ISU AGAMA BONGKAR KEJAHILAN & KECURANGAN UMNO?

0 comments
ISU AGAMA MEMBONGKAR KEJAHILAN DAN KECURANGAN UMNO?
Mengintai Falsafah Politik Melayu BN Kontemporari


Jika rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam dan tentunya majoriti beragama Islam itu ialah orang Melayu, maka UMNO bukanlah wadah atau parti politik yang memperjuangkan Islam. UMNO tidak pernah mencita-citakan syariat Islam itu sebagai amalan cara hidup harian atau akan menjadikan Islam sebagai rujukan hukum untuk sebuah Negara bangsa yang bernama Malaysia. UMNO hanya mengakui bahawa agama Islam adalah agama rasmi mengikut perlembagaan tetapi tidak terikat untuk menjadikan syariat Islam sebagai perundangan Negara.

Beberapa isu yang banyak membuka mata rakyat seperti mendoakan bukan Islam supaya mendapat taufik dan hidayah, menerima Islam dan menganut Islam, membenarkan bukan Islam memberi ucapan rasmi pentadbiran di dalam masjid, menggalakkan pemimpin bukan Islam menggunakan petikan hadis dan pengertian sesuatu ayat quran ketika berucap mahupun menjadikan rujukan pentadbiran telah menjadi isu yang sangat sensitif kepada pemimpin-pemimpin Melayu UMNO dan pengikut fanatik mereka. Rakyat yang beragama Islam pada mulanya menyebelahi mereka tetapi apabila setelah dirujuk kepada ahli yang arif dalam agama, mereka berasa sesal seolah-olah selama ini mereka terpesong dari kefahaman beragama. Akhirnya seperti malu alah kucing mereka sebanyak sedikit terasa tertipu angkara siasah atau politik perkauman yang dieksploitasikan oleh UMNO yang berkuasa.

Pemimpin Melayu UMNO telah sedaya upaya meyakinkan pengikut mereka bahawa pemimpin parti pembangkang yang bukan Islam telah mencemar kesucian agama Islam kerana membuat perkara yang tidak pernah dibuat oleh pemimpin-pemimpin Melayu UMNO dan menuduh pemimpin Parti Islam (PAS) sanggup menjual agama kerana kepentingan diri berparti. Ternyata setelah dirujuk dan dikaji dengan halus, adalah sangat memeranjatkan bahawa kepimpinan parti Islam bukanlah menjual agama tetapi sebenarnya memang itu adalah hakikat sebenar dalam Islam yang memberi tempat dan membuka kebebesan kepada manusia untuk menggunakan panduan dan petunjuk Islam meskipun mereka belum menganuti Islam.

Apa yang memeranjatkan ialah perilaku dan amalan orang Melayu selama ini disangka bersumberkan agama Islam rupa-rupanya hanyalah hasil sebuah budaya atau adat resam. Bertambah gawat apabila rakyat kini mengetahui bahawa pemimpin-peminpin mereka banyak yang tidak dapat membezakan antara kehendak agama dan amalan kebudayaan Melayu.

Oleh kerana UMNO dan BN berkuasa, isu yang sengaja disensitifkan oleh mereka ini segera dimatikan kerana bimbang tipu daya mereka akan memakan tubuh sendiri. Semua mekanisma informasi, media rasmi dan swasta yang dikuasai mereka diarah menutup polimik berkaitan. Isu-isu lain pula dicipta dan diuar-uarkan sebagai isu utama untuk mempengaruhi minda rakyat. Isu liwat sengaja menjadi berita utama dan begitu juga isu-isu pentadbiran negeri yang dikuasai pembangkang yang boleh mencemar imej bersih parti pembangkang.

Ironinya, parti pemerintah, BN atau kerajaan sebenarnya cekap menghidu kekurangan sendiri tetapi sengaja menyapunya ke bawah tikar dan dengan rasa kesombongan terus menekan minda rakyat supaya mengikut dan terpengaruh dengan aliran pemikiran perdana mereka. Hal ini sebenarnya seperti menyimpan kotoran atau simpanan sampah yang disembunyikan dan pada suatu hari nanti, sampah ini akan tetap membusuk dan meloyakan.

Rakyat pada keseluruhannya telah mula sedar dan faham bahawa BN memang hebat dan kuat. Tetapi kecurangan kerana mabuk kuasa dan kelalaian memastikan etika pengurusan tidak terkeluar dari trek etika diri yang tinggi sebenarnya telah memerangkap kerajaan sehingga terjerumus ke jurang penyelewengan. Kesombongan pula adalah lumrah kepada pihak berkuasa yang mengamal etika buruk dan hina bagi menutup keaiban diri.

Menelek waktu dan zaman, maka orang Melayu sebenarnya masih belum terlambat untuk berbalik ke pangkal jalan. Usaha ke arah memperbaiki diri hanya berkesan dengan adanya kesadaran, kuasa, kewangan dan acuan maruah sejarah bangsa. Ini semua masih dimiliki Melayu UMNO. Harapan rakyat agar UMNO yang berkuasa dan disayangi ini akan cepat berubah serta mengangkat nilai-nilai murni Melayu dengan seberapa segera.
Tiada cara lain jika ingin cepat mendapat impaknya adalah dengan mencari kesamaan keseluruhan yang dimiliki bangsa Melayu.

Apabila ditelek secara rambang mahupun secara perincian ilmiah maka tidak dinafikan bahawa kesamaan kesatuan bangsa Melayu terletak pada anutan agama mereka iaitu Islam. Islam pula dengan sangat gah memacu kesempurnaan pemikiran segala bangsa yang bernama manusia. Tidak kira warna kulit dan bangsa keturunan, kepada sesiapa yang suka mengambil syariatnya sebagai amalan hidup seharian maka mereka akan mendapati mereka berada dalam aura kesempurnaan dan keselamatan universal.

Sehubungan itu, apalah yang ditunggu lagi oleh kepimpinan semua bangsa Melayu khususnya di Malaysia yang bertuah ini? Bukankah Islam itu akan menjamin perpaduan bukan sahaja kepada penganutnya tetapi juga kepada manusia yang rela bernaung di bawahnya. Berkorbanlah segera meninggalkan falsafah pemikiran adat akal manusia. UMNO akan berhijrah ke mercu gemilang, cemerlang dan terbilang jika sanggup berparadigma secara ekstrim memacu kuasa dengan syariat Islam. Islam adalah anutan agama sebuah bangsa kontemporari yang bernama Melayu.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Falsafah Raya, Nostalgia Dan Realiti Hari Ini

0 comments
Falsafah Raya, Nostalgia Dan Realiti Hari Ini

Betulah saranan adat budaya agar menghormati orang tua kerana usia mereka. Mereka telah lama mengharungi hidup dan telah mengumpul banyak pengalaman. Memang tepat apa yang dimaksud dari pepatah adat bahawa orang tua lebih dahulu makan garam. Kita silap jika hanya menghormati orang tua kerana ajaran dan amalan adat. Sebenarnya menghormati orang tua adalah ajaran dan tuntunan agama dan hal ini bernilai sejagat atau universal. Maka pada hari raya, adalah sangat baik yang muda datang meminta maaf kepada yang tua. Adalah amat tinggi pula nilai akhlak dari segi agama jika yang tua meminta maaf dari yang muda. Ketinggian akhlak ini tidaklah disuruhkan tetapi adalah terserah kepada orang tua yang telah sampai pada nilai akhlak murni hasil dari amalan baik dan penyucian hati. Yang muda pula sebenarnya terperangkap dengan perasaan keegoan jika tidak merasakan ketinggian akhlak orang tua yang datang meminta maaf itu adalah kehebatan diri si tua bukannya kerana kehebatan dirinya yang masih muda.

Hari ini, maaf bermaafan itu kelihatan seperti di bibir sahaja. Ini adalah kerana amalan dan hasil didikan generasi sekarang yang longgar. Apabila ibu bapa mereka tidak mendidik dan membiasakan mereka bermaaf-maafan sejak kecil maka apabila mereka sudah dewasa dan menjadi ibu bapa kepada anak-anak mereka, mereka tidak dapat menikmatinya.

Keseronokan berhari raya ketika ini kelihatan semakin hambar kerana kehidupan seharian semakin sibuk pada nilai yang kurang. Maksudnya, kita terpaksa bekerja lama berjam-jam tetapi tidak begitu berat dan upahnya pun sebenarnya tidak begitu lumayan. Kerja seharian kita memakan masa yang panjang tetapi hasilnya tidak berkualiti dan upahnya sekadar memadai. Maka hari raya terasa hambar kerana pada keseluruhannya hidup kita tidak terlalu susah sebagaimana orang dulu-dulu mengharungi hari raya yang dianggap sebagai hari yang amat besar.

Nilai sesuatu kegembiraan pula sering diperolehi. Berbanding dahulu, kepuasan yang dicari bukan kegembiraan. Dan kepuasan itu diketahui tidak bertepi dan orang-orang dulu tahu membatasinya. Apabila batasan perasaan dan kepuasan dibatasi maka pembangunan dan kemajuan fizikal berjalan agak perlahan tetapi mereka mengecapi rasa puas yang optima dan berkualiti.

Hari ini sudah ada trend membeli lauk pauk untuk hari raya. Membeli kuih muih sudah menjadi perkara biasa. Tidak perlu membuatnya sendiri lagi. Kini sehari sebelum raya pelbagai persediaan dan keperluan raya seperti ketupat, lemang dan lauk pauk yang berbagai sudah ada terjual di sepanjang jalan di laluan ramai tidak kira dalam bandar mahupun jalan antara kota. Berbanding budaya dahulu yang disediakan dan dimasak sendiri. Apabila tiada kerja yang terpaksa diharungi dengan keseriusan dan kesusahan maka hilanglah thrillnya dan bertambah hambarlah raya yang diharungi.

Jika kita melihat orang Eropah yang menganggap diri mereka telah maju berbanding orang timur, mereka tiada lagi mempunyai budaya yang unik kecuali seragam dan begitu hambar. Ini adalah kerana perubahan yang mereka sendiri lakukan kerana mencari jalan mudah untuk bersenang dalam kehidupan seharian. Budaya ini pula sedang kita tiru. Tentu sekali kita akan kehilangan nikmat dan keseronokan apabila hari raya telah menjadi hambar seperti hari-hari biasa. Apabila hari raya hanya dirasakan sehari maka tiada apa yang perlu disediakan untuk menghadapi hari raya yang hanya satu hari. Sikap fitrah manusia memang tidak suka kepada yang susah. Jika mengikut peringatan agama bahawa selepas kesusahan ada kesenangan dan selamanya ia beriring. Sehubungan itu jika kita tidak mengenal kesusahan maka kita juga tidak akan mengenal kesenangan. Meskipun kita dalam kesenangan pada hakikatnya kerana kesenangan kita tidak terhambat dengan kesulitan atau kesusahan maka kita akan buta kepada kenikmatan dan tidak akan berasa syukur.

Hari raya pada asalnya bermaksud hari kejayaan. Hari selepas atau setelah terlepas dari kesusahan dan kepayahan. Dan agama Islam menetapkan hari raya disambut selepas sebulan berpuasa Ramadan. Dan puasa pada bulan Ramadan ini adalah suatu ketetapan dan kemestian. Jika dengan logiknya apalah perlu kita mengulangi hari-hari kesusahan dan kepayahan. Tetapi adakah layak kita merayakan sesuatu yang tiada kesusahan dan kepayahan. Maka sebab itulah agama adalah petunjuk dan bukan berdasarkan akal. Ada rahsia dan hakikat yang tersirat yang akal kita tidak akan sampai menanggapinya. Hanya Sang Pencipta yang mengetahuinya dan Dialah yang berhak menguji kita. Akal yang baik bukanlah akal yang berupaya mencipta kesenangan. Akal yang baik adalah akal yang mengetahui bagaimana menggapai ketenangan dan tawaduk kepada tuhan.

Maka nikmatilah raya tetapi jangan melampaui batas dengan melakukan maksiat kepada Sang Pencipta. Hari raya di zaman dulu sengaja dimeriahkan dengan panduan agama bukannya nafsu. Kepada yang ditimpa musibah, kemalangan dan kefakiran, mereka dibantu segera agar pada hari raya mereka dapat sama turut bersyukur menikmati hari kejayaan dari kesusahan. Hari ini, raya seolah hari menunjuk-nunjuk kesenangan bukan beraya bergembira terlepas dari kesengsaraan. Jauh sekali jika dapat merasakan kejayaan dengan membantu mereka yang malang. Maksudnya pernahkah kita berasa susah membantu insan yang dalam kesusahan dan pada hari raya kita bersama-sama mereka beraya menikmati hari tanda berjaya bersama keluar daripada kesusahan. Atau sanggupkah kita mengorbankan harta, wang ringgit dan masa kepada mereka yang malang sebelum layak kita berhari raya?

Kita sangat berbangga bahawa kita sentiasa hidup dalam kesenangan. Tetapi sebenarnya kita lupa kita sebenarnya belum berjaya kerana jika kita berasa sentiasa dalam kesenangan bererti kita belum menikmati hari raya kerana hari raya adalah hari kejayaan atau hari merayakan pelepasan diri dari kesusahan dan kepayahan. Dengan itu apakah perlu kita menjerumuskan diri dalam kesusahan. Di situlah rahsia kita diwajibkan berpuasa yang kadang-kadang pada logiknya memang tiada keperluannya.Dan disitulah juga rahsia kita diwajibkan berzakat yang pada perasaan kita amat menyusahkan.

Agama menyarankan agar kita sentiasa melihat dua hala kenikmatan hidup iaitu orang atasan dan orang bawahan. Jika kita orang atasan dan tidak suka atau tidak mahu melihat orang bawahan maka sebenarnya kita sedang berada pada kumpulan yang paling bawah dan begitu juga jika kita asyik memandang dan mengidam kehidupan orang atasan. Islam adalah ditengah-tengah. Jika kita mengatakan segala kesenangan tanpa kesusahan adalah ketetapan tuhan, maka hati-hatilah kerana jika tidak pernah kita bertawaduk kepada tuhan dan tuhan mengurniakan kesenangan, maka itu istidraj namanya yang bermaksud tuhan menguji kita dengan kesenangan yang menambah kejauhan kita kepada Nya. Kita rasa kehidupan kita tidak pernah susah malah bertambah senang, tetapi rupa-rupanya bertambah jauh ketawadukan kita terhadapNya. Bila begitu…adakah kita layak menikmati hari raya atau hari kemenangan iaitu syurgaNya……..??
SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

KERAJAAN BARANG NAIK?

0 comments
KERAJAAN BN DISINONIMKAN DENGAN BARANG NAIK

Terima Kasih Kepada Kerajaan Kerana Menaikkan Harga Barang Lagi


Apabila kita memasang telinga terutamanya kepada perbualan orang kampung dan orang atau rakyat kelas menengah, sederhana dan yang kurang daripada itu mengenai tindak-tanduk dan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sekarang, kita tidak akan lari dari mendengar lulucon mereka terhadap pengertian Barisan Nasional itu sendiri. Adalah dijangka jika kerajaan tidak berubah dengan drastik terhadap dasar-dasar yang tidak disenangi rakyat maka Barisan Nasional akan menerima trade mark barunya yang buruk dan hodoh sebagai ikon yang sangat popular dan terkenal iaitu Kerajaan Barang Naik.

Kerajaan sepatutnya tidak mengambil ringan terhadap ikon ini meskipun ia hanya meniti di bibir rakyat kelas menengah dan bawahan. Ketidakpekaan kerajaan terhadap hal ini membuktikan kerajaan seolah-olah kelihatan tidak mengutamakan rakyat yang berhadapan dengan masalah barang naik yang merupakan golongan yang terbesar dalam pola kumpulan status sosial. Dan jika kerajaan peka terhadap pandangan dan gambaran negatif terhadap ikon yang diterimanya dengan mengambil tindakan melarang menggunakan istilah Kerajaan Barang Naik kepada disiplin kewartawanan dan dunia penulisan, tindakan ini juga tidak tepat kerana ia menunjukkan kedangkalan berfikir dan berfalsafah atau budaya pemikiran pemimpin-pemimpin yang mengetuai Barisan Nasional.

Adalah sangat ironi sekali bahawa ikon Kerajaan Barang Naik ini hanya tergambar kepada UMNO manakala keuntungan barang naik dihubungkaitkan atau disinonimkan dengan MCA yang diyakini malah dianggap sudah menjadi budaya sebagai wakil etnik yang menguasai ekonomi negara ini.Sehubungan dengan itu apabila bercerita mengenai masalah barang naik maka tergambarlah pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa seperti burung kakak tua yang petah berkata-kata dan berupaya mempengaruhi penonton terhadap keistimewaannya. Adalah sangat difahami bahawa burung-burung kakak tua ini hidupnya selesa di dalam sangkar yang cantik dan makanannya disediakan dengan baik oleh penguasa duit atau tawkeh wang ringgit.

Burung kakak tua memang cantik dan kelihatan begitu bersih lebih-lebih lagi yang berwarna putih sehingga perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya boleh memukau dan keistimewaan ini telah diperalatkan sehingga harga barang boleh naik tanpa kemarahan rakyat yang pada hakikatnya merekalah yang memikul beban dan penderitaan. Oleh kerana termakan pujuk dan rayuan siburung kakak tua maka rakyat seolah-olah terlupa dan dapat menerima kenaikan harga barang seharian. Tawkeh duit dan konco-konco tersenyum lebar di belakang pentas wayang Cina.

Tidak lama lagi kita akan mendengar malah akan melihat mereka yang gugur dalam perjuangan hidup secara fizikal, realiti dan juga secara simbolik. Jangan terkejut apabila nanti kerosakan moral anak muda yang akhirnya akan menjadi dewasa sebagai masyarakat yang kasar dan hidup diselubungi norma kebejatan kerana desakan hidup yang terhasil daripada dasar kerajaan barang naik. Jangan terkejut apabila jenayah dikepalai oleh anak-anak tempatan sendiri dan disana-sini rakyat hidup dalam kebimbangan kerana berleluasanya jenayah rompakan, kecurian, ragutan, rogol, penculikan, pembunuhan dan sebagainya kerana mengamalkan jalan mudah untuk kesinambungan hidup. Jangan terkejut apabila hal ini semua akan berlaku dan membudaya dihadapan mata kita kerana kesilapan barisan kerajaan barang naik membuat dasar sosial pada ketika ini.

Pada hari ini kita boleh menyalahkan golongan bangkai hidup yang diberi ikon kepada penagih dadah yang sering melakukan jenayah kerana ketagihan dadah dan tuntutan naluri untuk mendapatkan bekalan bagi menghilangkan derita ketagihan. Kita juga boleh menuding orang atau pendatang asing baik dari Myanmar, Indonesia, Nepal mahupun Vietnam dan Pakistan apabila laporan-laporan insiden jenayah melaporkan penglibatan mereka. Kita seolah-olah menerimanya kerana kita mengetahui mereka terdesak untuk hidup dan juga jenayah yang dilakukan didorong oleh angan-angan dan cita-cita untuk menjadi cepat kaya dan orang senang.

Kita seolah-olah menerimanya kerana minda kita beranggapan jenyah yang dilakukan oleh penagih dadah meskipun banyak tetapi hanya jenayah kecil. Jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing pula, walau pun sampai kepada kes-kes pembunuhan, adalah diantara mereka dan sedikit yang melibatkan penduduk tempatan.Kita seolah-olah menerimanya dan seperti menganggap hal itu hanyalah sementara kerana mereka pendatang asing yang akan kembali semula ke tanah air mereka.

Apa pula tanggapan kita nanti apabila jenayah-jenayah ini dilakukan oleh rakyat kita sendiri dan majoritinya adalah dari kumpulan sosial pertengahan dan ke bawah yang merupakan penduduk terbesar di negara ini? Apa pula gambaran yang dapat dibayangkan apabila jenayah-jenayah yang berlaku nanti tidak dapat ditangani oleh polis kerana mereka sibuk melindungi tokoh dan kroni politik saja?

Terima kasih kepada kerajaan Barang Naik jika mereka dapat melihat impak yang negatif ini yang akan berlaku dalam masyarakat kita tidak lama lagi. Adalah lebih baik jalanraya kita selekeh akibat banyaknya orang menjual goreng pisang dan menjaja apa saja untuk menampung kehidupan seharian daripada cantik dan bersih tetapi sunyi sepi kerana takut untuk keluar menikmati hidup berikutan leluasanya jenayah....... dan adalah lebih pahit apabila rakyat menyuarakan masalah ini tetapi orang-orang kerajaan barang naik yang tidak sedar diri tidak segan silu bertanya balik.... barang kamu tidak naikke?? Tun Sheikh secara spontan ada jawapannya....jangan menyesal akibat barang naik yang kamu persendakan, anak-anak perempuan dan isteri kamu melahirkan anak-anak luar nikah ...ini akan berlaku apabila semua barang, luar dan dalam.... naik!!

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

FALSAFAH TRANSFORMASI NASIONAL MALAYSIA

0 comments
FALSAFAH TRANSFORMASI NASIONAL RAKYAT MALAYSIA


Transformasi daripada perkataan Inggeris yang bererti berubah. Tetapi apabila transformasi digunapakai sebagai perkataan Melayu kontemporari, ia lebih membawa maksud sebagai peristilahan iaitu maksud berubah secara lebih meluas dan terbuka. Dengan perkataan lain, transformasi bermaksud perubahan total atau perubahan seluruhnya termasuk bentuk, sifat, sikap, minda, keadaan dan sebagainya. Jika ditelek dengan mendalam, pejuang dan falsafah bahasa akan merasakan penggunaan perkataan transformasi ini oleh kerajaan adalah sebagai gimik atau retorik saja. Ini adalah kerana istilah transformasi tidak boleh menjadi kenyataan jika segala asas dan dasar acuan dalam segenap bidang tidak dirancang dan disediakan dengan teliti terlebih dahulu. Perkataan yang sesuai kepada pemakaian perkataan itu ialah reformasi. Tetapi semua mengetahui bahawa istilah reformasi telah menjadi ikon kepada perjuangan parti pembangkang.

Walau bagaimanapun idea mahupun kempen kerajaan untuk transform ini adalah amat baik. Sayangnya segala asas dan dasar serta acuan yang telah disediakan oleh mantan-mantan Perdana Menteri dahulu seolah-olah tidak diteruskan dan tiada kesinambungan mahupun dianggap releven. Contohnya di era YM Tunku Abd Rahman, melalui semangat kemerdekaan dan bersatu seolah-olah tidak diteruskan oleh Tun Razak yang dianggap kemelayuan. Dasar Tun Razak terhadap pendidikan kebangsaan pula tidak menjadi dasar dalam kepimpinan Tun Hussein Onn dan dasar Tun Hussein mengenai perpaduan dan keadilan tidak berterusan ditekan. Sebaliknya di era Tun Mahathir lebih kepada perindustrian dan penswastaan. Di era Tun Abdullah pula, Islam Hadhari dan ketika ini 1 Malaysia dan transformasi sedang diuar-uarkan.

Semua idea dan dasar-dasar yang diperkenalkan berjaya menjadi ikon kepada perdana menteri tetapi amat dikesalkan kerana idea dan dasar yang baik itu seolah-olah tidak berterusan setelah perlantikan perdana menteri baru. Selogan dan retorika yang berjaya mengubah paradigma minda rakyat Malaysia iaitu ‘Malaysia Boleh’ contohnya sudah tidak kedengaran lagi. Pada hal ia mempunyai daya proaktif yang kuat dan menusuk jiwa kepada sesiapa yang menghayatinya. Untuk mencipta sesuatu slogan dan menjadikan ikon kepada tokoh yang mengilham dan menyuarakannya bukanlah suatu perkara yang mudah dan murah tetapi sudah menjadi trend, kepimpinan kontemporari berusaha menonjolkan kewibawaan diri dengan sesuatu yang baru tanpa memandang jauh manfaat dan kebaikan dasar-dasar dari mantan pemimpin sebelumnya. Akibat dari itu target sesuatu pencapaian tidak dicapai dan tidak mantap meskipun pengalaman memerintah bertambah tua.

Pengertian dan kefahaman terhadap transformasi yang sedang diuar-uarkan seiring dengan 1 Malaysia adalah sangat baik dan menarik tetapi adalah dijangkakan input dan infaknya kurang tirus dan berjaya kerana ia bersifat kompleks dan meluas. Maka tidak hairanlah apabila ia dijuruskan kepada suatu gambaran pengistilahan yang menjurus kepada ekonomi dan taraf hidup yang diimpi-impikan. Meskipun transformasi tidak bermaksud hanya dalam bidang ekonomi tetapi sebaliknya merangkumi sebagaimana maksud perkataan itu sendiri iaitu perubahan dalam segala bentuk, keadaan, rupa dan sifat dan lain-lain, ia kelihatan seolah-olah boleh direalitikan. Sebenarnya ia juga akan menjadi retorika kerana persiapan dasar dan acuannya tidak disediakan dengan kukuh. Apa yang kelihatan dipentingkan adalah nama-nama tokoh yang mempopularkannya saja tanpa mempedulikan jumlah wang besar yang telah dibelanjakan.

Sebagai contoh, kerajaan berasa yakin bahawa usaha meningkatkan pendapatan purata per kapita rakyat Malaysia pada tahun 2020 adalah diantara RM15,000.00 – RM25,000.00 sebulan berbanding RM3,500.00 sekarang. Dengan jumlah pendapatan sebegitu, adalah dijangka rakyat akan bertambah mewah dan mempunyai kuasa beli yang tinggi sehingga mampu membeli atau menggunakan barangan dan perkhidmatan yang bermutu tinggi. Dengan sekali pandang memanglah gambaran itu diyakini dan mengundang kegembiraan. Target atau kejayaan yang dicapai itu menunjukkan transformasi dari berpendapatan rendah kepada berpendapatan tinggi. Tetapi jika dibuat atau dilaksanakan seperti sekarang tanpa acuan dan penelitian yang jitu maka gambaran yang terlihat itu pada hakikatnya adalah fatamorgana.

Mengikut teori ekonomi terutamanya teori pasaran dan permintaan, maka transformasi yang dibayangkan itu adalah ilusi saja kerana ia tidak tepat. Lebih-lebih kebiasaan dan pengamalan dalam dasar perdagangan kapitalisma, hal itu tidak akan terjadi. Ini adalah kerana semakin tinggi atau bertambahnya keupayaan kuasa beli, maka semakin besar kuasa dan kebolehan membeli dan akan mengakibatkan permintaan melebihi penawaran. Apabila ini berlaku maka akan berlaku kenaikan harga atau inflasi. Dalam perkataan lain kuasa beli akan menirus atau menjadi kecil kerana nilainya bertambah rendah. Jadi kuasa beli yang dikatakan akan dinikmati oleh mereka yang tinggi pendapatan secara purata tidak akan menjamin mewah dan boleh menikmati barang yang lebih berkualiti dan dengan harga yang tinggi. Hal ini ketika ini mungkin terlepas pandang diteliti oleh pihak kerajaan.

Dalam teori ekonomi juga secara sentrik dan mathematik, pengeluaran wang atau pengagihan wang keluar ke negara asing bukanlah suatu yang baik. Apabila rakyat banyak membeli barangan mahupun perkhidmatan yang diimport dari luar, ini bermakna aliran tunai akan keluar dan tidak bermanfaat dalam negara bagi memainkan peranan melajukan pusingan wang tunai atau pencairan wang. Apabila hal ini berlaku kuasa beli akan juga menirus kerana kebergantungan dengan aliran wang dalaman yang lembab. Nilai kewangan akan jatuh dan ini sedang berlaku ketika ini kerana banyak pekerja asing bekerja di sini, menghantar keluar wang dan pergantungan barangan import menyebabkan negara ini tidak dapat mengawal kenaikan harga hingga menyebabkan inflasi dan kuasa beli mengecil.

Pada waktu yang sama kerajaan hanya mengharap kepada hasil sumber bahan mentah seperti petroleum dan hasil pelancongan. Petroleum memang boleh disukat secara makro dan mikro tetapi pelancongan adalah abstrak dan anggaran kasar sahaja. Usaha pengukuhan dan memperkasa diri dalam perusahan tempatan dalam segala bidang samada pertanian dan perindustrian belum mencapai tahap selaku pengekspot utama dunia yang membawa masuk wang dan pertukaran asing. Sehubungan itu, lebih-lebih lagi tiada kawalan harga sebelum membuat kempen transformasi kenaikan pendapatan , adalah dipercayai bahawa angkatunjuk penambahan pendapatan sebenarnya tidak bererti. Ini adalah kerana tanpa kawalan dan ikatan harga barang, harga akan ikut melambung sebagaimana penjelasan teori ekonomi.


Maka keadaan sosial rakyat tetap tiada peningkatan malah merosot. Gambaran yang mudah, dapat dilihat dan boleh dikaji pada tahun-tahun 1950-an hingga 1960-an di mana kuasa beli rakyat negara ini adalah lebih baik daripada Korea, Singapura, India, Pakistan dan lain-lain kerana nilai kewangan negara adalah tinggi. Contoh mudah yang dapat dibuat perbandingkan dan direnungkan ialah gaji seorang guru atau seorang kerani lulusan SPM ketika itu lebih dari mencukupi untuk menyara sebuah keluarga yang besar, mampu memiliki kereta berjenama baik, mampun menabung, mampu melancung malah masih tersisa untuk simpanan kecemasan dan untuk hari tua.

Adakah transformasi pendapatan boleh dikira berjaya jika anak bujang kita pada tahun 2020 nanti bergaji Rm 10,000.00 sebulan tetapi hanya mampu hidup dan menyara diri sendiri dan terpaksa menyewa rumah keranda sebagaimana di Jepun? Pergi ke tempat kerja hanya menggunakan kenderaan awam dan terpaksa pula memiliki dua-tiga ijazah kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan. Hal ini berlaku gara-gara tiada kawalan dan ikatan atau tambatan harga barangan dan desakan kenaikan harga barangan import yang dihadapi oleh negara matahari terbit itu kerana dipaksakan kepadanya akibat lambakan barangan Jepun dinunia antarabangsa……..


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

JUDI DI KEPALA MELAYU UMNO

0 comments

JUDI DI KEPALA MELAYU UMNO


APABILA HASIL HARAM MENJADI DARAH DAN DAGING

Ketika isu nama Allah oleh penganut Kristian heboh, kelihatan Melayu UMNO keluar menjadi jaguh dan mengaku pejuang agama. Sekam api sengaja ditiup dan apabila sudah berlaku pembakaran gereja dan surau oleh budak-budak nakal keturunan Melayu UMNO, mereka menakut-nakutkan masyarakat dan tampil menjadi hero pendamai atau berlagak pententeram kerisauan awam. Apabila fakta dari nas al Quran dikeluarkan, maka tiba-tiba mereka senyap bungkam kerana malu. Selama ini mereka bertindak dengan kuasa, akal dan nafsu, bukan dengan ilmu. Silap-silap seperti Nasrani yang sesat kerana beramal tanpa ilmu .

Orang Kristian ini pada keseluruhannya sangat cenderung kepada kebaikan dan kebajikan tetapi mereka hanya menjadi pak turut sahaja kerana tidak merujuk kepada kitab injil atau bible yang menjadi pegangan dan berfikir sendiri. Apabila banyak kerenah padri yang seolah-olah mengambil kesempatan maka mereka menjalani hidup seharian mengikut akal mereka. Mereka mengaku kristian tetapi tidak beramal mengikut petunjuk kitab injil. Mereka hanya menghormati padri mereka dari sudut sempit yang lain saja. Apa yang mereka buat dan putuskan seolah-olah para padri pula yang harus merestui mereka.

Jika dihayati dan dibuat perbandingan, sebanyak sedikit ada persamaan dengan amalan orang Melayu sekarang. Yang diutamakan adalah kesenangan hidup tanpa memikirkan sumber halal haramnya. Para ustaz, imam, mufti dan ulamak seperti tidak relevan lagi dengan hidup mereka yang penuh dengan cabaran dan tuntutan nafsu nafsi.Sampai pernah di satu tahap pernah mereka menganggap peranan ulamak ini menyusahkan saja dan menyemak seperti sampah atau belukar dan semak saja.Ulamak pernah dituduh jumud, gila dan nyanyok malah nasihat agama dari para ulamak dijadikan senda gurau.

Tanpa sedar sebenarnya aktiviti Nasrani dan Yahudi jadi ikutan dengan alasan serasi, mudah dan fleksibal. Mereka tidak menghiraukan, tidak tahu atau pura-pura lupa bahawa Nabi Muhamad saw telah mengingatkan bahawa Nasrani dan Yahudi ini yakin dan mengetahui kebenaran Islam tetapi kerana hasad dengki mereka berusaha tanpa berputus asa untuk menjadikan orang Islam mengikut budaya dan cara mereka walau sampai ke lubang cacing. Maksudnya mereka akan berusaha membuat orang Islam meniru 100% cara mereka lalu sama-sama dilaknati Allah.

Terkini, kelihatan orang Melayu UMNO seperti sudah hilang punca untuk merembat duit rakyat melalui pelbagai projek pembangunan dan agensi kewangan samada jabatan kerajaan mahupun GLC kerana dipantau terus dan terlalu banyak rahsia terbongkar apabila sesuatu pihak tidak berpuas hati terhadap sesuatu pihak yang membolot sesama sendiri dengan rakus dan tidak adil. Maka jalan singkat yang kelihatan seperti sumber kewangan yang datang bergolek ialah dari sumber aktiviti perjudian. Tanpa segan silu UMNO Melayu yang berkuasa meluluskan judi dengan berselindung disebalik sukan bola sepak piala dunia.

Mereka yakin sukan ini disukai dan diminati ramai tidak kira parti pembangkang atau parti pro-Islam. Mereka berfikir bahawa sukan ini disukai semua lapisan rakyat dan mereka yakin kemarahan dan bantahan akan reda. Yang paling busuk ialah mereka juga yakin orang yang mengetahui judi itu haram akan turut sama bergembira berjudi kerana suka-suka sempena piala bola sepak dunia. Dan mereka juga yakin judi ini akan dapat kekal dan berterusan dan ini bererti sumber kewangan mereka juga akan penuh. Soal dosa dan masalah sosial yang akan timbul, itu bukan masalah mereka kerana jika lebih banyak berlaku masalah sosial maka lebih banyak projek dan program boleh dibuat dan banyaklah duit komisyen dan diskaun sampingan boleh dirembat.

Tanpa sadar sebenarnya Melayu UMNO kelihatan seperti sedang dicucuk hidung oleh Yahudi. Bukankah mereka kini sebagai penasihat dan perancang bertujuan menutup kebejatan dan memperlihatkan wayang-wayang kebaikan.? Itu memanglah kepakaran mereka dan hal ini telah dimaklumkan dalam kitab suci kita dan sunah nabi. Kita yang diluar ini janganlah mengikut Melayu UMNO supaya kita tidak sesat sama. Tetapi kita mesti bantu dan memperingatkan mereka supaya berusaha melepaskan diri dari taligantung Yahudi yang disediakan oleh Melayu UMNO sendiri. Mereka adalah saudara seagama kita. Jika mereka tidak mahu mendengar kita, maka kita bersadu padu memulaukan mereka. Biar mereka sahaja yang mengikut telunjuk Yahudi yang bersembunyi dan menyamar sebagai penasihat suci.

Marilah kita bersatu padu menjadi Melayu Islam yang tulen dengan menjadikan Al Quran dan Hadis sebagai petunjuk dan pembeda di antara kebaikan dan kebatilan. Jika kita menjadi seperti Melayu UMNO yang menggunakan fikiran dan kecerdikan akal sahaja maka tentu sekali kita tidak akan dapat mengesan musuh Allah, musuh Islam, musuh kita seperti Melayu UMNO. Ingatlah bahawa Yahudi dan Nasrani itu lebih bijak dan berpengalaman daripada kita. Tetapi jika kita berpegang teguh kepada petunjuk dan janji-janji Allah maka kita akan nampak dan terselamat dari tipu helah mereka.

Marilah kepada semua Melayu, tidak kiralah jika anda UMNO, PAS, PKR, DAP atau apa sahaja, marilah kita bersatu padu menjunjung agama sebelum kita terlambat untuk kembali ke pangkal jalan dan sementara kita masih berpengaruh dan berkuasa. Tidak ada apa ruginya, marilah berkorban sedikit sebelum kuasa dan keistimewaan Melayu itu hilang dari tangan kita. Mari kita menuju ke jalan cahaya yang terang dan kita tinggalkan amalan dan perbuatan batil yang menjadi godaan dan dugaan. Marilah kita menjadi umat contoh kepada teman-teman kita yang bukan Islam kerana mereka adalah teman sewarganegaraan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

KEJAYAAN DAN KEGAGALAN FALSAFAH PEMIKIRAN DR MAHATHIR

0 comments
FALSAFAH PEMIKIRAN DR MAHATHIR JUGA MUDAH LUPA

Dr Mahathir memanglah satu nama yang besar dan sangat bererti kepada Malaysia. Paling tidak beliau akan dikenang sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkuasa. Rekodnya sebagai Perdana Menteri saja ialah selama 22 tahun iaitu dari tahun 1981 hingga 2003 dan ini belum dikira beliau sebagai menteri sejak 1974. Rekod ini dijangka tidak akan dapat diubah atau dibuat lagi oleh sesiapa yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah maka hayat menjadi Perdana Menteri akan ditetapkan hanya dua penggal sahaja iaitu 8 atau 10 tahun. Cadangan ini adalah baik supaya dapat mengelakkan penggunaan salah kuasa atau rasuah kuasa dalam perkhidmatan.

Bagi Tun Sheikh, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang hebat. Ini adalah anugerah Allah kepada bangsa Melayu. Beliau mempunyai wawasan yang jauh untuk membangun bangsanya. Beliau boleh dikatakan berjaya dalam membentuk acuan falsafah pemikirannya. Walau bagaimana pun memang terdapat kelemahan dan ini timbul mengikut fitrah kerana beliau berkuasa terlalu lama. Yang paling menyedihkan apabila beliau mula melatah dan memperlekeh agama ketika beliau telah banyak membangun pembangunan minda rakyat dan juga pembangunan fizikal negara. Sayangnya beliau berpendidikan barat dan wawasannya tidak yakin terhadap kebudayaan Islam.

Dr. Mahathir telah banyak berjasa tetapi jasanya tercemar dengan kesilapan akibat rasa kebanggaan dan kesombongan dirinya sendiri hingga hampir beliau dipaksa meletakkan jawatan atau mungkin dipecat oleh orang UMNO sendiri jika beliau tidak berbuat demikian. Malah selepas persaraan beliau, Dr. Mahathir telah dipulaukan dengan begitu ironi sekali. Beliau adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan pantas menerima kenyataan bahawa popularitinya mula menurun kerana terlalu lama mengetuai UMNO dan negara. Beliau menerima balasan yang kurang baik dari segi penghormatan atau moral daripada acuannya sendiri.

Beliau berjaya kerana wawasannya telah dibuat sebelum beliau berkuasa lagi. Ini diakui oleh beliau sendiri dalam bukunya Malay Dilemma. Beliau mendapat idea sejak di alam persekolahan dan di universiti. Apabila beliau dipecat dari UMNO pada tahun 1969, beliau telah membukukan wawasan dan pandangan beliau. Ketika kembali ke pangkuan UMNO dan menyertai kabinet, beliau hanya mengimplimentasikan saja apa yang pernah beliau fikirkan. Dr. Mahathir sangat bernasib baik kerana ketika beliau menjadi Perdana Menteri, tenaga intelektual dan tenaga teknikal dari kalangan rakyat telah pun tersedia hasil dari perancangan Tunku Abd Rahman, Tun Abd Razak dan Tun Hussein Onn.

Beliau begitu bijak mengeksploitasi ahli-ahli dan pakar-pakar yang telah dibentuk mengikut pemikirannya. Motto ciptaannya mempunyai spiritual yang tinggi dan mendorong manusia Malaysia menjadi agresif dan proaktif. Motto Malaysia Boleh begitu keramat sekali tetapi sayangnya motto ini seolah-olah dimatikan dan semangat dan falsafahnya tidak diteruskan. Sebenarnya falsafah motto ini sahaja boleh berkembang dan berdiri sendiri. Ia boleh difahami sebagai Kita Boleh dan Saya Boleh dan sebagainya.


Wawasan penswastaanya kelihatan amat berjaya tetapi wawasan ini telah terperangkap dalam kawalan para pengusaha yang menjurus kepada sifat tamak haloba. Ini adalah disebabkan sistem ini akhirnya mengarah kepada monopoli dan sistem monopoli sebenarnya memberi kelebihan dan keuntungan yang besar kepada segelintir kecil pemilik perusahaan itu. Rakyat dari kelompok majoriti adalah pengguna dan lubuk pasarannya. Maka perolehan yang menguntungkan dalam apa saja yang berbentuk monopoli adalah hanya kepada pemiliknya yang kecil. Orang ramai teraniaya dalam sistem monopoli yang sebenarnya sedang diamalkan oleh negara ini. Tetapi mereka berselindung di sebalik istilah perusahan dan perdagangan kapitalis.


Hari ini rakyat telah mula merasa bahangnya dasar penswastaan. Kenaikan harga barangan dan kos sebenarnya ditanggong oleh rakyat jelata. FELDA tidak lagi memberi kebajikan yang membanggakan kepada peneroka sebagaimana dasar penubuhannya. Begitu juga dengan pembekalan air dan eletrik dan jalanraya atau lebuh raya dan lain-lain. Masalah ini akan bertambah mencengkam rakyat apabila barisan pemerintah lemah. Lebih-lebih lagi jika rasuah telah membudaya. Dan amat parah jika perjalanan politik dibiayai oleh mereka.


Itulah diantara sebabnya Dr Mahathir menangis dihujung hari persaraannya. Beliau ingin duduk lagi untuk membetulkannya tetapi beliau sudah tidak dapat diterima lagi. Beliau menangis kerana acuan pemikiran dan falsafahnya tidak diikuti mengikut acuan yang disediakan. Dan beliau telah melihat kegagalan total akan berlaku. Tunggu sahaja masanya. Sebenarnya masa masih ada untuk memperbetulkan diri tetapi sayangnya pemimpin didikan beliau telah terlalu jauh terperangkap dan falsafah pemikiran mereka tidak berpijak di bumi. Mereka hanya berselera dan bernafsu besar terhadap hasil atau imbalan yang besar berbanding dengan usaha dan kerja yang sedikit. Mereka menganggap diri mereka hebat dan bertambah sombong dan angkuh sehingga kepada Dr. Mahathir pun mereka telah hilang hormat.


Dr. Mahathir juga menangis kerana dia mengakui walau pun dia ada darah Mamak tetapi jiwanya adalah Melayu tulin. Dia pernah mengingatkan orang Melayu memang mudah lupa. Beliau sendiri sebagai orang Melayu pun mengakui sama bahawa itulah sifat negatif Melayu yang juga dimiliki beliau. Akhir-akhir ini otak dan pemikirannya seperti cergas kembali kerana dapat menanggap perkara-perkara yang negatif yang diamalkan oleh barisan kepimpinan anak didiknya. Beliau menyindir pemimpin dunia yang rasuah. Contohnya kepada Tony Blair yang menjadi jutawan dan pada waktu yang sama sebenarnya beliau menyindir anak-anak didiknya yang cepat kaya sampai tidak boleh diterima akal semasa menjadi menteri dalam kabinet Malaysia walau hanya satu atau dua penggal. Ini termasuklah menteri-menteri besar tetapi samada mereka peka atau sebaliknya inilah yang menyedihkan beliau.

Lebih banyak Dr Mahathir menyindir lebih banyaklah ludahnya hinggap ke pipinya sendiri. Kebaikan atau keinsafan Dr Mahathir tiada siapa yang memerhatikan kerana memang dasar Melayu…..Melayu Mudah Lupa. Dan orang yang mudah lupa ini hanya menunggu hari terperesok dalam lubang perigi jerat musuh yang sentiasa ada.

Oleh Tun Sheikh

FALSAFAH BERUK MELAYU

1 comments
CERITA BERUK DALAM PENTADBIRAN AWAM MALAYSIA

Sebenarnya budaya memelihara beruk memanjat dan menurunkan buah kelapa telah dinilai oleh pengkaji Barat sebagai satu daripada kebudayaan tinggi orang Melayu yang masih wujud pada abad millenium 2k ini. Bukan pekerjaan pemungut kelapa yang diberi nilai tinggi tetapi disiplin pengajaran ilmu dan latihan yang diberikan kepada spesis haiwan yang dikenali sebagai beruk itulah yang mempunyai mutu seni yang tidak ternilai. Bagi kita, itu adalah perkara biasa dan falsafah disebaliknya juga hanya menjadi senda gurau. Namun bagi orang yang berfikiran bijak, segala sesuatu disekeliling kita memang boleh dimanfaatkan sebagaimana cerita dan falsafah beruk yang digunakan oleh sahabat Tun Sheikh ini.

Peristiswa ini benar-benar berlaku dan didengar sendiri oleh Tun Sheikh ketika diundang menghadiri satu mesyuarat yang dipengerusikannya untuk melaksanakan sebuah projek penulisan dan penerbitan yang besar di jabatannya. Ketika itu beliau baru saja naik pangkat menjadi salah seorang pengarah besar. Kini mungkin beliau telah menjawat jawatan jusa tapi tidak pula Tun Sheikh pasti kerana telah lama tidak dengar khabar berita.

Haji Abon Ismail telah Tun Sheikh kenali sejak bujang lagi. Dia seorang yang genius dan menjadi kesayangan Ketua Pengarah jabatannya. Berasal dari Johor dan mempunyai pertalian darah dengan tokoh-tokoh atau pembesar Johor malah dengan PM sekarang, tetapi tidak pernah diuar-uarkan kerana memang budaya orang Johor tidak suka membanggakan keturunan atau menunjuk-nunjuk pangkat dan kekayaan. Namun begitu memang lumrah terutama dalam budaya orang Melayu, hal-hal peribadi dan keturunan cepat saja orang tahu dan tersebar sama adalah penyakit hasad dengki dan cemburu yang negatif.

Di pejabat beliau, disebabkan kesilapan kecil tetapi itu bukanlah kesilapan bagi Tun Sheikh, kerana beliau bertemu jodoh dalam jabatan yang sama dimana pada ketika itu amat tidak digalakkan oleh kerajaan. Maka terpaksalah beliau mengharungi gosip dan fitnah Melayu yang subur di mana-mana jabatan. Lebih-lebih lagi di tempat beliau berkhidmat , kerana 96% adalah orang Melayu dan 70% adalah kaum wanita. Beliau sebenarnya ialah seorang pegawai muda yang bijak tetapi kerana kurang dimengertikan atau difahami oleh kelas menengah minda Melayu, maka segala idea geniusnya tidak dapat dipraktiskan. Akhirnya beliau dianggap terlalu kompleks dan tidak praktikal. Ini semua dakyah sahabat-sahabat pesaingnya yang tidak berwawasan seperti Haji Abon.

Haji Abon sering kali mengeluh dan meluahkan perasaan dengan sahabat handai yang rapat dengannya seperti Tun Sheikh tetapi hanya mendengarkan sahaja kerana Tun Sheikh orang kerdil dan orang luar. Dia sering terpukul dan tertekan dengan ideanya sendiri apabila beliau diarah melaksanakannya oleh pegawai atasan tanpa membekal keperluan sokongan yang lain seperti kewangan, tenaga kerja, peralatan dan lain-lain. Kebanyakan malah boleh dikatakan 65% tugasan yang dipertanggongjawabkan kepadanya gagal atau ada sahaja cacat celanya. Akhirnya beliau hanya dikenali sebagai seorang pegawai yang bercakap tidak serupa bikin dan juga sebagai tin kosong.

Masa terus berlalu dan beliau telah masuk ke kumpulan pegawai yang akan berpencen. Beliau redha apa yang tertakdir pada dirinya. Di akhir tahun-tahun perkhidmatan, kerana kekananan dan sistem PTK, beliau terbukti cemerlang di atas kertas dan di dunia minda. Beliau memang seorang yang genius tetapi tidak dieksploit kerana imej hitam yang direka oleh pesaing-pesaingnya.

Ketika sedang menjadi pengarah besar, masih ada lagi gosip-gosip dibelakang seolah-olah susah teman-temannya mahu menerima kecermelangan Hj Abon. Hj Abon tidak menghiraukan itu semua lagi kerana kejayaan demi kejayaan projek yang dilaksanakan berjaya dibuktikannya. Beliau bijak mengeksploit pegawai dan kakitangan dibawahnya. Untuk mematikan segala sangkaan dan gosip negatif, beliau telah menguar-uarkan falsafah beruk Melayu yang begitu terkesan di hati dan mewujudkan keadaan persekitaran kerja yang ceria dan berinovasi.

Di Perak katanya beruk pemetik kelapa dikenali sebagai Yop, di Kelantan Awei, di Trengganu Awang, di Negeri Sembilan Si Aman atau Siamang, di Melaka Atan dan di Johor Abu. Dan berbagai lagi nama popularnya di negeri atau di tempat lain. Pada suatu hari kerajaan telah membuat kempen untuk menaikkan pendapatan yang bersumber dari buah kelapa. Maka datanglah pelabur asing ingin melabur secara besar-besaran mengusaha perladangan kelapa. Masalah pengurusnya ialah mencari pemetik kelapa. Pengurus asing itu pun diperkenalkan dengan Persatuan Beruk Pemetik Kelapa. Pengurus asing bersetuju untuk menggunakan khidmat para beruk tetapi sangat musykil kenapa beruk-beruk itu berlainan harga. Satu kumpulan RM2,000, RM5,000 dan RM10,000.

Apabila pengurus asing itu bertanya kepada pemilik beruk-beruk itu, mereka kata beruk-beruk yang berharga RM2,000 semuanya terlatih untuk memetik buah kelapa yang dikehendaki. Beruk-beruk yang berharga RM5,000 pula hanya perlu dilepaskan sahaja di ladang-ladang kelapa. Beruk-beruk itu tahu membuat kerja, pokok atau ladang yang mana perlu diutamakan. Kalau begitu sudah cukup baik dan menguntungkan kata pengurus itu tetapi kenapa pula mesti membeli juga beruk-beruk berharga mahal iaitu RM10,000. Pengurus asing itu dijelaskan, walupun beruk-beruk yang termahal itu tidak kelihatan kuat dan mempunyai otot-otot seperti 2 kumpulan pertama tadi, tetapi jika tiada mereka semua kerja memetik buah kelapa tidak akan berjalan sebab beruk yang mahal itu bos kepada semua beruk.

Jadi tuan-tuan terasa diri tuan-tuan berada di kelompok yang mana satu? Dengan falsafah ini semua pandangan serong terhadapnya terungkai kerana pegawai bawahan beliau amat faham falsafah beruk ini. Mereka juga tidak ingin diserupakan dengan beruk. Kalau mereka tidak berpuas hati dengan Haji Abon, pada kenyataan Hj Abon sudah menjadi ketua tertinggi mereka maka segala arahan bekerja mesti dipatuhi. Haji Abon pula bijak mengambilhati pegawai bawahan. Akibatnya semua kerja atau program besar yang dipikulkan di bahunya berjalan dengan baik dan lebih sempurna daripada pesaing-pesaing beliau. Sayangnya, perkhidmatan beliau hanya tinggal dua tahun kerana persaraan wajib pada usia 58 tahun.

Oleh Tun Sheikh
 
Copyright 2009 Falsafah Pemikiran
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere