BERKAHWIN MEMBINA KELUARGA TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN
Berkahwin , bernikah atau membina
keluarga bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah. Ini kerana keluarga
yang hendak dibina bukanlah untuk jangka pendik tetapi jangka panjang seumur
hayat dan berterusan ke anak cucu. Islam memberi panduan agar memerhatikan
calon pengantin itu dengan mengutamakan kefahaman kepada agama dahulu kemudian
lihat keturunannya, kekayaan material dan akhir sekali kecantikan. Ini
diperjelaskan dengan maksud hadis bahawa seseorang yang hendak berkahwin akan
berhadapan dengan empat perkara iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan
agama. Utamakan atau pilihlah yang faham agama kerana orang yang faham agama
akan dapat membahgiakan.
Ada pula hadis yang bermaksud kalau memilih pasangan
hidup dengan memberi keutamaan pada kecantikan, kecantikan tidak kekal dan apabila
kecantikan luntur maka penghinaan akan dihadapi. Begitu juga jika mengutamakan
orang yang berada maka diri akan dipandang rendah sepanjang hayat perkahwinan
kerana tidak berharta dan rendah maruah kerana tidak setaraf dan tidak dapat
menandingi keluarga isteri atau suami dan keluarga mertua yang kaya. Jika
mengutamakan keturunan yang mempunyai penghormatan biasanya jika diri kita dari
kalangan bawahan maka memang payah untuk menandingi atau mengimbangi status sosial kerana kedudukan kita tidak
setaraf.
Disebalik memerhati atau menyelidiki keturunan
ini, tujuan utamanya yang tersirat ialah mengetahui sama ada pasangan yang hendak dikahwini itu
dari keturunan yang mempunyai penyakit yang diwarisi. Penyakit keturunan yang
tidak digalakkan oleh baginda Rasulullah SAW untuk menikahi mereka ialah
penyakit keturunan yang biasanya kronik dan mendatangkan aib keluarga iaitu
penyakit gila, sopak, penyakit kulit yang berat hingga berupaya merubah sifat
anggota fizikal dan keluarga yang mempunyai sejarah kefasikan yang melampau
seperti membunuh, merogol, berzina serta menzalimi orang lain.
Pada hari ini sains telah membuktikan bahawa amalan
perlakuan jahat dalam sesebuah keluarga, dan yang pernah dan biasa melakukannya
juga diwarisi secara genetik. Perbuatan seperti membunuh, berzina dan perangai samseng adalah diwarisi secara
genetik. Kecantikan juga sering menyebabkan sesebuah keluarga porak peranda. Ini
berlaku sama ada berpunca daripada perasaan
riak mahupun datang fitnah kerana ramai yang terngior dan mudah berniat jahat
untuk memuaskan nafsu. Berbagai fitnah
timbul berpunca daripada kecantikan.
Pilihan dan mengutamakan pasangan
yang berpengetahuan agama adalah satu petunjuk yang menjamin kebahagiaan sesorang
yang berumah tangga. Syarat utamanya ialah kedua pasangan faham kepada fitrah
dan sama-sama memahami syariat Allah. Orang yang faham dan mengamalkan cara
hidup beragama akan berjaya merungkai dan mengatasi segala masalah kehidupan
dengan kadar pengetahuan dan kesalihan mereka. Ada hadis yang bermaksud jika
seseorang yang ingin bernikah dan mendapati calonnya itu hitam atau tidak
cantik, tidak berharta dan tidak berketurunan mulia tetapi adalah soleh dan
faham agama maka itu adalah lebih baik daripada yang lain.
Berikutan daripada banyaknya petunjuk yang
disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW dalam hal mencari jodoh dan pasangan
maka ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan panduan asas untuk membuat
pilihan. Antaranya ialah mencari atau memilih yang berpengetahuan dan
mengamalkan syariat agama, sekufu atau setaraf dan kedua pasangan hendaklah
saling redha meredhai dan sentiasa tidak putus hubungan sirahturahim dengan
keluarga atau manusia dan juga dengan Tuhan. Jika agama jadi pegangan maka
amatlah beruntung bagi mereka yang juga memiliki ciri-ciri kecantikan, kekayaan
dan dari keturunan baik-baik. Berikutan dari itu dalam budaya Melayu pernah
suatu ketika dahulu jodoh anak akan diusahakan atau hanya dicarikan oleh orang
tua mereka. Ini adalah kerana ibu bapa sangat memahami adab dan kelakuan
anak-anak mereka dan mengetahui kedudukan taraf mereka dalam masyarakat. Boleh
dikatakan keluarga yang terbina daripada hasil usaha kedua ibubapa atau datuk
ini berpanjangan jodoh mereka hingga ke akhir hayat.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Putrajaya 2.3.2015