebagai beraqidah. Tingkat tauhid atau aqidah ini tidak ada perbedaan makam. Ia mesti bulat dan tiada perbandingan. Ikatan kepercayaan dan keyakinan mesti jelas tanpa boleh tergugat dan mesti tersimpul mati. Cagaran atau pagar pelindungnya adalah nyawa kerana nyawalah yang paling berharga dalam diri manusia. Sehubungan itu hanya nyawa seharusnya dicagarkan kepada Maha Pencipta kerana segala-galanya adalah ciptaan dan milikNya.

Pemahaman untuk mengukuh kepercayaan dan keyakinan adalah bergantung kepada dapatan ilmu, kekuatan atau kesihatan tubuh badan di samping taufik dan hidayah dari Allah sendiri. Oleh kerana segala-galanya dari Allah, maka adalah wajar kita mohon segalannya dari Allah jua. Selebihnya hendaklah kita berusaha dan berikhtiar dan meletakkan ketentuannya ke hadhirat Allah. Allah sudah tentu memberi atau sebaliknya kepada semua insan meskipun ada yang tidak meminta kerana itu adalah hak Allah. Tetapi Allah juga bersifat Maha Halus dan Lembut dan Mengasihi hamba yang merendah diri dan redha kepada Allah. Keredhaan diri ini menentukan standard ketakwaan insan. Dan ketakwaan inilah yang dipandang Allah. Siapa yang paling takwa maka dialah yang paling hampir dan dikasihi Allah. Untuk merela dan meredhakan diri kepada tuhan, manusia mestilah mengenali tuhan itu sendiri.

Dalam insan atau diri setiap manusia, Allah telah fitrahkan bahawa setiap roh itu wujud dengan sifat hamba. Penyelewengan roh adalah disebabkan pelbagai factor. Faktor utama ialah tirai-tirai hijab hasil dari dapatan ilmu yang pelbagai menerusi penglihatan, pendengaran, perasaan, didikan ibubapa dan keluarga, pengaruh lingkungan, pendidikan dan pembelajaran formal dan juga ilham atau idea buah fikiran. Ilham ini pula terpengaruh dengan keperluan fizikal tubuh badan, kehendak nafsu dan juga bisikan jin dan syaitan disamping malaikat yang mengawasi. Letaknya ilmu pengetahuan ini sebenarnya bukanlah di kepala tetapi di lubuk hati. Hati pula adalah rumah kepada roh yang halus dan rahsia. Akal sebenarnya adalah wadah pembuat keputusan sebagai hakim yang mendengar, mengalisa dan mengolah untuk menghukum. Keputusan akal yang bertindak selaku hakim ini juga dipengaruhi oleh factor-faktor dapatan maklumat atau ilmu atau pengetahuan termasuk hasil dari kepercayaan dan kenyakinan dari pengalaman. Ilmu yang tidak baik, amalan buruk dan dosa-dosa mengapung dipermukaan hati sehingga menhijab sinar ilmu yang baik dan cahaya kebaikan daripada dapat mempengaruhi akal membuat keputusan yang baik.

Sehubungan dengan itu, untuk mendapat keputusan yang akhirnya akan menjadi perlakuan atau amalan tubuh badan atau insan sehingga dikenal sebagai perangai, kelakuan, karekter atau personality maka akal perlu dibekalkan dengan maklumat yang banyak dan terbaik. Panduan untuk mengangkat atau memajukan maklumat terbaik bagi mempengaruhi keputusan akal yang bertindak selaku hakim ini memerlukan petunjuk dari Maha Pencipta dan petunjuk ini kerap dirujuk sebagai petunjuk, kayu ukur, pembeda, kalam Tuhan dan itulah Al Quran yang penuh dengan keajaiban dan bermujizat .

Maka bukanlah kita manusia yang bijak atau berakhlak mahupun cerdik jika segala isu tidak kita rujuk dan cari dari petunjuk Allah. Sekiranya perbedaan pandapat kita berlaku tanpa merujuk terlebih dahulu pada Qalam Allah selaku petunjuk di dunia ciptaanNya ini maka akan jadilah kita sebagai hamba yang sesat kecuali pandangan kita yang masih berbeda kerana perbedaan pemahaman setelah menjadikan Al Quran sumber rujukan yang utama. Maka itu tuhan akui sebagai sebahagian dari kuasa dan rahmatNYa. Dan sebijak mana manusia jika hasil pemikiran atau pandangan dan pendapat yang dianggap bijak itu tidak bersumber dari Qalam Maha Pencipta atau tidak dirujuk bagi mendapatkan penjelasan dan kesempurnaan ilmu malah bercanggah pula dengan syariat Islam maka sia-sialah segalanya. Dan makhluk yang membudayakan pekerjaan yang sia-sia ialah syaitan yang sentiasa berusaha dengan sedaya upaya mengelincir dan menyesatkan manusia untuk masuk bersama-sama mereka di neraka yang pasti.

Selamat Tahun Baru 2012, Semoga Allah memelihara dan membersihkan hati kita yang menjadi wadah kepada ilmu dan roh sehingga berjaya menyinarkan nur kerohanian kepada akal dan menyinari alam dengan perwatakan dan pemikiran yang bercahaya baik dan berkebajikan. Amin! Amin Ya Allah……

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Kuala Lumpur 1.1.2012

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere