MALAYSIA BANJIR 2014 – ANTARA MANGSA, PENYELAMAT, PEMERINTAH DAN PEMERHATI



MALAYSIA BANJIR 2014 – ANTARA MANGSA, PENYELAMAT, PEMERINTAH DAN PEMERHATI


Pada malam tahun baru Tun Sheikh terenung malu. Tahun 2014 meningalkan kita dengan pelbagai peristiwa hikmah besar. Masa tetap berlalu begitu pantas. Tahun 2015 datang dengan bala peringatan. Banjir berlaku dengan buruk di Kelantan, Trengganu, Pahang dan Perak.  Masih ada lagi otak lojik menafikannya sebagai bala kecuali perkara biasa diakibatkan faktor cuaca, manusia dan alam. Dulu kita fikir hanya orang kafir sahaja berfikiran begini. Tetapi sekarang jika kita tidak berhati-hati dan sentiasa waspada,  boleh terkena menjadi penyakit hati kita sendiri. Puncanya ialah kerana otak kita telah dilatih dengan kemewahan sejak kecil tanpa ilmu kerohanian beragama. Kita jahil dengan peringatan dan petunjuk Tuhan.

Orang beriman taklid atau nipis iman juga tercabar. Terhairan-hairan dan tertanya-tanya mengapa banjir berlaku di tempat ramai pengamal atau pejuang agama. Kalau tidak pun tempat orang yang berfikiran agama, kerana itu adalah tempat ramai berdakwah sama ada pendidikan, sosial atau politik yang cenderung pada agama. Mereka bingung dan mungkin ada yang mengatakan Tuhan macam tidak adil atau tidak ambil kisah . Sampai hati Tuhan datangkan bala kepada mereka. Manakala musuh Allah yang nyata dan gaib di dunia bersukaria. Dendam kesumat seperti terbela. Sakit hati dengan penyokong agama seperti terbayar. Di luar saja tunjuk simpati tetapi di dalam hati suka mengatakan padan muka.

 Orang-orang yang tebal beriman tetap berasa syukur. Mereka tahu dengan pasti ini adalah kuasa Allah. Pasti ada hikmah dan nikmat. Hal sebegini memang tidak terfikir oleh daya akal fikiran manusia yang lemah tentang akhirat. Manusia dunia memang tidak dapat merasakan bencana sebagai ketentuan Allah. Pelbagai peringatan sama ada sebagai ancaman, dugaan mahupun pembersihan. Segala-galanya adalah dalam pengetahuan dan perancanganNya. Orang yang tebal iman tidak akan mengeluh dengan takdir kerana sudah acapkali diperingatkan kepada mereka. Mereka nampak Allah lebih mencintai mereka dengan dugaan dan bencana seperti ini. Mereka telah lama yakin dan berasa tenang  apabila Allah turunkan bencana,  semua akan merasainya tidak kira miskin atau kaya, bijak atau jahil, beriman atau kafir.

 Mereka yakin pada ketika  hari kiamat berlaku, keadaan adalah lebih dahsyat lagi.  Ketika orang mengangkat kain sehingga paras peha untuk melarikan diri entah ke mana kerana takut kepada kemarahan dunia. Ketika janin atau bayi gugur dari rahim ibu yang mengandung  dan ketika orang berporak peranda seperti manusia gila. Perkara sebegitu telah diperingatkan kepada orang yang beriman. Tidak perlu gusar kerana itu semua adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Tuhan. Yang membuat diri takut dan terancam ialah kerana tidak ada bekalan ilmu, amal dan ibadah ketuhanan. Terlalu sibuk dengan kehidupan dunia. Apabila sudah biasa dengan nikmat kesenangan, maka telah lupa pada penderitaan. Telah lupa pada kuasa gaib Yang Maha Agong. Telah terlalu biasa dengan kebolehan dan keupayaan diri sendiri maka jika tidak diperingatkan dengan bencana yang tidak terlawan dengan kudrat manusia maka sudah tentu penyakit sombong pula akan bermaharaja menguasai diri.

 Lihat sahaja bagaimana ada mangsa yang tidak mahu menerima pemberian bantuan ikhlas dari orang yang simpati. Mereka menolak pakaian bekas. Siapakah yang mengajar mereka begitu memilih? Atau tiadakah manusia yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir itu mengetahui bahawa lautan itu masin dan jangan ditaburi garam? Atau benarkah mereka hanya mahu yang baru dalam bungkusan atau yang masih dalam plastic pameran. Mereka telah lupa bahawa ada diantara penderma juga adalah orang susah atau orang miskin yang berjiwa besar. Mereka lupa bahawa Allah tidak melihat barangan yang diberi atau disedekahkan. Tetapi Allah menilai ketulusan hati dan mengikut kemampuan mereka. Tidak ada ertinya jika simiskin menderma apa yang tidak dalam kemampuan mereka. Tidak ada ertinya kalau mereka menderma sehingga memberi kesusahan kepada diri sendiri. Tiada ertinya jika seseorang itu menderma tetapi penyakit di hati tidak turut pergi. Tiada ertinya jika sikaya hanya menderma seringgit. Dan…..
TIADA ERTINYA JIKA PADA SUATU KETIKA NANTI TERLALU BANYAK BARANGAN YANG DISEDEKAH TETAPI TIADA PENERIMA ATAU SIMISKIN MENOLAK PEMBERIAN.
 Itulah tanda sebesar musibah. Dunia akan kembali kepada Allah dengan kiamat kubra!

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sg Long, Kajang 1.1.2015

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere