FALSAFAH TRANSFORMASI NASIONAL MALAYSIA

FALSAFAH TRANSFORMASI NASIONAL RAKYAT MALAYSIA


Transformasi daripada perkataan Inggeris yang bererti berubah. Tetapi apabila transformasi digunapakai sebagai perkataan Melayu kontemporari, ia lebih membawa maksud sebagai peristilahan iaitu maksud berubah secara lebih meluas dan terbuka. Dengan perkataan lain, transformasi bermaksud perubahan total atau perubahan seluruhnya termasuk bentuk, sifat, sikap, minda, keadaan dan sebagainya. Jika ditelek dengan mendalam, pejuang dan falsafah bahasa akan merasakan penggunaan perkataan transformasi ini oleh kerajaan adalah sebagai gimik atau retorik saja. Ini adalah kerana istilah transformasi tidak boleh menjadi kenyataan jika segala asas dan dasar acuan dalam segenap bidang tidak dirancang dan disediakan dengan teliti terlebih dahulu. Perkataan yang sesuai kepada pemakaian perkataan itu ialah reformasi. Tetapi semua mengetahui bahawa istilah reformasi telah menjadi ikon kepada perjuangan parti pembangkang.

Walau bagaimanapun idea mahupun kempen kerajaan untuk transform ini adalah amat baik. Sayangnya segala asas dan dasar serta acuan yang telah disediakan oleh mantan-mantan Perdana Menteri dahulu seolah-olah tidak diteruskan dan tiada kesinambungan mahupun dianggap releven. Contohnya di era YM Tunku Abd Rahman, melalui semangat kemerdekaan dan bersatu seolah-olah tidak diteruskan oleh Tun Razak yang dianggap kemelayuan. Dasar Tun Razak terhadap pendidikan kebangsaan pula tidak menjadi dasar dalam kepimpinan Tun Hussein Onn dan dasar Tun Hussein mengenai perpaduan dan keadilan tidak berterusan ditekan. Sebaliknya di era Tun Mahathir lebih kepada perindustrian dan penswastaan. Di era Tun Abdullah pula, Islam Hadhari dan ketika ini 1 Malaysia dan transformasi sedang diuar-uarkan.

Semua idea dan dasar-dasar yang diperkenalkan berjaya menjadi ikon kepada perdana menteri tetapi amat dikesalkan kerana idea dan dasar yang baik itu seolah-olah tidak berterusan setelah perlantikan perdana menteri baru. Selogan dan retorika yang berjaya mengubah paradigma minda rakyat Malaysia iaitu ‘Malaysia Boleh’ contohnya sudah tidak kedengaran lagi. Pada hal ia mempunyai daya proaktif yang kuat dan menusuk jiwa kepada sesiapa yang menghayatinya. Untuk mencipta sesuatu slogan dan menjadikan ikon kepada tokoh yang mengilham dan menyuarakannya bukanlah suatu perkara yang mudah dan murah tetapi sudah menjadi trend, kepimpinan kontemporari berusaha menonjolkan kewibawaan diri dengan sesuatu yang baru tanpa memandang jauh manfaat dan kebaikan dasar-dasar dari mantan pemimpin sebelumnya. Akibat dari itu target sesuatu pencapaian tidak dicapai dan tidak mantap meskipun pengalaman memerintah bertambah tua.

Pengertian dan kefahaman terhadap transformasi yang sedang diuar-uarkan seiring dengan 1 Malaysia adalah sangat baik dan menarik tetapi adalah dijangkakan input dan infaknya kurang tirus dan berjaya kerana ia bersifat kompleks dan meluas. Maka tidak hairanlah apabila ia dijuruskan kepada suatu gambaran pengistilahan yang menjurus kepada ekonomi dan taraf hidup yang diimpi-impikan. Meskipun transformasi tidak bermaksud hanya dalam bidang ekonomi tetapi sebaliknya merangkumi sebagaimana maksud perkataan itu sendiri iaitu perubahan dalam segala bentuk, keadaan, rupa dan sifat dan lain-lain, ia kelihatan seolah-olah boleh direalitikan. Sebenarnya ia juga akan menjadi retorika kerana persiapan dasar dan acuannya tidak disediakan dengan kukuh. Apa yang kelihatan dipentingkan adalah nama-nama tokoh yang mempopularkannya saja tanpa mempedulikan jumlah wang besar yang telah dibelanjakan.

Sebagai contoh, kerajaan berasa yakin bahawa usaha meningkatkan pendapatan purata per kapita rakyat Malaysia pada tahun 2020 adalah diantara RM15,000.00 – RM25,000.00 sebulan berbanding RM3,500.00 sekarang. Dengan jumlah pendapatan sebegitu, adalah dijangka rakyat akan bertambah mewah dan mempunyai kuasa beli yang tinggi sehingga mampu membeli atau menggunakan barangan dan perkhidmatan yang bermutu tinggi. Dengan sekali pandang memanglah gambaran itu diyakini dan mengundang kegembiraan. Target atau kejayaan yang dicapai itu menunjukkan transformasi dari berpendapatan rendah kepada berpendapatan tinggi. Tetapi jika dibuat atau dilaksanakan seperti sekarang tanpa acuan dan penelitian yang jitu maka gambaran yang terlihat itu pada hakikatnya adalah fatamorgana.

Mengikut teori ekonomi terutamanya teori pasaran dan permintaan, maka transformasi yang dibayangkan itu adalah ilusi saja kerana ia tidak tepat. Lebih-lebih kebiasaan dan pengamalan dalam dasar perdagangan kapitalisma, hal itu tidak akan terjadi. Ini adalah kerana semakin tinggi atau bertambahnya keupayaan kuasa beli, maka semakin besar kuasa dan kebolehan membeli dan akan mengakibatkan permintaan melebihi penawaran. Apabila ini berlaku maka akan berlaku kenaikan harga atau inflasi. Dalam perkataan lain kuasa beli akan menirus atau menjadi kecil kerana nilainya bertambah rendah. Jadi kuasa beli yang dikatakan akan dinikmati oleh mereka yang tinggi pendapatan secara purata tidak akan menjamin mewah dan boleh menikmati barang yang lebih berkualiti dan dengan harga yang tinggi. Hal ini ketika ini mungkin terlepas pandang diteliti oleh pihak kerajaan.

Dalam teori ekonomi juga secara sentrik dan mathematik, pengeluaran wang atau pengagihan wang keluar ke negara asing bukanlah suatu yang baik. Apabila rakyat banyak membeli barangan mahupun perkhidmatan yang diimport dari luar, ini bermakna aliran tunai akan keluar dan tidak bermanfaat dalam negara bagi memainkan peranan melajukan pusingan wang tunai atau pencairan wang. Apabila hal ini berlaku kuasa beli akan juga menirus kerana kebergantungan dengan aliran wang dalaman yang lembab. Nilai kewangan akan jatuh dan ini sedang berlaku ketika ini kerana banyak pekerja asing bekerja di sini, menghantar keluar wang dan pergantungan barangan import menyebabkan negara ini tidak dapat mengawal kenaikan harga hingga menyebabkan inflasi dan kuasa beli mengecil.

Pada waktu yang sama kerajaan hanya mengharap kepada hasil sumber bahan mentah seperti petroleum dan hasil pelancongan. Petroleum memang boleh disukat secara makro dan mikro tetapi pelancongan adalah abstrak dan anggaran kasar sahaja. Usaha pengukuhan dan memperkasa diri dalam perusahan tempatan dalam segala bidang samada pertanian dan perindustrian belum mencapai tahap selaku pengekspot utama dunia yang membawa masuk wang dan pertukaran asing. Sehubungan itu, lebih-lebih lagi tiada kawalan harga sebelum membuat kempen transformasi kenaikan pendapatan , adalah dipercayai bahawa angkatunjuk penambahan pendapatan sebenarnya tidak bererti. Ini adalah kerana tanpa kawalan dan ikatan harga barang, harga akan ikut melambung sebagaimana penjelasan teori ekonomi.


Maka keadaan sosial rakyat tetap tiada peningkatan malah merosot. Gambaran yang mudah, dapat dilihat dan boleh dikaji pada tahun-tahun 1950-an hingga 1960-an di mana kuasa beli rakyat negara ini adalah lebih baik daripada Korea, Singapura, India, Pakistan dan lain-lain kerana nilai kewangan negara adalah tinggi. Contoh mudah yang dapat dibuat perbandingkan dan direnungkan ialah gaji seorang guru atau seorang kerani lulusan SPM ketika itu lebih dari mencukupi untuk menyara sebuah keluarga yang besar, mampu memiliki kereta berjenama baik, mampun menabung, mampu melancung malah masih tersisa untuk simpanan kecemasan dan untuk hari tua.

Adakah transformasi pendapatan boleh dikira berjaya jika anak bujang kita pada tahun 2020 nanti bergaji Rm 10,000.00 sebulan tetapi hanya mampu hidup dan menyara diri sendiri dan terpaksa menyewa rumah keranda sebagaimana di Jepun? Pergi ke tempat kerja hanya menggunakan kenderaan awam dan terpaksa pula memiliki dua-tiga ijazah kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan. Hal ini berlaku gara-gara tiada kawalan dan ikatan atau tambatan harga barangan dan desakan kenaikan harga barangan import yang dihadapi oleh negara matahari terbit itu kerana dipaksakan kepadanya akibat lambakan barangan Jepun dinunia antarabangsa……..


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere