BERKAHWIN MEMBINA KELUARGA TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN

0 comments


BERKAHWIN MEMBINA KELUARGA TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN

Berkahwin , bernikah atau membina keluarga bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah. Ini kerana keluarga yang hendak dibina bukanlah untuk jangka pendik tetapi jangka panjang seumur hayat dan berterusan ke anak cucu. Islam memberi panduan agar memerhatikan calon pengantin itu dengan mengutamakan kefahaman kepada agama dahulu kemudian lihat keturunannya, kekayaan material dan akhir sekali kecantikan. Ini diperjelaskan dengan maksud hadis bahawa seseorang yang hendak berkahwin akan berhadapan dengan empat perkara iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan agama. Utamakan atau pilihlah yang faham agama kerana orang yang faham agama akan dapat membahgiakan.

 Ada pula hadis yang bermaksud kalau memilih pasangan hidup dengan memberi keutamaan pada kecantikan, kecantikan tidak kekal dan apabila kecantikan luntur maka penghinaan akan dihadapi. Begitu juga jika mengutamakan orang yang berada maka diri akan dipandang rendah sepanjang hayat perkahwinan kerana tidak berharta dan rendah maruah kerana tidak setaraf dan tidak dapat menandingi keluarga isteri atau suami dan keluarga mertua yang kaya. Jika mengutamakan keturunan yang mempunyai penghormatan biasanya jika diri kita dari kalangan bawahan maka memang payah untuk menandingi atau mengimbangi  status sosial kerana kedudukan kita tidak setaraf.

 Disebalik memerhati atau menyelidiki keturunan ini, tujuan  utamanya yang  tersirat ialah mengetahui  sama ada pasangan yang hendak dikahwini itu dari keturunan yang mempunyai penyakit yang diwarisi. Penyakit keturunan yang tidak digalakkan oleh baginda Rasulullah SAW untuk menikahi mereka ialah penyakit keturunan yang biasanya kronik dan mendatangkan aib keluarga iaitu penyakit gila, sopak, penyakit kulit yang berat hingga berupaya merubah sifat anggota fizikal dan keluarga yang mempunyai sejarah kefasikan yang melampau seperti membunuh, merogol, berzina serta menzalimi orang lain.

 Pada hari ini sains telah membuktikan bahawa amalan perlakuan jahat dalam sesebuah keluarga, dan yang pernah dan biasa melakukannya juga diwarisi secara genetik. Perbuatan seperti membunuh, berzina dan  perangai samseng adalah diwarisi secara genetik. Kecantikan juga sering menyebabkan sesebuah keluarga porak peranda. Ini berlaku  sama ada berpunca daripada perasaan riak mahupun datang fitnah kerana ramai yang terngior dan mudah berniat jahat untuk memuaskan nafsu.  Berbagai fitnah timbul berpunca daripada kecantikan.

Pilihan dan mengutamakan pasangan yang berpengetahuan agama adalah satu petunjuk yang menjamin kebahagiaan sesorang yang berumah tangga. Syarat utamanya ialah kedua pasangan faham kepada fitrah dan sama-sama memahami syariat Allah. Orang yang faham dan mengamalkan cara hidup beragama akan berjaya merungkai dan mengatasi segala masalah kehidupan dengan kadar pengetahuan dan kesalihan mereka. Ada hadis yang bermaksud jika seseorang yang ingin bernikah dan mendapati calonnya itu hitam atau tidak cantik, tidak berharta dan tidak berketurunan mulia tetapi adalah soleh dan faham agama maka itu adalah lebih baik daripada yang lain.

 Berikutan daripada banyaknya petunjuk yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW dalam hal mencari jodoh dan pasangan maka ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan panduan asas untuk membuat pilihan. Antaranya ialah mencari atau memilih yang berpengetahuan dan mengamalkan syariat agama, sekufu atau setaraf dan kedua pasangan hendaklah saling redha meredhai dan sentiasa tidak putus hubungan sirahturahim dengan keluarga atau manusia dan juga dengan Tuhan. Jika agama jadi pegangan maka amatlah beruntung bagi mereka yang juga memiliki ciri-ciri kecantikan, kekayaan dan dari keturunan baik-baik. Berikutan dari itu dalam budaya Melayu pernah suatu ketika dahulu jodoh anak akan diusahakan atau hanya dicarikan oleh orang tua mereka. Ini adalah kerana ibu bapa sangat memahami adab dan kelakuan anak-anak mereka dan mengetahui kedudukan taraf mereka dalam masyarakat. Boleh dikatakan keluarga yang terbina daripada hasil usaha kedua ibubapa atau datuk ini berpanjangan jodoh mereka hingga ke akhir hayat.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Putrajaya 2.3.2015
 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere