ISU AGAMA BONGKAR KEJAHILAN & KECURANGAN UMNO?

ISU AGAMA MEMBONGKAR KEJAHILAN DAN KECURANGAN UMNO?
Mengintai Falsafah Politik Melayu BN Kontemporari


Jika rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam dan tentunya majoriti beragama Islam itu ialah orang Melayu, maka UMNO bukanlah wadah atau parti politik yang memperjuangkan Islam. UMNO tidak pernah mencita-citakan syariat Islam itu sebagai amalan cara hidup harian atau akan menjadikan Islam sebagai rujukan hukum untuk sebuah Negara bangsa yang bernama Malaysia. UMNO hanya mengakui bahawa agama Islam adalah agama rasmi mengikut perlembagaan tetapi tidak terikat untuk menjadikan syariat Islam sebagai perundangan Negara.

Beberapa isu yang banyak membuka mata rakyat seperti mendoakan bukan Islam supaya mendapat taufik dan hidayah, menerima Islam dan menganut Islam, membenarkan bukan Islam memberi ucapan rasmi pentadbiran di dalam masjid, menggalakkan pemimpin bukan Islam menggunakan petikan hadis dan pengertian sesuatu ayat quran ketika berucap mahupun menjadikan rujukan pentadbiran telah menjadi isu yang sangat sensitif kepada pemimpin-pemimpin Melayu UMNO dan pengikut fanatik mereka. Rakyat yang beragama Islam pada mulanya menyebelahi mereka tetapi apabila setelah dirujuk kepada ahli yang arif dalam agama, mereka berasa sesal seolah-olah selama ini mereka terpesong dari kefahaman beragama. Akhirnya seperti malu alah kucing mereka sebanyak sedikit terasa tertipu angkara siasah atau politik perkauman yang dieksploitasikan oleh UMNO yang berkuasa.

Pemimpin Melayu UMNO telah sedaya upaya meyakinkan pengikut mereka bahawa pemimpin parti pembangkang yang bukan Islam telah mencemar kesucian agama Islam kerana membuat perkara yang tidak pernah dibuat oleh pemimpin-pemimpin Melayu UMNO dan menuduh pemimpin Parti Islam (PAS) sanggup menjual agama kerana kepentingan diri berparti. Ternyata setelah dirujuk dan dikaji dengan halus, adalah sangat memeranjatkan bahawa kepimpinan parti Islam bukanlah menjual agama tetapi sebenarnya memang itu adalah hakikat sebenar dalam Islam yang memberi tempat dan membuka kebebesan kepada manusia untuk menggunakan panduan dan petunjuk Islam meskipun mereka belum menganuti Islam.

Apa yang memeranjatkan ialah perilaku dan amalan orang Melayu selama ini disangka bersumberkan agama Islam rupa-rupanya hanyalah hasil sebuah budaya atau adat resam. Bertambah gawat apabila rakyat kini mengetahui bahawa pemimpin-peminpin mereka banyak yang tidak dapat membezakan antara kehendak agama dan amalan kebudayaan Melayu.

Oleh kerana UMNO dan BN berkuasa, isu yang sengaja disensitifkan oleh mereka ini segera dimatikan kerana bimbang tipu daya mereka akan memakan tubuh sendiri. Semua mekanisma informasi, media rasmi dan swasta yang dikuasai mereka diarah menutup polimik berkaitan. Isu-isu lain pula dicipta dan diuar-uarkan sebagai isu utama untuk mempengaruhi minda rakyat. Isu liwat sengaja menjadi berita utama dan begitu juga isu-isu pentadbiran negeri yang dikuasai pembangkang yang boleh mencemar imej bersih parti pembangkang.

Ironinya, parti pemerintah, BN atau kerajaan sebenarnya cekap menghidu kekurangan sendiri tetapi sengaja menyapunya ke bawah tikar dan dengan rasa kesombongan terus menekan minda rakyat supaya mengikut dan terpengaruh dengan aliran pemikiran perdana mereka. Hal ini sebenarnya seperti menyimpan kotoran atau simpanan sampah yang disembunyikan dan pada suatu hari nanti, sampah ini akan tetap membusuk dan meloyakan.

Rakyat pada keseluruhannya telah mula sedar dan faham bahawa BN memang hebat dan kuat. Tetapi kecurangan kerana mabuk kuasa dan kelalaian memastikan etika pengurusan tidak terkeluar dari trek etika diri yang tinggi sebenarnya telah memerangkap kerajaan sehingga terjerumus ke jurang penyelewengan. Kesombongan pula adalah lumrah kepada pihak berkuasa yang mengamal etika buruk dan hina bagi menutup keaiban diri.

Menelek waktu dan zaman, maka orang Melayu sebenarnya masih belum terlambat untuk berbalik ke pangkal jalan. Usaha ke arah memperbaiki diri hanya berkesan dengan adanya kesadaran, kuasa, kewangan dan acuan maruah sejarah bangsa. Ini semua masih dimiliki Melayu UMNO. Harapan rakyat agar UMNO yang berkuasa dan disayangi ini akan cepat berubah serta mengangkat nilai-nilai murni Melayu dengan seberapa segera.
Tiada cara lain jika ingin cepat mendapat impaknya adalah dengan mencari kesamaan keseluruhan yang dimiliki bangsa Melayu.

Apabila ditelek secara rambang mahupun secara perincian ilmiah maka tidak dinafikan bahawa kesamaan kesatuan bangsa Melayu terletak pada anutan agama mereka iaitu Islam. Islam pula dengan sangat gah memacu kesempurnaan pemikiran segala bangsa yang bernama manusia. Tidak kira warna kulit dan bangsa keturunan, kepada sesiapa yang suka mengambil syariatnya sebagai amalan hidup seharian maka mereka akan mendapati mereka berada dalam aura kesempurnaan dan keselamatan universal.

Sehubungan itu, apalah yang ditunggu lagi oleh kepimpinan semua bangsa Melayu khususnya di Malaysia yang bertuah ini? Bukankah Islam itu akan menjamin perpaduan bukan sahaja kepada penganutnya tetapi juga kepada manusia yang rela bernaung di bawahnya. Berkorbanlah segera meninggalkan falsafah pemikiran adat akal manusia. UMNO akan berhijrah ke mercu gemilang, cemerlang dan terbilang jika sanggup berparadigma secara ekstrim memacu kuasa dengan syariat Islam. Islam adalah anutan agama sebuah bangsa kontemporari yang bernama Melayu.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere