MELAYU DI PARLIMEN & WAWASAN

SELAMATKAN AGAMA KERANA AGAMA BERTAHAN SAMPAI KIAMAT

Di abad millennium atau 2k ini, segalanya kelihatan berjalan dan berubah dengan begitu pantas. Jika kita melihat kembali sedutan sejarah yang belum boleh dikatakan silam terhadap diri kita sendiri maka kita akan berasa dan yakin bahawa perubahan di dunia ini begitu cepat berlaku. Lihat sahaja teknologi televisyen. Ia hanya wujud di zaman Tun Sheikh kanak-kanak tetapi kini boleh di tonton hanya melalui telefon bimbit yang sebesar kotak mancis. Andaikata datuk Tun Sheikh yang meninggal pada tahun 1947 atau moyang yang meninggal dunia pada tahun 1921 dihidupkan semula ketika ini, Tun Sheikh dapat bayangkan bagaimana sugul dan kemangguan datuk dan moyang kerana bingung bagaimana untuk menjalani hidup ini berdasarkan ilmu dan pengalaman pakej usia kehidupan mereka.

Di Parlimen Malaysia pada hari ini kita melihat pemimpin kontemporari Melayu masih gagal melakar halatuju Melayu dengan wawasan-wawasan konsevasi dan prisevasi atau memastikan pemeliharaan dan kesinambungan kebudayaan Melayu yang bernilai sejagat agar terus terpelihara dan tidak diganggu gugat. Ini adalah kerana mereka masih sibuk berusaha mencari pengukuhan pengaruh kuasa walau telah lebih 50 tahun berkuasa atau memerintah. Hal ini mengggambarkan bahawa kuasa domain Melayu sebenarnya belum ujud atau belum berjaya diistimewakan berdasarkan tuntunan perlembagaan negara.

Pemimpin-pemimpin Melayu pada hakikatnya samada tidak ada keyakinan diri untuk menunjukkan kuasa keistimewaan Melayu atau mewarisi sikap tolenrensi Melayu yang boleh dianggap ekstrim kerana masih boleh tolerate meskipun orang asing atau tetamu telah menjengok ke dalam kelambu.

Tanpa sadar sebenarnya kebudayaan dan hak milik Melayu sedang ke arah kepupusan. Ini adalah kerana perubahan global yang menerjah minda tanpa had dan sempadan akan mengarah kepada kepupusan itu sendiri.Sehubungan dengan itu minda kesukuan terhadap negara seperti Malaysia yang terdiri pelbagai kaum dan membuka fahaman kesamarataan atau satu bangsa atau 1 Malaysia akan menghapus hak keistimewaan itu sendiri.

Negara ini kelihatannya tidak akan berjaya menonjolkan hak orang Melayu yang mengaku tanah air ini adalah miliknya. Sejarah memang boleh membuktikan fakta kebenarannya tetapi perkembangan semasa, perkembangan kemajuan dan pembangunan fizikal, perkembangan tamadun dan falsafah dan perkembangan budaya globalisasi akan membayangi dan menghapuskannya. Hal ini adalah kerana setelah lebih 50 tahun memerintah, pemimpin Melayu gagal menonjolkan kewibawaan dan jati diri Melayunya yang asli. Kegagalan mereka juga bersebab dan penyebab utama sekali ialah tidak ada kesedaran untuk menguasai ekonomi sebaliknya hanya berpuashati memerintah dengan hasil subsidi ekonomi yang tidak dikuasai.

Ketika ini bahang dan kuasa ekonomi yang dimonopoli oleh bukan Melayu telah mula menunjukkan pengaruh amat besar. Lambat laun Melayu akan pupus dan kalau pun tidak pupus, Melayu akan hanya hidup begeledangan tanpa kuasa dan pengaruh lagi. Orang Melayu hanya akan berbangga apabila mendengar sejarah negara dan kebudayaan Melayu sahaja tetapi tidak bermaya untuk bergerak memainkan peranan penting kerana tiada kuasa ekonomi.

Ketika itu orang Melayu yang berjaya ialah orang Melayu yang malu mengaku Melayu. Mereka adalah orang Melayu yang menerima budaya baru dan berfikiran yang dianggap terbuka dapat menerima kebudayaan apa sekalipun asal mudah dan selesa dan bebas diamalkan. Hal ini benar-benar akan terjadi kerana negara ini terdiri dari pelbagai kaum dan memiliki hak kesamarataan yang telah mula dituntut dan ditonjolkan oleh mereka yang telah lama sadar dan tahu kesempatan ini mesti tidak diabaikan.

Melayu hanya tinggal nama bukan kerana pertumpahan darah atau kena sembelih tetapi kerana dilupuskan perkembangan tamadun globalisasi dan negara ini tidak akan dapat bertahan sebagai milik dan dikuasai Melayu kerana penghuninya adalah dari pelbagai kaum dan memiliki sama hak keistimewaan.

Terdapat dua aliran arus perdana yang dapat diikuti oleh bangsa Melayu. Satu aliran budaya baru akan menghapuskan budaya bangsa Melayu itu sendiri dan satu lagi diperkirakan akan dapat mengekalkan keistimewaan bangsa Melayu di tanahairnya sendiri iaitu mengikut aliran perdana agama turun termurun orang Melayu iaitu Islam. Di sini dan pada hari inilah seharusnya pemimpin-pemimpin Melayu bekerja keras memeras akal fikiran bagaimana untuk menyelamatkan bangsa Melayu di bawah ikon agama kerana samada suka atau tidak kuasa Melayu akan lupus jika terus diperjuangkan di bawah ikon kesukuan. Bersambung.......

Oleh Tun Sheikh dari sebahagian minda mengenai Wawasan Melayu dalam bukunya yang belum terbit.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere